Selasa, 8 Ogos 2017 | 7:06pm
KEADAAN banjir kilat yang melanda HPSF kira-kira jam 3.30 petang tadi kembali surut. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KEADAAN banjir kilat yang melanda HPSF kira-kira jam 3.30 petang tadi kembali surut. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KEADAAN banjir kilat yang melanda HPSF kira-kira jam 3.30 petang tadi kembali surut. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KEADAAN banjir kilat yang melanda HPSF kira-kira jam 3.30 petang tadi kembali surut. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Banjir kilat: Operasi HPSF tidak terjejas

MUAR: Operasi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) tidak terganggu selepas dilanda banjir kilat di sebahagian kawasan luar bangunan dan laluan koridor pintu masuknya.

Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz, berkata banjir kilat itu berpunca daripada air pasang besar dan ditambah dengan hujan lebat yang berterusan sejak tengah hari tadi.

"Hujan lebat dan air pasang menyebabkan air menenggelami beberapa kawasan sekitar HPSF iaitu kawasan tempat letak kereta dan kawasan koridor pintu masuk utama hospital pada ketinggian paras buku lali sahaja.

"Operasi HPSF tidak terjejas kerana banjir kilat tidak membabitkan fasiliti yang ada dan semua klinik dan unit kesihatan beroperasi seperti biasa," katanya ketika ditemui di perkarangan HPSF di sini, sebentar tadi.

Tinjauan BH di HPSF mendapati banjir surut sepenuhnya serta operasi perkhidmatan kesihatan yang disediakan juga beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang pesakit yang dipindahkan.

Dr Selahuddeen berkata, air surut sepenuhnya kira-kira jam 5 petang tadi selepas kunci air parit antara HPSF dan Sungai Muar dibuka oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS), selain hujan yang semakin reda.

"Beberapa kereta yang ditenggelami air di kawasan tempat letak kereta HPSF juga sudah dibawa keluar dengan bantuan 10 kakitangan kejuruteraan hospital dan tiada kerosakan serius dilaporkan. Kejadian banjir kilat ini juga tidak menyebabkan sebarang kerugian kepada pihak hospital.

"Cuma kita terpaksa menutup sementara dua daripada lapan lif yang terdapat di hospital ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana khuatir jika dimasuki banjir," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta orang ramai supaya tidak panik dengan kejadian ini dan sekiranya terdapat masalah atau pertanyaan boleh menghubungi terus kepada pihak HPSF.

Katanya, pihak HPSF juga meminta orang ramai termasuk pihak tertentu supaya tidak menviralkan kejadian ini kerana ia boleh menyebabkan rasa panik khususnya kepada pesakit dan juga mereka yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di hospital ini.

PENGARAH HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz.
PENGARAH HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz.

Berita Harian X