Sabtu, 30 Mei 2020 | 11:25am
AMALAN membasuh tangan enam hingga 10 kali sehari kurangkan risiko jangkitan COVID-19: Kajian. Gambar hiasan
AMALAN membasuh tangan enam hingga 10 kali sehari kurangkan risiko jangkitan COVID-19: Kajian. Gambar hiasan

Cuci tangan sehingga 10 kali elak sebar COVID-19

Kajian terbaharu di United Kingdom (UK) mendapati amalan membasuh tangan enam hingga 10 kali sehari dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 bermusim seperti selesema.

Dapatan daripada kajian itu menyokong garis panduan terkini yang menyarankan amalan membasuh tangan bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.

Kajian baharu yang dijalankan oleh sekumpulan pengkaji di University College London itu membabitkan 1,633 responden yang diajukan pertanyaan mengenai tabiat membasuh tangan diamalkan.

Antara soalan yang diajukan adalah kekerapan membasuh tangan, selain mereka turut diuji bagi jangkitan COVID-19 menggunakan kaedah calitan pada hidung.

Hasil daripada kajian itu mendapati amalan membasuh tangan enam hingga 10 kali dapat mengurangkan sebanyak 36 peratus risiko jangkitan COVID-19 bermusim jika dibandingkan dengan individu yang melakukannya kurang daripada lima kali sehari.

Menurut salah seorang pengkaji, Sarah Beale, berkata COVID-19 menunjukkan kaedah jangkitan hampir sama dengan coronavirus bermusim.

"Penting untuk difahami, kekerapan membasuh tangan cuma salah satu daripada aspek penjagaan kebersihan tangan.

"Kita juga sedia maklum tempoh masa mencuci tangan dan konteksnya, sebagai contoh melakukan ketika pulang ke rumah atau selepas makan dapat dikaitkan sebagai kaedah untuk mengurangkan risiko dijangkiti influenza.

"Kebersihan tangan perlu diamalkan setiap masa tanpa mengira terdapatnya simptom atau sebaliknya. Ini dapat melindungi dan mengelakkan penyebaran virus yang berada di sekeliling kita," katanya. – AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X