Sabtu, 26 September 2020 | 10:30am
TIDUR berdengkur menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan dan hubungan antara pasangan. - Gambar Hiasan
TIDUR berdengkur menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan dan hubungan antara pasangan. - Gambar Hiasan

Masalah dengkur undang bahana

Kebanyakan orang menganggap tidur berdengkur hanya masalah biasa dan mungkin petanda seseorang itu terlalu penat. Malah ada mengatakan dengkur itu menandakan seseorang itu nyenyak tidur.

Bagaimanapun, semua itu adalah mitos dan boleh membawa masalah lebih serius jika tidak dirawat segera. Masalah itu bukan hanya pada individu dewasa tetapi, juga dikesan dalam kalangan kanak-kanak.

Pakar Perunding Perubatan Paru-Paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, berkata mitos dan salah faham ini perlu diperbetulkan.

"Saya pernah terdengar seseorang berdengkur, bermakna pasangannya sayang. Perkara ini tidak benar dan hanya mitos.

"Berdengkur ini boleh menimbul pelbagai kesan termasuk memusnahkan hubungan dengan pasangan dan keluarga.

"Ini kerana akibat dengkuran, pasangannya tidak mendapat lena yang cukup hingga menjejaskan produktivitinya hingga ada yang mahu bercerai-berai," katanya berkongsi topik dalam program bual bicara, 'Masalah Tidur, Rawatan Berdengkur, Adakah Ia Satu Penyakit?' , baru-baru ini.

Punca dengkur

Dr Nurul Yaqeen berkata, berdengkur terjadi apabila saluran pernafasan menjadi sempit dan ketika otot terutama di bahagian tekak yang kebiasaannya berada dalam keadaan rehat.

"Penyempitan pada saluran pernafasan yang berlaku ketika tidur atau lebih dikenali sebagai Obstructive Sleep Apnea (OSA), di mana masalah ini berlaku semasa tidur dan ketika otot berehat.

"Tidur adalah proses rejuvenasi di mana sel badan mengalami pemulihan dan ketika itu juga, otot berada dalam keadaan rehat. Ini mengakibatkan saluran pernafasan tertutup separuh atau keseluruhan.

"Ini menyebabkan oksigen kurang untuk memasuki paru-paru. Hal ini akan menyebabkan seseorang yang mengalami masalah terhenti seketika pernafasan dan membuatkan terjaga daripada tidur dan kitaran itu berulangan beberapa kali hingga menjejaskan kualiti tidurnya," katanya.

Kategori OSA

Dua kategori simptom OSA iaitu simtom berlaku pada waktu siang dan simptom berlaku di waktu malam.

Lazimnya siang, seseorang itu mudah marah, sukar untuk fokus dalam pekerjaan, tertidur ketika memandu atau semasa mengendalikan jentera berat berikutan kualiti tidur terganggu.

"Ketika malam, masalah berdengkur ini mengakibatkan 'apnea' (terhenti nafas seketika), kerap ke tandas sehingga lima hingga enam kali semalaman selain mulut, tekak kering serta mengganggu pasangan di sebelahnya berikutan dengkuran kuat," katanya.

Banyak kriteria boleh dilihat menentukan seseorang itu penghidap atau sebaliknya. Ia boleh dikenal pasti menerusi borang kaji selidik STOP-BANG iaitu Berdengkur (S), Letih (T), Diperhatikan (O), Tekanan darah tinggi (P), Indeks Jisim Badan (B), Umur (A), Saiz Leher (N) dan Jantina (G).

"Dalam soal selidik ini, tumpuan jika umur seseorang itu melebihi 50 tahun, ukur lilit leher lebih 40 sentimeter dan lelaki yang mengalami risiko lebih tinggi," katanya.

DENGKURAN boleh mengakibatkan apnea (nafas terhenti seketika). - Gambar hiasan
DENGKURAN boleh mengakibatkan apnea (nafas terhenti seketika). - Gambar hiasan

Kesan simptom dengkur

Kaedah lain dikenal pasti adalah menerusi Epworth Sleepness Scale (ESS) melihat kepada aspek kecenderungan seseorang untuk tidur.

Antara ciri-ciri yang boleh dikenal pasti melalui skala ini adalah orang yang senang tertidur ketika menaiki kenderaan, mengalami 'micro sleep' ketika memandu, senang tertidur ketika berada di tempat umum, mesyuarat dan beberapa ciri lain.

"Permasalahan tidur berdengkur ini boleh disahkan dengan melakukan ujian ke atas pesakit, iaitu Ujian Diagnostik OSA- polysomnography, iaitu pemeriksaan lanjut di makmal tidur beberapa wayar diletakkan di bahagian kepala, dada, dan otot di tangan dan kaki.

"Ujian ini mengambil masa semalaman dan keesokan paginya pesakit boleh mengetahui keputusannya dan pulang ke rumah.

"Dengkur ada beberapa tahap berbeza iaitu tidak ketara, sederhana dan serius. Rawatan boleh dicadangkan ialah Continuous Positive Airway Pressure (CPAP), iaitu rawatan khusus untuk OSA.

"Antara teknik lain adalah teknik pembedahan oleh pakar bedah tekak dan teknik rawatan oleh pakar pergigian. Teknik terbaik galakkan pesakit mengurangkan berat badan dengan kaedah senaman serta kawalan pemakanan.

"Teknik rawatan bola tenis juga boleh dilakukan. Ia adalah teknik yang menggalakkan pesakit tidur dalam keadaan mengiring, dan ia boleh dilakukan untuk pesakit yang mengalami masalah tidur berdengkur peringkat awal atau tidak ketara" katanya.

INFO: Masalah berdengkur

  • Mengakibatkan 'micro sleep' boleh menyebabkan kemalangan, dalam tempoh beberapa saat atau sehingga 30 saat, seseorang boleh tertidur tanpa sedar.
  • Akibat kekurangan tidur keupayaan membuat keputusan tidak optimum.
  • Boleh mengakibatkan kemalangan dan otak tidak boleh berfungsi dengan baik
  • Perlu lapan jam waktu tidur dan jika kurang, boleh menyebabkan tidur mikro.
  • Gejala 'micro sleep'

  • Sering tersalah lorong pemanduan ketika memandu, mungkin mikro sleep
  • Mata terasa berat hingga cuba melawan mengantuk
  • Kerdip mata dengan lebih kerap kerana cuba untuk melawan keadaan mengantuk.
  • Tip elak 'micro sleep'

  • Dengar muzik, berbual dengan penumpang lain ketika memandu
  • Cukup tidur
  • Berehat dan tidur sebentar jika terlalu mengantuk ketika memandu.
  • Berita Harian X