Sabtu, 24 March 2018 | 7:58pm
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof menunjukkan kawasan pencarian mencari dan menyelamat (SAR) JBB Rong Chang 8 di perairan Parit Jawa, Muar. - Foto Fahd Rahmat
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof menunjukkan kawasan pencarian mencari dan menyelamat (SAR) JBB Rong Chang 8 di perairan Parit Jawa, Muar. - Foto Fahd Rahmat

4 mayat dipercayai kru ditemui setakat ini

MUAR: Satu mayat wanita dan dua mayat lelaki dipercayai kru kapal korek pasir yang terbalik Rabu lalu, dijumpai menjadikan kesemuanya empat mayat sudah ditemukan, setakat tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat wanita itu ditemui dalam kabin kapal tersebut manakala dua mayat lelaki berkenaan dijumpai di luar kapal berkenaan.

"Mayat wanita itu berkemungkinan besar warga China, tetapi dua mayat lelaki, kita kena tunggu proses pengecaman untuk mengetahui identiti," katanya kepada pemberita di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka di sini hari ini.

Sanifah berkata mayat wanita itu ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 11 pagi ini, sementara satu mayat lelaki dijumpai di perairan Parit Haji Baki, kira-kira enam batu dari Parit Jawa sekitar 12 tengah hari tadi, manakala satu lagi mayat lelaki ditemui pada 8.15 malam tadi, kira-kira dua batu dari Tanjung Tohor.

Sebelum ini, satu mayat lelaki sudah dijumpai pada hari kejadian.

Sehingga kini, operasi SAR berjaya menjumpai lima mangsa yang selamat dan empat mayat, dengan dua yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti kerana ditemukan di luar kapal tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat kru kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang terbalik itu kini diperluas ke 190 batu nautika dari lokasi kapal itu terbalik.

Operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini membabitkan 70 penyelam yang bertugas secara bergilir membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penyelam profesional yang diupah syarikat kapal itu.

Operasi SAR dilakukan 24 jam secara berterusan dengan operasi mencari dalam kapal mencapai 90 peratus selain membabitkan pencarian di atas permukaan air dan helikopter yang memantau sekitar lokasi kapal.

"Kita sentiasa percaya mereka masih boleh diselamatkan dan kita akan terus memperluaskan kawasan pencarian disebabkan beberapa mayat dijumpai di luar kapal," katanya ketika ditanya kebarangkalian mangsa yang masih hilang ditemukan selamat.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang berkata, dua mangsa yang dijumpai semalam, kini ditempatkan di wad biasa.

"Kedua mangsa semalam tidak mengalami sebarang kecederaan cuma berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan," katanya.

Sementara itu, lima mangsa lelaki yang ditemui selamat dikenali sebagai Liang Puzeng, Jiang Chunlin, Liu Konggan, Liang Rongbin dan Wu Liangfu.

Dalam kejadian 7.50 pagi pada Rabu itu, 14 kru kapal korek tersebut dilaporkan terperangkap manakala empat dapat dikeluarkan pasukan SAR dengan seorang daripadanya ditemui lemas. - BERNAMA

Berita Harian X