Rabu, 21 March 2018 | 6:57pm

Bunyi ketukan petanda semua kru hidup

MUAR: Bunyi balasan ketukan pada dinding kapal ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan memberi harapan baharu bahawa semua 14 kru kapal korek yang hilang pagi tadi, masih hidup.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof, berkata maklum balas ketukan itu diperoleh pasukan SAR kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Katanya, keadaan ruang dalaman kapal korek berkenaan yang besar dipercayai memberi ruang udara mencukupi buat semua mangsa terbabit bertahan.

"Kita percaya mangsa yang hilang masih hidup berikutan pasukan SAR yang membuat ketukan pada dinding kapal berkenaan menerima ketukan balas daripada mangsa yang terperangkap.

"Ini memberikan harapan baharu dalam operasi SAR. Semua mangsa dijangka mampu bertahan antara 24 jam hingga 48 jam. Kita akan berikan usaha yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa," katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini.

Lebih 20 anggota pasukan termasuk penyelam yang terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terbabit dalam operasi SAR itu.

Pagi tadi, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas, manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, kira-kira jam 7.50 pagi tadi. Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal itu kira-kira jam 8.50 pagi.

Sanifah berkata, pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam perjalanan ke lokasi dengan menaiki kapal KD Mahameru dari Lumut, Perak dan dijangka tiba kira-kira jam 5 pagi esok.

Katanya, kepakaran penyelam TLDM diperlukan berikutan kejadian berlaku di perairan terbuka yang memerlukan kepakaran tinggi.

"Setakat ini, tiga mangsa yang berjaya diselamatkan serta seorang yang meninggal adalah warga China. Mereka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

"Baki 14 mangsa yang lain adalah seorang lelaki warga tempatan bertugas sebagai operator radio, seorang lelaki warga Indonesia, selain 12 warga China, termasuk seorang wanita. Semuanya berusia antara 20 tahun dan 64 tahun," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR menumpukan usaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa, termasuk melakukan pemerhatian di permukaan laut di lokasi sama ada mangsa berjaya menyelamatkan diri dari bangkai kapal itu.

Katanya, operasi itu juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia sebagai langkah pencegahan jika berlaku tumpahan minyak.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof (kiri) pada sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat sebelas kru kapal korek pasir yang dipercayai masih hilang apabila kapal mereka terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof (kiri) pada sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat sebelas kru kapal korek pasir yang dipercayai masih hilang apabila kapal mereka terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X