Sabtu, 4 Julai 2020 | 10:57am
Tahap kesihatan otak perlu dijaga. - Foto hiasan
Tahap kesihatan otak perlu dijaga. - Foto hiasan

Risiko gangguan otak

Bilakah kali terakhir memberi perhatian kepada tahap kesihatan otak anda? Otak kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengawal setiap pergerakan dan memastikan kehidupan terkawal, ia juga bertanggungjawab mengawal tindak balas kognitif, reseptor deria, malahan untuk mengingati hari ulang tahun ahli keluarga anda.

Kesihatan otak sama pentingnya dengan kemampuan untuk berfikir, bertindak dan hidup dengan baik. Kesihatan otak yang baik penting untuk minda aktif dan sihat terutama apabila semakin meninjak usia tua.

Pada waktu pandemik COVID-19 ini, kita secara tidak sedar akan membina tabiat baharu. Sepanjang tempoh ini, kita mungkin akan menghadapi cabaran yang boleh memperburuk atau meningkatkan risiko gangguan otak seperti migrain, strok bahkan demensia.

Pakar Neurologi Sunway Medical Centre Velocity, Dr Kok Chin Yong, mengesyorkan untuk mengamalkan SEMMMS, iaitu beberapa langkah untuk mencegah penyakit di bahagian otak dan untuk memastikan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Risiko gangguan otak. - Foto hiasan
Risiko gangguan otak. - Foto hiasan

SEMMMS adalah seperti berikut:

1. Tidur adalah kunci kesihatan

Banyak kajian menunjukkan tabiat tidur yang lemah boleh menyebab atau mempercepat penurunan kognitif. Dua kajian susulan yang dilakukan di Sepanyol dan Iceland menunjukkan orang tua yang menghidapi insomnia dan lebih berisiko mengalami penyakit Alzheimer (AD).

Tidur yang terlalu sedikit boleh mengakibatkan migrain. Tidur yang baik ('sleep hygiene') adalah kunci mencapai kualiti tidur malam yang baik.

Justeru, individu perlu mengelakkan menggunakan peralatan yang mempunyai pacarana cahaya antara satu hingga 2 jam sebelum tidur.

Mereka juga perlu mengelak sebarang aktiviti lain kecuali tidur di atas katil, tidak mengambil minuman berkafein selepas jam 3 petan, selain elak makanan berat atau melakukan senaman berintensiti tinggi pada waktu malam.

2. Kerap bersenam

Gaya hidup yang aktif terbukti memberi manfaat kepada kesihatan otak. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tahun lalu menyarankan individu mengamalkan gaya hidup aktif kerana ia bermanfaat untuk mengurangkan risiko demensia.

Fizikal yang tidak aktif juga adalah faktor risiko yang boleh dikawal bagi mengelak penyakit strok. Kita perlu menetapkan matlamat untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 40 minit pada satu masa untuk tiga kali seminggu.

3. Kawal penyakit anda

Tekanan darah tinggi adalah salah satu faktor risiko menghidap strok. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengawal tekanan darah.

Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan perubahan pada saluran darah kecil pada otak, seterusnya akan menyebabkan anda berisiko mengalami strok dan demensia di kemudian hari.

Mereka yang menghidap diabetes mesti berdisiplin untuk mendapatkan rawatan susulan kerana mereka berisiko tinggi menghidap hipertensi dan kolesterol tinggi, di mana kedua-duanya memerlukan mengambil ubat tepat pada masanya.

4. Amalkan meditasi

Amalan berdasarkan meditasi ditemukan boleh mengurangkan serangan berulang kemurungan dan ketagihan.

Pandemik COVID-19 di seluruh dunia meningkatkan jumlah masalah kesihatan mental, terutamanya yang berkaitan dengan kegelisahan. Kajian oleh Beth Israel Deaconess Medical Centre, baru-baru ini menunjukkan meditasi memainkan peranan penting untuk memperlahankan pengembangan demensia yang berkaitan dengan Alzheimer.

Sekiranya diamalkan secara berkala, meditasi boleh membantu menenangkan fikiran seseorang, mengurangkan kegelisahan dan membantu mengawal tekanan.

5. Mengamalkan diet 'MIND'

MIND bermaksud Mediterranean-DASH untuk penundaan Neurodegeneratif dan adala gabungan kedua-dua diet Mediterranean dan DASH.

Diet ini terdiri daripada sayur-sayuran hijau, berdaun, bijirin, beri, minyak zaitun, ayam, ayam belanda dan ikan.

Kajian Epidemiologi menunjukkan diet ini dapat melambatkan penuaan otak sekitar 7.5 tahun dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Tabiat pemakanan buruk seperti pengambilan garam yang tinggi dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sedikit adalah tingkah laku utama yang boleh diubah suai bagi menyumbang kepada peningkatan kecacatan dari penyakit kardiovaskular dan strok.

6. Bersikap aktif dari segi sosial

Menjadi seorang yang aktif dan bersosial dapat mengurangkan risiko mengalami demensia. Interaksi sosial tidak terhad kepada perbualan secara bersemuka sahaja.

Kita juga boleh berinteraksi melalui perbualan telefon, e-mel atau panggilan video.

Situasi pandemik ini tidak sepatutnya membatasi interaksi sosial kita tetapi sepatutnya mendorong kita untuk melihatnya dengan cara yang baru.

Ada banyak platform yang membolehkan perbualan lebih daripada dua orang pada satu masa secara maya dan ini boleh menjadi cara yang baik untuk terus berhubung dengan rakan.

Membentuk rangkaian sokongan yang baik juga boleh membantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan.

Banyak penekanan diberikan kepada pesakit yang memerlukan penjagaan neurologi. Hospital tertiari ini mempunyai Pusat Neurocentre Velocity (VNC) yang terdiri daripada pasukan Penjagaan Strok Akut yang khusus untuk memberi pelbagai jenis rawatan kepada pesakit strok dari tahap awal hingga rawatan selepas pulih dari strok.

Strok adalah penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemik, yang berlaku apabila bekalan darah ke otak tersekat atau berkurang kerana darah beku dan Strok Hemoragik, yang berlaku apabila arteri otak pecah dan menyebabkan pendarahan.

Dr Kok berkata, di hospitalnya adalah satu dari hanya beberapa pusat tertiari swasta yang menawarkan rawatan trombolosis strok hiperakut, iaitu rawatan yang berpotensi mengembalikan peredaran darah pada pesakit strok iskemik.

Katanya, rawatan ini paling berkesan jika dilakukan pada tahap awal pengesanan strok. Setiap saat sangat berharga ketika merawat pesakit strok.

"Dalam kebanyakan kes, pesakit strok dikaitkan dengan faktor yang tidak boleh diubah seperti umur dan sejarah keluarga.

"Faktor yang boleh diubah ialah sejarah perubatan, gaya hidup dan pemilihan diet.

Sekiranya anda mengalami gejala strok seperti masalah keseimbangan, perubahan pada tahap penglihatan, lemah di bahagian muka atau lengan, atau kesukaran untuk bercakap, seeloknya memberitahu orang terdekat.

"Anda perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau pusat perubatan. Ingatlah, setiap detik sangat berharga. Amalkan SEMMMS dan jaga kesihatan otak anda setiap masa," katanya

Berita Harian X