Sabtu, 8 Ogos 2020 | 10:30am
AIDA Munirah bersama suaminya yang sentiasa memberi sokongan menghadapi saat getir disahkan kanser tahap empat kanser kelenjar air liur. - Foto/Ihsan Aida Munirah
AIDA Munirah bersama suaminya yang sentiasa memberi sokongan menghadapi saat getir disahkan kanser tahap empat kanser kelenjar air liur. - Foto/Ihsan Aida Munirah

Tabah harungi penyakit jarang jumpa

TIDAK mudah untuk menceritakan mengenai penyakit pernah dideritai, apatah lagi kisahnya itu berlalu sudah 10 tahun lalu.

Kanser dideritai itu antara penyakit jarang jumpa dan cuma dihidapi antara seorang atau pesakit di negara ini.

Namun, takdir hidup Aida Munirah Azmi, 34 diuji sekali lagi apabila kanser kelenjar air liur atau adenoid cystic carcinoma (ACC) itu dikesan kembali aktif selepas hampir sedekad berjaya 'dibuang', membuatkan jiwanya kini dibelenggu pelbagai perasaan yang sukar diluahkan.

Lantaran kanser itu kembali aktif, penganalisis kewangan di syarikat swasta ini cuti sakit selama dua tahun dan terpaksa kembali berjuang demi kehidupannya kerana percaya setiap ujian itu ada hikmahnya.

Apatah lagi ibu kepada empat cahaya mata, masing-masing berusia setahun hingga lapan tahun, memerlukan sepenuh perhatiannya dan suaminya, Mohd Azmir Zanul Abdin, 34, seorang jurulatih kecergasan bekas pemain ragbi kebangsaan, tidak pernah lelah memberikan sokongan.

Aida Munirah berkata, segala-galanya bermula daripada satu benjolan di bawah leher kanannya, tetapi tidak menyakitkan.

Namun, lama-kelamaan benjolan itu semakin membesar. Ketika beliau melakukan rawatan gigi, doktor menyarankan beliau berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan lanjut selepas melihat benjolan berkenaan.

Aida Munirah kemudiannya menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan doktor mengesahkannya mempunyai tumor yang perlu dibuang segera.

"Daripada pembedahan itu, doktor mengesahkan ia kanser dan terus membuat pembedahan kedua untuk membuang kanser yang sudah merebak ke seluruh kelenjar air liur kanan.

KEHIDUPAN positif dan aktif Aida Munirah bersama keluarga.- Foto/Ihsan Aida Munirah
KEHIDUPAN positif dan aktif Aida Munirah bersama keluarga.- Foto/Ihsan Aida Munirah

"Selepas dibedah, saya teruskan dengan enam sesi kemoterapi dan radioterapi bagi membunuh sel kanser dalam badan. Hasil kedua-dua rawatan itu, saya mengalami keguguran rambut, ulser dan dalam beberapa bulan selepas itu saya boleh dikatakan sembuh," katanya.

Ketika disahkan mempunyai kanser, Aida Munirah sukar mempercayainya kerana tiada sejarah keluarga mempunyai penyakit itu, tambahan pula beliau sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala , selain amat mementingkan gaya hidup sihat.

Namun, selepas hampir 10 tahun memandangkan penyakitnya itu dikesan pada 2010, anak sulung daripada empat beradik ini, berkata kanser kali ini sudah tahap empat dan agak kronik kerana sudah merebak ke paru-paru selepas melakukan imbasan X-Ray, pada Disember tahun lalu.

"Tiga kali kemoterapi, namun rawatan terbabit tidak berhasil dan kini bergantung kepada ubat percubaan yang sebenarnya digunakan merawat penyakit buah pinggang dan kanser tiroid kerana tiada penawar spesifik memandangkan ia penyakit jarang jumpa.

"Ubat itu perlu diambil setiap hari untuk tempoh tiga bulan ini dan mempunyai beberapa kesan sampingan seperti darah tinggi, muntah dan lain-lain," katanya.

Biarpun diuji, sisi positifnya jelas terserlah wanita cekal ini mahu terus aktif dalam kehidupan sehariannya seakan mahu melupakan kesakitan ditanggung.

Justeru, beliau memperkenalkan cabaran senaman dikenali sebagai #burpees4Aida, iaitu cabaran burpees sebanyak 100 kali dalam masa sehari sempena mengingatkan orang ramai mengenai Hari Penyakit Jarang Jumpa yang diraikan Februari setiap tahun.

"Sepanjang Februari lalu, saya teruskan senaman mengikut kelajuan atau 'pace' sendiri.

"Saya mahu orang ramai sedar kewujudan penyakit jarang jumpa sekali gus kenalan di media sosial turut melakukannya bersama sebagai tanda solidariti untuk mereka yang sedang melawan kanser.

"Sebenarnya burpees itu mempunyai signifikan tersendiri iaitu senaman yang memerlukan pergerakan seluruh tubuh, dari posisi badan 'plank' dan kembali melompat untuk ke posisi berdiri.

"Ia seperti metafora kehidupan, di kala masa kita jatuh diuji pelbagai cabaran, kita kembali bangkit semula walaupun perit", katanya.

Menerusi inisiatif itu, Aida Munirah berjaya menganjurkan program senaman 100 #burpees4aida secara maya, pada 7 Jun lalu sempena Hari Mangsa Kanser Sedunia memandangkan pada masa itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi acara itu, membuka peluang untuk orang ramai menderma untuk Cancer Research Malaysia berjaya mengumpul dana sebanyak RM16,104.68 membabitkan 369 penyertaan senaman dan sumbangan.

"Selagi ada daya, saya tidak akan menyerah pada takdir dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi setiap kegagalan, dengan sokongan keluarga saya akan kuat semangat," katanya.

Dalam menjalani liku-liku kehidupan yang pelbagai rencam, belia sempat menghasilkan video yang memaparkan bagaimana perjalanan kanser, setiap peringkat dilalui, rutin rawatan dan lain-lain.

"Semua dilakukan untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan sokongan bagi membantu pesakit kanser lain belajar apa yang saya lalui," katanya.

Semua orang perlu membuat pemeriksaan kesihatan, menjaga pemakanan, bersenam dan hidup positif untuk menghalang sel kanser merebak serta memanjangkan tempoh serang semula.

Setiap orang mempunyai air liur dan kelenjar berfungsi menghasilkan air liur yang diperlukan dalam proses pencernaan, pemakanan dan pertuturan, selain memastikan mulut sentiasa lembab.

Bagaimanapun, ada sesetengah sel dalam kelenjar air liur menjadi mutasi yang menyebabkan sel tumbuh dan terbahagi dengan pantas, kemudian membentuk tumor boleh merebak ke tisu berdekatan.

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (Otorinolaringologi), Prof Dr Marina Mat Baki, berkata kanser kelenjar air liur terutama Adenoid cystic carcinoma (ACC) adalah penyakit jarang ditemui dan sekiranya lewat dikesan sukar peluang untuk sembuh (prognosis) adalah tipis serta sukar.

PROF Dr Marina Mat Baki- Foto/NSTP
PROF Dr Marina Mat Baki- Foto/NSTP

"Terdapat dua pasang kelenjar air liur yang besar dan mudah kelihatan di kawasan leher iaitu kelenjar submandibular (di bawah dagu) dan kelenjar parotid (di kawasan pipi rahang berdekatan dengan cuping telinga), namun kanser ACC lebih kerap dikesan di kelenjar submandibular berbanding parotid.

"Pembengkakkan kelenjar air liur berlaku secara perlahan tetapi sering merebak dan menjadi 'akar' dalam kelenjar air liur itu selepas diagnosis dikenal pasti," katanya ketika diminta mengulas mengenai ACC," katanya.

Kanser ACC ini juga mudah menyusup ke dalam saraf menyebabkan kelumpuhan pada saraf yang berdekatan dan pesakit akan merasa sakit pada kelenjar yang bengkak.

"Sebagai contohnya, jika kanser membabitkan kelenjar parotid, kelumpuhan saraf muka menyebabkan otot muka menjadi lemah, kendur dan muka menjadi tidak seimbang (senget sebelah)," katanya.

Beliau berkata, kanser ini juga boleh kembali semula walaupun pesakit sudah menjalani pembedahan bertahun-tahun sebelumnya.

Katanya, paru-paru adalah organ yang kerap menerima perebakan sel kanser ACC diikuti dengan hati dan tulang.

Simptom awal kanser ACC adalah pembengkakkan kelenjar air liur. Jika sudah mula terasa sakit atau otot muka lumpuh, ia sudah dikira terlambat.

"Jadi sekiranya ada benjolan di leher walaupun kecil, segera berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak (otorinolaringologi). Pakar ini boleh melakukan ujian seperti ultra bunyi, CT scan dan 'fine needle aspiration cytology" untuk mengenal pasti adakah ia kanser atau sebaliknya.

"ACC ini boleh sembuh dengan pembedahan sekiranya dikesan pada peringkat awal. Rawatan radioterapi mungkin diberi selepas pembedahan. Rawatan susulan adalah sepanjang hidup kerana kanser ini boleh datang semula bertahun-tahun kemudiannya walaupun pembedahan berjaya membuangnya," katanya.

AIDA Munirah (dua dari kanan) menyerahkan kutipan dana kepada wakil Cancer Research Malaysia hasil kejayaan menganjurkan burpees4Ai. - Foto/Ihsan Aida Munirah
AIDA Munirah (dua dari kanan) menyerahkan kutipan dana kepada wakil Cancer Research Malaysia hasil kejayaan menganjurkan burpees4Ai. - Foto/Ihsan Aida Munirah

Berita Harian X