Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:12pm

Nak pinjam duit, bayar dulu

KUALA LUMPUR: Polis tumpaskan satu sindiket yang mengutip 'yuran pemprosesan' kononnya sebelum mengeluarkan pinjaman kepada mangsa dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Cheras.

Sepasukan polis menyerbu kediaman itu jam 12.45 tengah malam Jumaat lalu dan menahan tujuh suspek, termasuk dua wanita yang berusia antara 19 hingga 27 tahun.

KAD ATM, telefon bimbit serta kad sim yang digunakan oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud. - Foto NSTP/Yazit Razali
KAD ATM, telefon bimbit serta kad sim yang digunakan oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud. - Foto NSTP/Yazit Razali

Terdahulu polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang curiga dengan operasi sindiket terbabit selepas menjadi mangsa.

Sindiket ini dikesan mengaut keuntungan mudah dengan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang terlebih dahulu kononnya untuk yuran pemprosesan dan guaman sebelum pinjaman diluluskan.

Selepas bayaran dijelaskan, mangsa biasanya tidak akan mendapat pinjaman wang seperti yang dijanjikan.

KOMPUTER riba yang digunakan oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud. - Foto NSTP/Yazit Razali
KOMPUTER riba yang digunakan oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud. - Foto NSTP/Yazit Razali

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata sindiket ini dikesan mengiklankan 'perkhidmatan' mereka di laman sosial seperti Facebook, WeChat, WhatsApp dengan pelbagai tawaran menarik.

Katanya, antara tawaran itu adalah mereka yang disenarai hitamkan pihak bank boleh membuat pinjaman selain tawaran faedah bayaran balik yang rendah serta pinjaman mudah diluluskan dan cepat.

"Sindiket ini tumpas apabila seorang kerani wanita berusia 26 tahun membuat laporan polis minggu lalu selepas curiga dengan operasi 'syarikat peminjam wang' berkenaan.

"Mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan sindiket itu di Facebook dan mengisi borang yang disediakan untuk membuat pinjaman sebanyak RM28,000.

"Selepas dihubungi seorang pekerja syarikat terbabit, mangsa diminta membayar yuran memproses dan guaman berjumlah RM7,810 sebelum sekali lagi diminta menambah jumlah bayaran," katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Katanya, wanita itu mula curiga dan mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan sebelum membuat keputusan untuk membuat laporan polis.

"Hasil siasatan lanjut, sindiket ini terbabit dengan sekurang-kurang 55 kes penipuan di seluruh negara membabitkan kerugian berjumlah RM220,000.

"Untuk daerah Dang Wangi, kita menerima dua laporan polis berhubung kes ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM13,875," katanya.

Katanya, sindiket turut menggunakan maklumat peribadi individu yang diupah untuk menggunakan namanya membuka akaun bank bagi mangsa memasukkan wang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MOHD Sukri (tengah) pada sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket pinjaman wang tidak wujud di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Yazit Razali
MOHD Sukri (tengah) pada sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket pinjaman wang tidak wujud di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Yazit Razali
Berita Harian X