Rabu, 24 Januari 2018 | 1:33pm
SOMU menunjukkan barang rampasan mengenai kes rompakan di rumah Datuk Seri Aliff Syukri. - Foto Zunnur Al Shafiq
SOMU menunjukkan barang rampasan mengenai kes rompakan di rumah Datuk Seri Aliff Syukri. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pasangan ditahan kes curi wang, barang kemas Aliff Syukri

SUNGAI BULOH: Polis menahan dua bekas pekerja Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri yang dipercayai mencuri wang tunai dan barang kemas milik jutawan kosmetik itu membabitkan kerugian kira-kira RM100,000 pada 18 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu pada sidang media hari ini, berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 40 dan 25 tahun ditahan di rumah mereka di Pandamaran, Klang, kelmarin.

Katanya, pasangan suami isteri berkenaan mempunyai hubungan dengan dua bekas pembantu rumah jutawan kosmetik itu yang sudah didakwa di mahkamah tahun lalu berkaitan kes sama.

"Polis juga menemui semula barang kemas yang dilaporkan hilang bernilai RM25,000 dan merampas satu beg berjenama dan wang tunai RM2,000 daripda suspek," katanya.

Somu berkata, kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dianggap selesai kerana semua suspek sudah ditahan.

"Pasangan suami isteri berkenaan direman sehingga 4 Februari ini untuk siasatan," katanya.

Sebelum ini, Aliff Syukri mendakwa kerugian RM100,000 selepas barang kemas dan wang tunai miliknya dicuri bekas pembantu rumah dan pekerjanya pada 18 Jun lalu.

Susulan itu, polis menahan dua bekas pembantu rumah jutawan terbabit yang kemudian didakwa pada 5 Julai lalu.

Berita Harian X