Sabtu, 20 Jun 2020 | 3:00pm

Makanan penyumbang utama penyakit

MAKANAN adalah sumber utama dalam menyumbang kepada sesuatu penyakit, jadi biasanya pada musim perayaan banyak penyakit yang secara tidak secara sedar datang bertandang jika gagal mengawal pemakanan.

Ketika ini, kita masih berada pada bulan Syawal. Dengan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB), ramai dibenarkan merentas negeri, sekali gus membuatkan orang ramai meraikan hari raya bersama keluarga, teman dan taulan.

Selain itu, orang ramai juga sudah semakin bebas untuk keluar makan di restoran dan premis tertentu, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Seperti yang kita maklum pelbagai hidangan enak disediakan ketika rumah terbuka, jika pengambilannya tidak dikawal dengan baik dan teratur, ia boleh mengundang pelbagai penyakit.

Pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur seterusnya mengakibatkan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.

Juadah seperti kuah rendang, sambal ikan bilis, kuah laksa dan lontong mengandungi kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi.

Oleh itu, pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi atau hipertensi perlu mengawal pengambilan garam berlebihan

Tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, paras gula dalam darah tinggi dan sakit perut, antara penyakit yang yang sering dikaitkan apabila gagal mengawal pemakanan.

Sesetengahnya makan semahu-mahunya tanpa

menitikberatkan aspek kesihatan kerana menganggap musim perayaan masa untuk mengambil peluang merasai pelbagai jenis makanan enak yang disediakan terutama ketika merasai masakan ibu atau makan di rumah rakan.

Justeru, jangan sambil lewa kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

Pakar Diet Pemakanan Pantai Hospital Sungai Petani, Norhamizah berkata, perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Katanya, setiap sajian yang diambil harus pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.

"Kita tidak menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan.

"Kurangkan pengambilan atau kuantiti makanan yang manis, berlemak dan masin, contohnya seperti air berkarbonat atau kordial, kuih-muih manis dan lauk-pauk mengandungi kandungan tinggi santan dan minyak," katanya.

Jaga pemakanan

Awas kepada pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa.

Pengambilan air dan makanan manis perlu dihadkan dan tidak boleh diambil berulang kali.

Contohnya seperti biskut yang manis, lemang, ketupat dan air berperisa perlu dikurangkan.

Bagi pesakit darah tinggi pula, mereka perlu mengawal pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak.

Elakkan ambil kuah secara berlebihan dan kurangkan penggunaan perasa tambahan dalam masakan seperti MSG, kicap dan sos.

"Makanan yang berminyak dan berlemak juga perlu dikurangkan seperti makanan bergoreng, santan, penggunaan 'butter' dalam kuih-kuih dan makanan berasaskan haiwan terutama rendang daging ataupun sup daging,' katanya.

Beliau berkata, jika makan secara berlebihan ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Katanya, kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar menurunkannya kembali akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.

Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung, strok dan sebagainya.

"Oleh itu, melalui gaya hidup sihat seperti mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah sangat penting pada bila-bila masa walaupun ketika mengunjungi rumah rakan atau sebagainya untuk mengekalkan berat badan ideal.

Awas kepada pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa.
Awas kepada pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa.

Kurangkan kuantiti makanan

Beliau mencadangakan, bagi pesakit jantung, mereka perlu kurangkan makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula.

Antara rendang, kuah kacang, makanan berasaskan haiwan terutama daging merah, kuih-kuih manis, biskut manis, kerepek dan minuman manis.

Selain, elakkan pengambilan kuah yang berlebihan atau 'banjir' kerana mengandungi tinggi garam dan makanan yang sudah lama dihidang bagi megelakkan keracunan makanan dan sakit perut.

Bagi pesakit jantung, keperluan kalori untuk lelaki dewasa ialah 2,000 kalori sehari manakala wanita dewasa atau warga emas ialah 1,500 kalori sehari.

Contoh kalori makanan:

Ketupat nasi seketul kecil

80 kalori

Lemang sepotong

100 kaloriRendang ayam dua potong kecil

100 kaloriKuah kacang 1 senduk

130 kalori

Kuih almond London sebiji

50 kaloriLaksam 1 mangkuk

300 kaloriPulut kuning 1 senduk

130 kaloriRendang daging 2 ketul

130 kalori

Bahulu 1 biji

60 kaloriBiskut arab 1 biji

50 kaloriDodol 1 potong

70 kaloriKek buah 1 potong

130 kalori

Kerepek ubi

3 keping

50 kaloriBiskut bangkit kelapa 1 biji

40 kaloriBiskut emping jagung 1 biji

80 kaloriAgar-agar kering

1 keping

20 kalori

Tip makan sihat bagi mengurangkan risiko diabetes.

Pesakit kencing manis juga harus makan ikut waktu, selain mematuhi jadual pengambilan ubat, tidak kira di mana pun mereka berada.

Selain itu, diet mereka haruslah sama dengan hari-hari biasa dan a tidak digalakkan mengambil makanan yang berlebihan semasa musim perayaan.

Sebarang perubahan yang besar dalam diet harus dibincang bersama dengan doktor atau pakar pemakanan mereka.

a)Makan secara teratur terutama pada waktu makan utama.

b)Makan dalam kuantiti yang kecil dan elakkan makan dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa terutama makanan berasaskan kanji.

c)Pilih makanan yang tinggi kandungan serat seperti sayur dan makanan berasaskan 'meals' penuh.

d)Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis.

e)Pilih snek yang sihat seperti buah (2 hidangan sehari) sebagai pencuci mulut.

f)Pilih air kosong daripada air berperisa atau berkarbonat.

Tip mudah elak makan berlebihan

•Jangan makan ketika perut terlalu kosong. Amalkan waktu makan yang teratur pada setiap waktu makan utama.

•Amalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia. Suku untuk kanji, suku untuk lauk/protin dan separuh untuk sayur dan buah-buahan.

• Lebihkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan serat bagi membantu mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama.

•Elakkan minum air manis yang kerap dan gantikan dengan air kosong.

•Gunakan pinggan yang kecil supaya makanan tidak kelihatan banyak.

•Kunyah makanan secara perlahan dan nikmati juadah anda dalam keadaan yang selesa.

•Elakkan makan semasa bersembang dan menonton televisyen atau bermain alat elektronik kerana ini akan menyebabkan makan dalam kuantiti yang banyak tanpa sedar.

Di samping itu, lazimnya juadah raya berlemak dan manis. Oleh itu, anda boleh gantikan dengan santan dengan dengan susu rendah lemak

a)Cairkan santan dengan nisbah 2:1 (air:santan).

b)Buang lemak dan kulit pada daging.

c)Gunakan tisu untuk menyerap lebihan minyak makanan bergoreng

d)Gunakan kuali yang tidak melekat ketika menggoreng.

e)Elakkan penggunaan kaedah salut tepung ketika menggoreng.

f)Elakkan menambah gula putih atau perang dalam masakan.

Apa yang perlu setiap individu sama ada yang berpenyakit atau sihat, kuantiti dan jenis juadah perlu diberi perhatian terutama untuk makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak.

Kurangkan pengambilan makanan yang jatuh pada kategori itu bagi mengelakkan risiko penyakit, selain anda dapat mengelakkan berat badan ideal.

Berita Harian X