Sabtu, 25 Julai 2020 | 10:30am
Pengambilan susu sebagai sebahagian diet seimbang baik untuk kuatkan imun. - Foto hiasan
Pengambilan susu sebagai sebahagian diet seimbang baik untuk kuatkan imun. - Foto hiasan

Bina sistem pertahanan badan

PELBAGAI langkah dilakukan bagi menangani COVID-19 secara menyeluruh termasuk perlu mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan penularannya.

Selain itu, sebagai langkah kendiri, setiap individu termasuk kanak-kanak lebih berisiko dijangkiti virus. Justeru, mereka perlu mempunyai sistem imun yang kuat untuk melindungi diri daripada sebarang penyakit.

Pengurus Saintifik dan Pemakanan, Wendy Goh, berkata sistem imun yang berfungsi dengan baik penting untuk melindungi badan daripada jangkitan dan penyakit.

Katanya, untuk mengekalkan sistem imun, individu perlu mengamalkan pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat.

"Pengambilan diet sihat dan seimbang dengan pelbagai makanan berkhasiat adalah cara terbaik untuk mendapatkan semua nutrien diperlukan badan bagi menyokong sistem imun," katanya.

Antaranya, beliau menyarankan pengambilan susu dan produk tenusu amat digalakkan sebagai sebahagian daripada diet seimbang yang sihat.

Susu bekalkan nutrien yang baik

Beliau berkata, kajian menunjukkan susu dan produk tenusu adalah sumber semula jadi nutrien yang baik dan penting untuk imuniti seperti protein, Vitamin B2, B12, B6, Zink dan Vitamin A2.

Segelas susu lebih baik berbanding minuman lain, selain membantu untuk menyokong keperluan nutrisi untuk keperluan kanak-kanak.

Katanya, protein di dalam susu mengandungi asid amino adalah blok binaan asas sel-sel.

"Protein membina kebanyakan komponen pada badan kita, termasuk kulit, otot, tulang, DNA malah sel-sel imun dan antibodi," katanya.

"Badan hanya mampu menghasilkan asid amino tidak perlu," katanya.

Bagi asid amino perlu, individu perlu mendapatkannya daripada diet.

Protein daripada sumber tenusu dianggap sebagai protein berkualiti tinggi kerana ia mengandungi semua asid amino diperlukan.

"UHT atau susu cecair adalah pilihan yang mudah dan boleh diminum sejuk atau pada suhu bilik untuk kita peroleh nutrien penting pada bila-bila masa.

"Bagi kanak-kanak, pelbagai rumusan susu tepung untuk kanak-kanak di pasaran yang menyokong keperluan pemakanan mereka. Ia juga penting untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta mengekalkan ketahanan diri.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Jaga usus

Pelbagai vitamin dan mineral seperti Vitamin A, D, B2, dan B12, serta kalsium, fosforus, zink daripada susu dan produk susu1 juga perlu untuk kanak-kanak.

Goh berkata, ibu bapa juga perlu menyediakan snek yang baik untuk anak seperti minuman susu berkultur kerana mengandungi probiotik.

"Sesetengah produk susu mengandungi prebiotik yang menyokong persekitaran usus yang sihat. Ini penting kerana 70 peratus sistem imun boleh didapati dalam usus kita," katanya.

Beliau menjelaskan, usus mengandungi lebih 200 trilion bakteria baik dan tidak baik.

Keseimbangan kedua-dua jenis bakteria itu perlu dikekalkan kerana jika bilangan bakteria baik menurun, bakteria tidak baik akan mengambil alih dan menyebabkan penyakit.

Oleh itu, pengambilan probiotik dan prebiotik penting untuk mengekalkan kesihatan usus yang baik seterusnya menyokong sistem imun yang kuat.

"Mulakan dengan amalan pemakanan baik dan gaya hidup sihat untuk membina sistem imun berkesan. Hidangkan segelas susu ketika dalam sajian makan.

"Gabungan pengambilan susu dengan diet yang seimbang berserta senaman yang kerap membolehkan kita membina sistem pertahanan badan yang kuat," katanya.

Info:

Vitamin A - menyumbang kepada pengekalan fungsi sistem imun dan lapisan kulit melindungi daripada bakteria berbahaya.

Vitamin D - berfungsi untuk mengawal fungsi imun, serta memudahkan tindak balas imun badan terhadap penceroboh berbahaya.

Zink - berperanan dalam fungsi normal sistem imun, selain memberikan sifat antioksidan dan anti-radang.

Kalsium - untuk membina tulang yang kuat, memberi isyarat kepada sel-sel imun.

Berita Harian X