Isnin, 16 Julai 2018 | 3:00pm

Siasatan terhadap Kementerian Pertahanan bermula

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara memulakan mesyuarat pertamanya pagi ini dengan tumpuan kepada isu-isu perolehan dan kewangan di Kementerian Pertahanan.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara, Tan Sri Ambrin Buang, di Kementerian Kewangan, di sini.

Ambrin, pada sidang media sebelum itu, berkata jawatankuasa berkenaan akan memulakan siasatan membabitkan projek-projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang had tempoh bagi siasatan terhadap kementerian itu.

"Kita bermula dengan kementerian ini kerana ada permintaan daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sendiri.

"Kami juga sudah ada senarai kes-kes berkenaan. Biar kami bincang dulu. Bagaimanapun, harus ingat kami ada tenaga kerja yang terhad," katanya pada sidang media pengumuman jawatankuasa berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengesahkan sudah mempunyai asas untuk memulakan siasatan terhadap kementerian berkenaan.

Ambrin berkata, jawatankuasa juga akan memanggil sesiapa saja yang dikaitkan dengan siasatan tersebut sama ada menteri atau timbalan menteri bagi tujuan mengumpulkan maklumat sekiranya diperlukan.

"Hasil siasatan akhir kemudian akan diserahkan kepada Kabinet dan terpulang kepada mereka (Kabinet) sama ada untuk diumumkan kepada rakyat atau tidak," katanya.

Beliau juga berkata, penubuhan jawatankuasa ini tidak sesekali mengganggu tugas dan bertindih dengan Jabatan Audit Negara, sebaliknya hanya menjalankan auditan khas berdasarkan kes-kes yang dilaporkan sahaja.

"Jabatan Audit Negara ada mandat sendiri untuk siasat dan mereka ada rancangan sendiri termasuk kementerian mana yang mereka mahu siasat," katanya.

Katanya, jawatankuasa ini diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyiasat kes-kes dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian dari segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

Malah, katanya, ia juga mengesyorkan tabdir urus kewangan yang lebih baik dan langkah-langkah membasmi ketirisan wang negara.

Pada majlis sama, Ambrin turut mengumumkan lima ahli lain bagi menganggotai jawatankuasa itu termasuk bekas Presiden Malaysia Institute of Accountant (MIA), Tan Sri Dr Abdul Samad Alias; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Mohd Tap Salleh; dan Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Ahli jawatankuasa lain termasuk bekas Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara Datin Paduka Ong Swee Leng dan Peguam Bela dan Peguam Cara Dr Zulqarnain Lukman.

AMBRIN ketika sesi sidang media mengenai penubuhan jawatankuasa itu serta fungsinya di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
AMBRIN ketika sesi sidang media mengenai penubuhan jawatankuasa itu serta fungsinya di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X