Sabtu, 18 Julai 2020 | 11:46am
SALURAN darah tersumbat atau pecah menyebabkan kegagalan beberapa bahagian otak mengakibatkan strok. - Foto/AGENSI
SALURAN darah tersumbat atau pecah menyebabkan kegagalan beberapa bahagian otak mengakibatkan strok. - Foto/AGENSI

Awas gejala awal strok

Ramai masyarakat mengabaikan gejala awal strok atau angin ahmar kerana beranggapan ia hanya satu isyarat penyakit yang tidak perlu dirisaukan, seterusnya mengakibatkan serangan strok yang lebih teruk.

Data terkini strok di negara ini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pesakit muda terutama lelaki berusia pertengahan 30-an sehingga 40-an.

Pakar Neurologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Dr Wan Asyraf Wan Zaidi, berkata masyarakat perlu mengambil berat setiap perubahan dialami dan tidak berlengah mendapatkan rawatan segera.

Katanya, strok adalah masalah perubatan kecemasan, lazimnya penyakit ini ia terbahagi kepada dua iaitu 75 peratusnya membabitkan masalah salur darah tersumbat dan sebahagian lagi salur darah pecah (25 peratus).

"Kebiasaannya rawatan strok ini boleh dibahagi kepada dua, iaitu rawatan akut dan pemulihan bagi menghalang serangan berulang," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Strok Malaysia menjelaskan, individu boleh mengenal pasti menderita strok apabila ada perubahan seperti muka menjadi herot atau lemah.

Malah, jika pesakit senyum, barisan gigi jelas kelihatan, selain apabila cuba mengangkat tangan hingga ke paras bahu selama 10 saat terasa lemah, berat dan kebas, ia mungkin tanda mengalami strok.

"Pesakit strok juga apabila bercakap, tutur kata tidak jelas seperti memberitahu nama dan mengenal pasti alatan lazim seperti jam dan pensel.

"Jika ada simptom itu segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk memanggil ambulans untuk membawanya ke hospital. Ada sebilangan pesakit cenderung mengalami penglihatan kabur atau hilang keseimbangan secara tiba-tiba," katanya.

Dr Wan Asyraf berkata, strok boleh berlaku secara tiba-tiba dan dengan hanya rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa.

"Sama ada strok kecil atau besar, pesakit perlu segera ke hospital seperti ada masalah salur darah di otak tersumbat.

"Sebenarnya semakin lama seseorang itu bertangguh, semakin buruk akibatnya," katanya yang kerap memberikan ceramah di masjid bagi meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan dan berkongsi kepakaran dalam bidangnya.

"Ini adalah konsep 'dakwah' daripada saya yang tidak mempunyai kelayakan bidang agama, namun berkongsi ilmu perubatan tepat untuk manfaat tidak kira di masjid, surau, pejabat dan sekolah.

"Masjid tumpuan Muslim dan saya juga menggalakkan rakan melakukan perkara sama bagi manfaat masyarakat di Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, strok berpunca daripada masalah salur darah, yang memberi kesan terhadap organ penting iaitu otak.

"Pesakit biasanya tak tunjukkan tanda awal seperti sakit kepala jika seseorang cuba mengambil analogi jantung yang boleh mengalami sakit dada.

"Di Malaysia, rawatan strok sudah banyak berubah. Pesakit harus tiba seawal yang mungkin kerana tempoh rawatan singkat saja, iaitu kira-kira 4.5 jam dari mula tanda-tanda strok," katanya.

Beliau berkata, rawatan salur darah tersumbat dengan menggunakan ubat atau teknik 'endovascular' terkini di hospital bertujuan membuka saluran darah dengan segera bagi menyelamatkan sel-sel otak daripada rosak dan menyebabkan lumpuh anggota badan.

"Kajian juga menunjukkan setiap minit salur darah tersumbat, dua juta sel otak akan rosak dan hilang fungsi. Justeru, rawatan awal memberikan peluang sembuh dengan lebih baik," katanya.

Penyakit strok bukan remeh kerana satu daripada lima dewasa mengalami strok dalam tempoh hayatnya.

"Contoh di HCTM secara purata menerima dua pesakit strok setiap hari. Ini bermakna lebih 700 pesakit setiap tahun dan jumlah itu dijangka meningkat atas pelbagai faktor persekitaran," katanya.

Beliau berharap, masyarakat lebih cakna masalah kesihatan dan membuat saringan secara berkala.

"Kita tak mahu mereka mengalami komplikasi akibat terlambat mendapatkan rawatan kerana strok lebih mampu dirawat bermula daripada peringkat awal," katanya.

Info

80 peratus penyebab strok boleh dikenal pasti dan diubah :

* Darah tinggi yang tidak terkawal.

* Kencing manis tidak terkawal.

* Tidak melakukan senaman yang cukup (minimum 30 minit atau lima kali seminggu).

* Tidak mengamalkan pemakanan yang sihat. Tidak mengambil sayuran dan buah-buahan yang cukup.

* Pengambilan makanan berkolesterol, garam dan manisan yang berlebihan.

* Mengambil minuman beralkohol.

* Merokok dan pengambilan dadah terlarang.

* Tidak mendapatkan rawatan pemfibrilan atrium dan lemah jantung.

* Berat badan yang berlebihan

Berita Harian X