Sabtu, 6 Jun 2020 | 11:41am
BERJEMUR di bawah cahaya matahari terutama pada awal pagi bagus untuk sistem imun tubuh
BERJEMUR di bawah cahaya matahari terutama pada awal pagi bagus untuk sistem imun tubuh

Berjemur kebalkan sistem imun

Duduk dan beristirehat di rumah mungkin kelihatan ideal untuk semua pihak, namun imunisasi dan antibodi dalam tubuh boleh berkurangan sekiranya terperap tanpa sebarang cahaya matahari.

Cahaya matahari adalah sumber vitamin D yang boleh didapati percuma dari situ ia memberi banyak manfaat kepada kesihatan termasuk bagi meningkatkan sistem kekebalan tubuh secara semula jadi.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata setiap orang perlu meningkatkan imunisasi badan masing-masing.

Katanya, menguatkan daya tahan badan amat penting kerana ia membantu mengurangkan jangkitan pelbagai jenis penyakit sebaliknya apabila tubuh dibentengi oleh kekuatan imunisasi badan.

CAHAYA matahari sumber vitamin D
CAHAYA matahari sumber vitamin D

"Bagi sesetengah penyakit tiada ubat khas untuk tujuan merawat penyakit. Oleh demikian, adalah penting untuk kita menjaga kesihatan, mendapatkan vitamin sesuai, selain bersenam dan mengambil makanan tambahan.

"Tetapi cara paling berkesan dan mudah ketika ini adalah mendapatkan cahaya matahari secukupnya dan tidak selalu berkurung di dalam rumah," katanya kepada BH.

Beliau menjelaskan, melakukan aktiviti di kawasan sekitar rumah seperti menyidai baju atau membersihkan laman rumah juga memadai terutama pada waktu pagi bagi mendapatkan vitamin D menerusi pancaran cahaya matahari.

"Bagi yang tiada laman rumah, anda boleh duduk di beranda seketika atau membuka tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari sepenuhnya.

DR Sazaly Abu Bakar. (Foto/NSTP)
DR Sazaly Abu Bakar. (Foto/NSTP)

"Pada tempoh ketika ini yang kita perlu menjaga penjarakan sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, tidak menghalang bukan alasan untuk mendapatkan cahaya matahari terutama pada awal pagi," katanya.

Pakar Pemakanan dan Dietetik, Prof Dr Hamid Jan Jan Mohamed, turut mengakui rakyat Malaysia ketika perlu meningkatkan kekebalan tubuh badan dalam tempoh yang mencabar ini.

Kata beliau, orang ramai tidak seharusnya mengabaikan tahap kesihatan mereka dan perlu mendapatkan sumber pemakanan yang baik untuk kesihatan tubuh mereka.

"Sayur dan buah penting kerana ia bukan sahaja sumber antioksidan, malah kaya vitamin A, C dan E serta fitokimia, juga sebagai agen pencegah jangkitan kuman.

"Vitamin D penting untuk meningkatkan sistem imun dan pemakanan sesuai seperti susu kerana ia mengandungi probiotik iaitu bakteria baik membantu meningkatkan sistem imum badan," katanya.

Dr Hamid Jan berkata, rakyat Malaysia walaupun berada dalam rumah, mereka tidak seharus mengabaikan pengambilan air kosong.

"Ikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mengambil lapan gelas air kosong sehari," katanya.

Beliau berkata, Vitamin D mereka boleh mendapatkan cara semula jadi menerusi cahaya matahari.

"Dedahkan kulit kepada cahaya matahari dari dalam rumah atau laman rumah iaitu sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Info:

Vitamin D dari cahaya matahari

- Vitamin cholecalciferol (vitamin D3) disintesiskan oleh manusia apabila kulit terdedah kepada sinaran ultraungu B (UVB) dalam cahaya matahari.

- Ia juga dikenali sebagai vitamin "sunshine".

- Sinar UVB dengan gelombang 290-320 nanometer boleh menembusi kulit dan menukarkan provitamin D3 dalam kulit kepada vitamin D3

- Pendedahan selama 5 - 30 minit antara 10 pagi ke 3 petang sekurang-kurangnya dua kali seminggu mampu membekalkan vitamin D yang dapat memenuhi keperluan harian.

- Pendedahan kepada cahaya matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak dapat menghasilkan vitamin D kerana sinar UVB tidak dapat menembusi kaca.

- Individu berkulit gelap memerlukan pendedahan cahaya matahari yang lebih banyak berbanding dengan individu berkulit cerah untuk mengekalkan penyerapan vitamin D yang optimum, kerana pigmen kulit memberi perlindungan daripada cahaya matahari

** Sumber MyHealth KKM

Berita Harian X