Rabu, 11 Julai 2018 | 6:26pm
PHATIYAH (kanan) memegang gambar Mohd Akasha yang terkorban dalam tragedi kapal korek terbalik di Muar pada 21 Mac lalu. - Foto Noorazura Abdul Rahman
PHATIYAH (kanan) memegang gambar Mohd Akasha yang terkorban dalam tragedi kapal korek terbalik di Muar pada 21 Mac lalu. - Foto Noorazura Abdul Rahman

'Walaupun hanya tinggal sekerat tulang...'

ALOR SETAR: "Walaupun hanya tinggal sekerat tulang, saya reda asalkan arwah ada kubur. Semua yang berlaku adalah takdir Allah SWT."

Phatiyah Ismail, 61, sangat bersyukur jasad anaknya, Mohd Akasha Azizan, 25, berjaya ditemui walaupun dalam keadaan tidak sempurna, sekali gus menamatkan penantian mereka sekeluarga selama empat bulan sejak kejadian kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, 21 Mac lalu.

Jenazah Mohd Akasha yang juga seorang daripada kru kapal korek terkorban dalam tragedi itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Tiga Tandop, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Phatiyah berkata, kali terakhir beliau bertemu anak kelimanya itu ialah dua hari sebelum kejadian, ketika arwah menaiki bas untuk pulang ke Johor.

"Selepas mendapat tahu anak saya terbabit dalam insiden itu, kami sekeluarga banyak melakukan solat hajat dan berdoa supaya mayatnya ditemui," katanya.

MAYAT Mohd Akasha ditemui pada 19 Jun lalu dan keluarganya dimaklumkan semalam berhubung pengesahan menerusi ujian DNA di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. - Foto Noorazura Abdul Rahman
MAYAT Mohd Akasha ditemui pada 19 Jun lalu dan keluarganya dimaklumkan semalam berhubung pengesahan menerusi ujian DNA di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Abang arwah, Azral Azizan, 37, pula berkata mereka sekeluarga terharu dengan kesungguhan pihak berwajib dan syarikat tempat adiknya itu bekerja, berusaha tanpa jemu mencari mayat kesemua mangsa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kenalan dan saudara-mara yang sentiasa mendoakan arwah.

"Adik saya itu seorang yang periang dan suka senyum, malah sering membantu keluarga serta tidak pernah lokek wang ringgit.

"Pemergian arwah adalah satu kehilangan besar buat kami sekeluarga. Namun, kami lega kerana penantian selama ini sudah berakhir (penemuan mayat)," katanya.

Mayat Mohd Akasha ditemui pada 19 Jun lalu dan keluarganya dimaklumkan semalam berhubung pengesahan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Berita Harian X