Khamis, 22 March 2018 | 1:06am
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof (tengah) memberi kenyataan pada sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seramai 14 kru yang dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. - Foto Adi Safri
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof (tengah) memberi kenyataan pada sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seramai 14 kru yang dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. - Foto Adi Safri

Kapal korek ditunda ke kawasan cetek

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini berusaha menarik keluar kapal korek yang terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika di perairan Parit Jawa, pagi tadi, keluar dari laluan kapal dagang.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof, berkata usaha itu dilakukan bagi membolehkan kapal berkenaan dibawa ke kawasan yang lebih cetek dan berhampiran pantai.

Katanya, operasi SAR masih diteruskan dan pada masa sama, menunggu ketibaan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa pelbagai kelengkapan menyelamat, selain kepakaran dimiliki mereka.

"Proses menarik kapal korek yang terbalik itu giat dijalankan menggunakan dua kapal penunda milik syarikat kapal serta persendirian.

"Ia bertujuan mengalihkan kapal terbabit dari laluan kapal perdagangan yang sibuk, selain ke kawasan lebih cetek berbanding sebelumnya yang mempunyai kedalaman antara 32 meter hingga 36 meter.

"Maritim Malaysia juga mengunakan peralatan telekomunikasi kapal memaklumkan kapal perdagangan yang melalui kawasan itu untuk mengelak dari menggunakan laluan berhampiran lokasi kejadian," katanya ketila ditemui pemberita di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini, malam ini.

Pagi tadi, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas, manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, kira-kira jam 7.50 pagi tadi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 krew dipercayai terperangkap di dalam kapal itu, kira-kira jam 8.50 pagi.

Ditanya kekangan yang dihadapi pasukan SAR dalam menyelamatkan mangsa, Sanifah berkata, antara faktor utama adalah keadaan laut bergelora dan cuaca buruk.

"Kami menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengkritik pasukan SAR kononnya melengahkan usaha menyelamat.

"Kita sebenarnya tidak memiliki peralatan khas serta kepakaran untuk menyelamat di kawasan laut dalam. Keutamaan kami tetap menyelamatkan nyawa mangsa walaupun berdepan kesukaran," katanya.

Berita Harian X