Ahad, 25 March 2018 | 1:17pm

Insiden kapal korek: Operasi menyelam ditamatkan

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menghentikan operasi menyelam selepas membuat pemeriksaan menyeluruh berulang kali di dalam kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar pagi Rabu lalu tetapi tiada penemuan terbaharu berkaitan mangsa.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof, berkata bagaimanapun pasukan SAR juga akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat dengan memperluaskan radius kawasan pencarian ke lokasi sejauh 360 batu nautika persegi.

Katanya, selain itu pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia untuk membuat pemantauan sama di perairan negara berkenaan.

"Untuk makluman, mulai hari ini kita tamatkan operasi penyelaman berdasarkan faktor semua ruang petak sudah di periksa berulang kali dan tidak menemui sebarang mangsa yang ada di dalam kapal terbabit.

"Jadi, tumpuan kita adalah operasi mencari dan menyelamat di sekitar perairan ini yang akan membabitkan semua agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Kita juga memperluaskan kawasan pencarian ke kawasan seluas 360 batu nautika persegi di mana kita juga akan mendapat bantuan daripada helikopter Maritim Malaysia untuk membantu membuat pengawasan sama di sektor pencarian," katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, hari ini.

Sanifah turut menekankan operasi SAR masih dilaksanakan cuma operasi penyelaman dihentikan kerana pemeriksaan sudah dilakukan secara menyeluruh dan berulang kali di dalam kapal berkenaan tetapi tidak menemui sebarang mangsa terbaharu.

Pada sidang media sama, beliau berkata dua mayat yang ditemui di luar kapal itu semalam masih belum dikenal pasti identitinya tetapi pihaknya percaya ia adalah kru kapal berkenaan.

Katanya, secara rasminya pihaknya menunggu laporan bedah siasat dan proses pengecaman yang akan dilakukan oleh waris mangsa dan juga pihak syarikat kapal berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr Noorhaida Ujang, berkata lima mangsa yang terselamat dalam nahas itu dalam keadaan stabil manakala mayat mangsa dalam proses bedah siasat.

Dalam perkembangan lain, pihak SAR juga turut membawa beberapa ahli keluarga mangsa ke lokasi kapal korek berkenaan dengan menaiki bot Maritim Malaysia untuk melihat kawasan terbabit

TIMBALAN Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X