Selasa, 16 Januari 2018 | 5:47pm
ANGGOTA penguat kuasa imigresen memeriksa dokumen perjalanan milik wanita warga asing dipercayai GRO ketika membuat serbuan di tiga premis pusat hiburan dan kedai makan berasingan di Padang Serai dan sekitar Kulim.- Foto Ihsan JIM KEDAH
ANGGOTA penguat kuasa imigresen memeriksa dokumen perjalanan milik wanita warga asing dipercayai GRO ketika membuat serbuan di tiga premis pusat hiburan dan kedai makan berasingan di Padang Serai dan sekitar Kulim.- Foto Ihsan JIM KEDAH

GRO Thailand gagal lari

ALOR SETAR: Seramai 30 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) lari bertempiaran apabila tiga premis perniagaan diserbu dalam Op Gegar di Padang Serai dan Kulim, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaluddin, berkata dalam operasi selama enam jam yang berakhir jam 4 pagi itu, sepasukan anggota penguatkuasa memeriksa 75 warga asing dan orang tempatan di tiga premis berasingan.

"Susulan pemeriksaan itu, seramai 31 warga asing terdiri 30 wanita dan seorang lelaki dari pelbagai warganegara berusia antara 20 dan 38 tahun ditahan kerana melanggar syarat imigresen.

"Dalam serbuan pertama, anggota kita terpaksa merangkak melalui lorong kecil di bawah pentas ini untuk menahan sembilan wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos yang cuba bersembunyi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhair berkata, di tempat serbuan kedua, tujuh wanita dan seorang lelaki warga Thailand cuba melarikan diri sejauh 100 meter dari premis kedai makan dan rumah tumpangan, melalui pintu belakang, sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

"Kita tidak menghadapi masalah di tempat serbuan ketiga kerana kita sudah mengepung pusat hiburan terbabit hingga membawa penahanan 13 wanita warga Thailand.

"Semua yang ditahan melakukan kesalahan imigresen mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas, diberikan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X