Sabtu, 27 Jun 2020 | 12:50pm
Kanser payudara. - Foto hiasan
Kanser payudara. - Foto hiasan

Krisis pesakit kanser payudara

KESEDARAN mengenai bahaya penyakit kanser payudara semakin meningkat, namun tidak semua pesakit yang disahkan menghidap kanser payudara bersedia berdepan dan menerima secara positif.

Selain emosi antara faktor yang paling terkesan, wujud juga beberapa faktor sosioekonomi antaranya logistik, kewangan dan kekurangan akses keperluan asas yang menjejaskan kestabilan pesakit untuk terus mendapatkan rawatan seterusnya.

Ditambah lagi dalam keadaan negara berdepan krisis kesihatan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, menjadikan ia bertambah sukar sekali gus berupaya menjadi punca kepada kematian hampir separuh pesakit barah payudara di negara ini.

Justeru, Jun adalah Bulan Pejuang Pesakit Barah dan menerusi kajian dilakukan oleh Cancer Research Malaysia (CRMY) dengan kerjasama Program Navigasi Pesakit Kanser Payudara (PNP) terhadap 211 pesakit kanser payudara dengan jumlah pendapatan di bawah RM3,000 ketika PKP, memperoleh data yang sangat mengejutkan.

Ini memandangkan ketika PKP, bagi pesakit yang didiagnos, pihak hospital terpaksa membatalkan atau menangguhkan pembedahan elektif termasuk kemoterapi dan radioterapi.

Manakala yang belum didiagnos tetapi mempunyai kanser mendapati, risiko berdepan dengan COVID-19 lebih tinggi daripada saringan dilakukan selain daripada cabaran seperti kapasiti hospital yang terhad dan kekurangan kelengkapan perlindungan diri.

Ketua Pegawai Saintifik CRMY, Datin Paduka Prof Dr Teo Soo Hwang, berkata keputusan kajian menunjukkan sebanyak 87 peratus memberi kesan kepada emosi pesakit, 85 peratus berkaitan kewangan, 65 peratus kurang akses kepada keperluan asas dan 43 peratus pula berdepan cabaran logistik dan maklumat tambahan mengenai COVID-19.

Katanya, pesakit barah payudara yang kurang berkemampuan tiga kali ganda berdepan krisis dan kebanyakan daripada mereka kaum Melayu dan India, tetapi jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing, pesakit kurang berdepan krisis sebanyak lima kali ganda.

"Separuh daripada kajian terhadap pesakit juga menunjukkan mereka memerlukan bantuan sosioekonomi ketika PKP yang di mana pesakit dari kumpulan berpendapatan rendah sebanyak 57 peratus dan sederhana pula 56 peratus.

"Bantuan yang diperlukan adalah seperti pengangkutan untuk ke hospital, ketiadaan sumber makanan untuk keluarga memandangkan tiada pekerjaan, tiada maklumat tambahan bagaimana mengatasi penyakit yang akhirnya menjadikan mereka tidak dapat meneruskan rawatan susulan," katanya.

Dr Soo Hwang berkata, secara tidak langsung, keadaan sosioekonomi yang tidak kukuh, turut memberi kesan berbelah bahagi kepada pesakit kanser payudara untuk meneruskan rawatan dan akhirnya menjadi penyebab kepada kadar kematian yang tinggi.

Katanya, pesakit yang memerlukan sokongan dan nasihat kesihatan serta rawatan pula hanya 27 peratus daripada jumlah kajian.

Jelasnya lagi, cabaran dan krisis dihadapi oleh pesakit dari kumpulan berpendapatan tinggi pula berbeza kerana mereka mempunyai sumber pendapatan kukuh.

Dr Teo Soo Hwang (tengah) bersama Maheswari Jaganathan (kiri) dan Pegawai Perhubungan Yayasan Sime Darby, Laili Ismail ketika sesi pengenalan Program Navigasi Pesakit Cancer Research Malaysia. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Dr Teo Soo Hwang (tengah) bersama Maheswari Jaganathan (kiri) dan Pegawai Perhubungan Yayasan Sime Darby, Laili Ismail ketika sesi pengenalan Program Navigasi Pesakit Cancer Research Malaysia. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

"Apa yang pesakit itu bimbangkan ialah bagaimana mereka hendak menghadapi penyakit kanser payudara iaitu lebih kepada membabitkan emosi mereka," katanya.

Justeru, secara tidak langsung, kajian yang dilaksanakan ini mampu menjadi data penting untuk CRMY membina satu kualiti model untuk setiap negara di seluruh dunia menggunakannya.

"CRMY sudah berjaya dalam menjadi beberapa peneraju kajian dan kini akan melancarkan ujian klinikal untuk pilihan rawatan yang berkesan pesakit barah di Asia," katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya sedang membangunkan kalkulator risiko kanser payudara utama untuk wanita Asia dan sedang membina aplikasi pintar untuk mengesan barah oral.

"Bagi memastikan kajian berkesan dapat diteruskan, kewangan kukuh, pakar dan kerjasama daripada penderma lain sangat diperlukan," katanya.

Program Navigasi Pesakit Kanser Payudara (PNP) yang juga menjadi pusat sehenti di beberapa buah hospital kerajaan di Klang, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara akses penting ditubuhkan untuk golongan pesakit kanser payudara sasaran bagi meneruskan rawatan mereka.

Sehingga kini, sebanyak 98 peratus pesakit kanser payudara berjaya melengkapkan rawatan dan secara tidak langsung mampu mencegah separuh daripada kematian penyakit ini di negara ini.

Pengurus PNP, Maheswari Jaganathan, berkata di setiap PNP, anggotanya terdiri daripada pasukan perubatan dan komuniti di mana masing-masing menjalankan peranan membantu pesakit barah payudara.

"Dari sudut pasukan komuniti, di sinilah peranan sosioekonomi dimainkan supaya pesakit dapat meneruskan rawatan daripada hanya memikirkan kematian.

"Malah pasukan PNP akan memastikan sokongan diberikan sejak dari hari pertama pesakit dengan surat rujukan hospital sehinggalah mereka tamat diberikan rawatan," katanya.

Jelasnya lagi, kadar pesakit yang gagal mendapatkan rawatan juga menurun daripada 15 peratus kepada dua peratus saja, iaitu satu pencapaian yang baik.

"Malah, maklum balas daripada pesakit juga sangat baik di mana sehingga kini, di Hospital Klang saja, lebih 1,000 pesakit kanser payudara sudah di bantu.

"Kini, dua PNP baharu di Kota Kinabalu dan Kuching kini sudah membantu lebih daripada 150 pesakit," katanya.

Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai pengalaman pesakit kanser payudara, yang hanya mahu dikenali sebagai Madam S, 51, beliau yang tidak bekerja berkata, PKP adalah waktu sangat terkesan kepadanya memandangkan hanya anak lelakinya yang menjadi ketua keluarga.

"Ini waktu yang sukar bagi kami, makanan perlu dicatu kerana masalah kewangan. Ketika saya berputus asa, bantuan yang diberikan oleh PNP sangat dihargai.

"Pasukan PNP membantu saya dari semua sudut termasuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang banyak memainkan peranan ketika waktu genting ini untuk kesinambungan ketika PKP," katanya ketika didiagnos kanser payudara pada 2018.

Bagi, Puan R, 46, pula beliau yang disahkan menghidap kanser payudara pada Oktober lalu, berkata keadaan PKP di mana suaminya kerap mengambil cuti sakit berikutan kurang sihat memberi kesan kepada pendapatan isi rumahnya.

"Untuk mendapatkan pekerjaan sangat sukar dan saya bertemu dengan pasukan navigasi, iaitu mereka memberi pelbagai nasihat dan bantuan untuk jalan keluar daripada masalah ini.

"Dua anak saya mengambil tanggungjawab bekerja untuk membayar pinjaman rumah dan bil utiliti lain. Malah pasukan navigasi juga membantu mendapatkan bantuan dari JKM, MySalam dan sebagainya.

"Kini saya lega kerana sekurang-kurangnya boleh membayar untuk pengangkutan dan kemasukan ke hospital. Tidak kurang juga, pasukan navigasi ini juga membantu menguruskan bantuan makanan sepanjang PKP, satu kelegaan yang sangat besar pada saya," katanya.

Justeru, bagi memastikan kesedaran mengenai kewujudan PNP ini lebih meluas, orang ramai boleh menderma bagi menyokong kajian di cancerresearch.my, membantu menyebarkan di laman sosial dan menderma di platform Shopee dan Boost.

INFO

Berkaitan Bulan Pejuang Pesakit Barah

• Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Asia mempunyai 48.4 peratus kes dari seluruh dunia dengan kematian 57.3 peratus

• Pada 1970, satu daripada empat pesakit berjaya berjuang dalam tempoh 10 tahun, meningkat kepada dua daripada empat pada 2010.

• Sasaran tiga daripada empat berjaya berjuang pada 2050.

•Pada 2018, 2.1 juta kes baharu dan di Malaysia sebanyak 7,593 dilaporkan.

INFO CRM

• Berjaya menjadi Malaysia sebagai negara pertama di Asia dengan akses ke seluruh negara kepada risiko genetik kaunseling untuk pesakit barah ovari.

• Berjaya membina pangkalan data genetik terbesar di dunia untuk pesakit barah payudara Asia.

• Peneraju penyelidikan Asia untuk kajian genetik barah payudara global.

Hospital KKM yang mempunyai Klinik Payudara dengan Program Navigasi Pesakit Kanser Payudara:

A. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

B. Hospital Tuanku Jaafar, Seremban

C. Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu

D. Hospital Umum Sarawak, Kuching.

Berita Harian X