X
Sabtu, 7 March 2020 | 11:56am
HAMPIR satu pertiga daripada keseluruhan kes kegemukan dilaporkan dalam kalangan orang dewasa di seluruh dunia. Gambar hiasan
HAMPIR satu pertiga daripada keseluruhan kes kegemukan dilaporkan dalam kalangan orang dewasa di seluruh dunia. Gambar hiasan

Ramai warga dunia gemuk menjelang 2025

Sebelum ini, kajian mengenai obesiti mengunjurkan satu daripada lima orang dewasa di seluruh dunia bakal dibelenggu keadaan fizikal sedemikian menjelang 2025.

Namun, berdasarkan penelitian semasa menyaksikan sasaran berkenaan mungkin meleset.

Laporan terbaharu terbitan Persekutuan Obesiti Dunia, baru-baru ini merekodkan peningkatan kadar kegemukan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia, sekali gus mengundang kebarangkalian sasaran yang digariskan menjelang 2025 mengenai masalah keadaan fizikal itu akan gagal dicapai.

Meskipun berbaki lima tahun lagi untuk melakukan keajaiban, unjuran sebelum ini meletakkan kadar penularan isu kegemukan dijangka menjangkau 18 peratus dalam kalangan lelaki, manakala perempuan ialah 21 peratus.

Kes meningkat

Bagaimanapun, keadaan semasa menyaksikan banyak negara, kini berdepan kadar peningkatan jauh lebih membimbangkan.

Kajian mendapati, Amerika Syarikat, China, Brazil, India dan Russia dikatakan mewakili hampir satu pertiga daripada keseluruhan kes kegemukan dalam kalangan orang dewasa di seluruh dunia.

Dianggap sebagai isu dalam kalangan negara berpendapatan tinggi, masalah kegemukan kini menunjukkan ‘sisi’ berbeza apabila kadar peningkatan kes semakin meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketika ini, beberapa negara dalam kategori itu seperti Vietnam, Indonesia dan Bangladesh, merekodkan kadar peningkatan isu kegemukan paling mendadak, walaupun latar belakang sosioekonomi menunjukkan isu berkaitan kekurangan zat masih meruncing.

OBESITI meningkatkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kardiologi dan hipertensi. Gambar hiasan.
OBESITI meningkatkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kardiologi dan hipertensi. Gambar hiasan.

Risiko jangkitan penyakit kronik

Di rantau Asia Tenggara dan wilayah barat Pasifik, negara seperti Thailand serta Nauru, masing-masing merekodkan kadar tertinggi membabitkan orang dewasa yang mempunyai masalah kegemukan.

Malah, sesetengah negara berdepan keadaan lebih serius kerana perangkaan semasa menunjukkan ia menjangkau hampir dua pertiga daripada keseluruhan jumlah orang dewasa.

Sekiranya dibiarkan berlarutan, natijah daripada isu kegemukan dijangka terus meruncing, termasuk peningkatan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan sesetengah kanser, sekali gus merencatkan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan NCD.

Bersandarkan penelitian, bacaan indeks jisim badan (BM) yang tinggi sebelum ini dikaitkan dengan 217.6 juta kes diabetes, hipertensi (307 juta kes), penyakit kardiovaskular (11.7 juta kes) dan hampir 500,000 kes membabitkan sesetengah jenis kanser.

Justeru, perlu ada pendekatan bagi menangani isu kegemukan secara lebih meluas.

Aspek lain yang tidak dapat dinafikan ialah peningkatan dalam peruntukan kewangan bagi membiayai program berkaitan.

Ini kerana obesiti mencetuskan bebanan negatif terhadap aspek kewangan dan sosial, termasuk membabitkan generasi pelapis.

Kos perkhidmatan kesihatan tinggi

Perangkaan sebelum ini merekodkan jumlah peruntukan kos perkhidmatan kesihatan kepada individu mempunyai BMI tinggi, di seluruh dunia adalah AS$990 bilion (RM4.142 trilion) setiap tahun.

Setakat ini, kos tertinggi dibelanjakan di benua Amerika dan timur Mediterranean, manakala negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula menyaksikan sekitar 3.3 peratus daripada kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) bagi menangani isu kegemukan.

Lebih membimbangkan ia turut memberi kesan terhadap proses pengambilan kerja, pendidikan dan penjagaan kesihatan mental, susulan tanggapan negatif dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Setiap kali membicarakan mengenai isu kegemukan, ia sebenarnya lebih rumit daripada pandangan mata kasar.

Malah pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan profesional dan penggubal undang-undang berupaya dipersalahkan kerana sering memperlekehkan tanggungjawab mereka.

Punca kegemukan

Sama seperti penyakit kronik lain, pelbagai punca kegemukan antaranya dikaitkan dengan faktor genetik, fisiologi, sosiobudaya, ekonomi dan alam sekitar.

Sehubungan itu, pertubuhan di seluruh dunia kini menggesa supaya tindakan ‘menuding jari’ dan memalukan individu yang berdepan masalah kegemukan ditangani secara tuntas.

Selain itu, perlu menilai kembali pendekatan bagi merungkai isu kesihatan membabitkan hampir 650 juta orang dewasa dan 125 juta kanak-kanak ini.

Sempena Hari Obesiti yang disambut, pada 4 Mac lalu, Pertubuhan obesiti di seluruh dunia perlu menggembleng tenaga merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh merangkumi kaedah rawatan dan bersama bertanggungjawab menangani isu itu.

Presiden Persekutuan Obesiti Sedunia, Prof Donna Ryan, menjelaskan tiada negara yang berada di landasan betul untuk mencapai sasaran digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, beliau menyifatkan isu kegemukan gagal ditangani kerana kurang tindakan berkesan.

“Walaupun wujud komitmen daripada kerajaan, tetapi isu kegemukan masih meruncing.

Oleh itu, tiada alasan untuk ‘berpeluk tubuh’. Individu yang berdepan masalah obesiti memerlukan capaian perkhidmatan kesihatan sewajarnya.

“Sehubungan itu, ia memerlukan tindakan segera penggubal undang-undang di seluruh dunia bagi merungkai lima punca sebenar obesiti yang diberi jolokan sebagai ROOTS,” katanya.

Rungkai masalah kegemukan

Sempena sambutan Hari Obesiti Sedunia, satu deklarasi dalam kelompok aktivis dimeterai merangkumi lima aspek termasuk menggesa penggubal undang-undang untuk merangka tindakan ke arah merealisasikan matlamat merungkai isu kegemukan seperti dijanjikan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Obesiti Sedunia, Johanna Ralston, berkata kegagalan memahami isu berkaitan kegemukan secara global mencetuskan kepincangan dalam sistem perkhidmatan kesihatan.

“Dasar yang digubal juga didapati kurang berkesan, malah pendekatan pencegahan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan pengamal perubatan gagal diterjemahkan kepada orang ramai.

“Obesiti adalah masalah yang berlaku di seluruh dunia, justeru ia memerlukan pendekatan bersama.

“Melancarkan deklarasi mengenai isu kegemukan bagi mendesak kerajaan dan penggubal undang-undang untuk menggembleng tenaga merungkai isu ini.

“Kita percaya menerusi kerjasama dengan pertubuhan masyarakat dan awam dari seluruh dunia, tindakan lebih berkesan berupaya dirangka untuk meningkatkan kesedaran terhadap risiko obesiti,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X