X
Sabtu, 29 Februari 2020 | 10:30am
Tompok merah jelas kelihatan di kulit disebabkan gangguan sistem imunisasi badan. Penyakit psoriasis tidak mempunyai penawar, tetapi ia boleh dikawal.
Tompok merah jelas kelihatan di kulit disebabkan gangguan sistem imunisasi badan. Penyakit psoriasis tidak mempunyai penawar, tetapi ia boleh dikawal.

Kulit bersisik, tompok menjijikkan

Tiada siapa boleh memahami, malah sering dilemparkan pandangan jijik. Semuanya kerana muka, tangan pesakit psoriasis bersisik, bertompok merah hingga digaru sampai berdarah.

Situasi itu cukup merengsakan lalu memberi kesan seumur hidup apabila sering disisihkan termasuk keluarga yang paling rapat serta stigma negatif masyarakat melewati fasa persekolahan, kolej, universiti, hinggalah ke alam pekerjaan.

Sebenarnya, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit kronik, menyebabkan kulit menebal lebih cepat. Tompok merah itu jelas kelihatan di kulit kepala, lutut, siku, lengan dan kaki yang terjadi disebabkan gangguan sistem imunisasi badan.

Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari, berbanding 21 hingga 28 hari bagi kulit normal. Proses ini menyebabkan kawasan berkenaan kelihatan tompok merah yang tebal dan bersisik.

Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr Azura Mohd Affandi, berkata penyakit itu tidak berjangkit melalui sentuhan, bagaimanapun berisiko kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga pernah menghidapnya.

Katanya, mengikut data Registri Psoriasis Malaysia 2007 hingga 2016 menunjukkan 17,071 individu menghidap penyakit itu.

“Dianggarkan antara satu hingga tiga peratus penduduk dunia menghidap psoriasis. Di Malaysia, kita merekodkan kira-kira 17,071 individu penghidap penyakit ini mendaftar.

“Setakat ini, kita lihat psoriasis berkait dengan keturunan. Sesiapa yang mempunyai saudara menderita psoriasis, mereka lebih berisiko menghidap penyakit sama.

“Malah, kira-kira 40 peratus daripada pesakit psoriasis yang dikesan memang mempunyai sejarah dalam keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Penasihat Psoriasis Association of Malaysia, berkata psoriasis terbahagi kepada lima jenis iaitu psoriasis plak, psoriasis guta, psoriasis lenturan/berbalik, psoriasis pustular dan psoriasis eritrodermik.

“Psoriasis plak adalah jenis yang biasa dilihat dan dianggarkan sebanyak 85 hingga 90 peratus pesakit di Malaysia menghidap psoriasis jenis ini.

“Bagaimanapun, tahap keterukan psoriasis berbeza mengikut individu. Sesetengah pesakit hanya ada beberapa tompok kecil sahaja, dan sebahagian pesakit menghidapi psoriasis yang membabitkan permukaan kulit yang lebih besar,” katanya.

Katanya, selain daripada kulit, pesakit cenderung mempunyai masalah kuku dan sendi, di mana data sama merekodkan 57.2 peratus penghidapnya mengalami tidak normal pada kuku.

“Ada pesakit yang kukunya rosak kerana psoriasis. Lazimnya terdapat lubang-lubang kecil di permukaan kuku dan kuku menebal menyerupai jangkitan kulat.

“Selain itu, penyakit ini boleh menyebabkan sendi kaku, bengkak dan kerosakan sendi progresif. Dalam kes serius, ia boleh menyebabkan kecacatan sendi kekal. Sebanyak 13.2 peratus daripada pesakit psoriasis berdepan dengan masalah sendi,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan diri pesakit akan menjejaskan kesihatan psikologi kerana mereka cenderung mengalami tekanan perasaan serta terbabit dalam pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit, pengambilan ubat-ubat tertentu seperti ubat tahan sakit, antibiotik dan ubat darah tinggi.

“Psoriasis juga dikaitkan dengan penyakit lain seperti obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes dan hiperlipidemia, terjadi apabila kadar kolesterol dalam darah terlalu tinggi.

“Adalah sangat penting bagi memastikan pesakit mengutamakan gaya hidup sihat kerana meskipun psoriasis tidak membawa maut, namun disebabkan penyakit berkait ini boleh meningkatkan risiko kematian kepada pesakit,” katanya.

Sehingga kini, penyakit psoriasis tidak mempunyai penawar, bagaimanapun ia boleh dikawal. Rawatan diberikan berdasarkan tahap keterukan penyakit pesakit, keutamaan pesakit, kesediaan rawatan dan risiko-faedah rawatan.

Empat jenis rawatan yang boleh iaitu terapi topikal (krim dan salap), fototerapi (terapi cahaya), terapi sistemik (ubat) dan terapi biologi (suntikan).

Jika pesakit diberikan rawatan sewajarnya, simptom yang dihadapi mereka boleh berkurangan meskipun tidak pulih sepenuhnya.

Info: Cara mengawal psoriasis

  • Orang ramai perlu memahami psoriasis adalah penyakit kronik dan boleh terjadi pada semua peringkat umur.
  • Orang ramai perlu mendapat lebih maklumat penyakit ini dan rawatan boleh diberikan.
  • Pesakit perlu berjumpa pakar kulit dan mencari rawatan sesuai untuk mencapai kualiti hidup lebih baik.
  • Pesakit perlu mengekalkan gaya hidup sihat
  • Belajar menguruskan tekanan, kerana tekanan boleh menyebabkan gejala psoriasis menjadi lebih teruk.
  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X