Sabtu, 14 Oktober 2017 | 10:29pm
KEADAAN mangsa seorang pembantu juruterbang Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang terselamat selepas pesawat ringan jenis GT500 MicroLite dipandu terhempas di Sungai Mati, Tangkak. - Foto Jamah Nasri
KEADAAN mangsa seorang pembantu juruterbang Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang terselamat selepas pesawat ringan jenis GT500 MicroLite dipandu terhempas di Sungai Mati, Tangkak. - Foto Jamah Nasri

Mangsa nahas pesawat GT500 stabil

MUAR: Mangsa nahas pesawat ringan jenis GT500, yang terhempas di Sungai Kesang berhampiran persempadanan Johor-Melaka pagi tadi, kini stabil dalam rawatan.

Jurulatih penerbangan yang dikenali sebagai Shahrul Shafiri itu, kini ditempatkan dalam wad pembedahan selepas menerima rawatan di Unit Kecemasan HPSF pagi tadi.

Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, Dr Selahuddeen Abdul Aziz, berkata mangsa kini dalam keadaan stabil, namun masih berada dalam pengawasan doktor.

"Mangsa sudah dipindahkan ke wad, kira-kira jam 4 petang tadi. Mangsa dalam keadaan stabil dan tiada pembedahan dijalankan.

"Bagaimanapun, mangsa masih perlu berada dalam pemantauan doktor berikutan beberapa kecederaan yang dialaminya pada bahagian badan dan kepalanya akibat kejadian terbabit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi, pesawat ringan yang dinaiki Shahrul bersama juruterbang Yen Yoon Fah, 53, terhempas dalam kawasan Sungai Kesang dekat sini.

Nahas itu menyebabkan Yoon Fah terbunuh, manakala Shahrul yang mengalami kecederaan kini menerima rawatan di HPSF.

BH difahamkan keluarga Shahrul yang berada di Perak kini dalam perjalanan ke Muar bagi melawat mangsa.

Berita Harian X