Selasa, 27 March 2018 | 5:22pm
KAPTEN Maritim Sanifah Yusof menunjukkan peta sektor pencarian lokasi kapal dan perkembangan terbaharu operasi SAR kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik di Pantai Leka, Muar pada sidang media di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Maritim Selatan di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
KAPTEN Maritim Sanifah Yusof menunjukkan peta sektor pencarian lokasi kapal dan perkembangan terbaharu operasi SAR kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik di Pantai Leka, Muar pada sidang media di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Maritim Selatan di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Insiden kapal korek: SAR diperluas ke perairan Melaka

JOHOR BAHRU: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sembilan lagi kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, Rabu lalu diperluaskan sehingga 560 batu nautika sehingga ke Pulau Besar, Melaka.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof, berkata masuk hari ketujuh SAR hari ini juga, Pengkalan Hadapan Operasi (FOB) di Parit Jawa dipindahkan ke Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) di sini.

Katanya, ia bagi memudahkan komunikasi serta penyelarasan dilakukan dengan aset yang terbabit dalam operasi SAR.

"Dalam operasi SAR yang memasuki hari ketujuh, kita masih menumpukan pencarian di tujuh sektor ditetapkan dengan kawasan dibesarkan kepada 560 batu nautika sehingga ke Pulau Besar, Melaka.

"Pasukan SAR juga masih kekal menggunakan aset sedia ada termasuk helikopter Maritim Malaysia yang melakukan pencarian daripada udara yang keseluruhannya membabitkan 250 anggota," katanya pada sidang media perkembangan terkini mengenai operasi pencarian kapal korek itu di sini, hari ini.

Sanifah berkata, pihaknya tidak menafikan sembilan kru kapal korek itu kemungkinan diselamatkan kapal dagang yang melalui kawasan itu, bagaimanapun pihaknya sebelum ini sudah memaklumkan kepada semua kapal dagang dan komuniti nelayan di kawasan kejadian.

"Dari segi siasatan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan mengendalikannya di bawah bidang kuasa jabatan itu bersama syarikat insurans," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi Rabu lalu, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik.

Dalam kejadian itu, seramai tiga mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang kru kapal terbabit disahkan meninggal dunia pada hari pertama operasi SAR dilaksanakan.

Dua lagi kru kapal terbabit berjaya diselamatkan pada hari ketiga apabila pasukan penyelam berjaya menemui dua mangsa yang terperangkap di dalam bilik enjin kapal.

Pada Sabtu lalu, pasukan penyelamat menemui mayat kru wanita dalam kabin penginapan kapal berkenaan, manakala mayat seorang lagi kru ditemui kira-kira 6 batu nautika dari lokasi kejadian.

Sehingga kini, lima mangsa berjaya diselamatkan, manakala empat lagi ditemui meninggal dunia dan operasi diteruskan bagi mengesan

sembilan lagi kru.

Berita Harian X