X
Sabtu, 15 Februari 2020 | 1:51pm
Kesihatan ibu dan anak antara fokus utama penjagaan kesihatan di Malaysia. - Foto hiasan
Kesihatan ibu dan anak antara fokus utama penjagaan kesihatan di Malaysia. - Foto hiasan

Elak kompilasi penyakit berbahaya

KESIHATAN ibu dan anak antara fokus utama penjagaan kesihatan di Malaysia. Namun kajian menunjukkan hanya 6.6 peratus rakyat di negara ini mempunyai tahap literasi kesihatan yang baik.

Ternyata ia memberi kesan yang buruk terhadap individu dan komuniti. Sebagai contoh, penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal, tabiat merokok, kadar obesiti yang tinggi serta gerakan anti vaksin adalah antara manisfestasi literasi kesihatan yang rendah.

Pakar Obstetriks & Ginekologi Hospital Columbia Asia - Seremban, Dr Jamali Wagiman, berkata dari sudut penjagaan kesihatan wanita, situasi yang sama juga dapat diperhatikan.

“Sepanjang mengendalikan perkhidmatan kesihatan wanita di Malaysia, saya perhatikan ramai wanita yang keliru dengan penentuan waktu subur dan kehamilan yang selamat.

“Penggunaan pil perancang masih lagi mempengaruhi keputusan mereka. Tidak ketinggalan juga segelintir yang enggan menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi walau disahkan menghidap kanser.

“Bagi wanita berkahwin dan berhasrat mendapatkan zuriat, penentuan waktu subur amat membantu, begitu juga bagi mereka yang ingin menangguhkan kehamilan boleh mengelakkan dari melakukan hubungan kelamin sepanjang tempoh suburnya.

“Berdasarkan kajian daripada lebih 5,000 ibu selepas bersalin, hampir 43 peratus kehamilan itu tidak dirancang. Bayangkan jika membabitkan pasangan yang belum berkahwin pada usia remaja,” katanya.

Suntikan HPV diberikan percuma untuk pelajar perempuan. - Foto hiasan
Suntikan HPV diberikan percuma untuk pelajar perempuan. - Foto hiasan

Sementara itu, ‘Mother to Child Transmission of HIV’ menunjukkan HIV dalam kalangan wanita meningkat daripada 11 peratus pada 2008 kepada 29 peratus, pada 2016.

“Usaha mengawal jangkitan ibu kepada anak sejak 1997 berhasil apabila Malaysia berjaya mengelakkan jangkitan dari ibu ke anak sepenuhnya,” katanya.

Dulu wanita dengan HIV terpaksa melalui pengguguran, pembedahan cesarean semasa bersalin dan pemandulan kekal sebagai usaha mengekang jangkitan.

Bagaimanapun, katanya, sekarang keadaan jauh berubah apabila rawatan penuh semasa mengandung dan kelahiran secara normal boleh dijalankan.

Bayi diberi rawatan dan dipantau penuh selama enam bulan, malah wanita yang bersuami penghidap HIV boleh hamil menggunakan kaedah IUI atau pensenyawaan in-vitro (IVF) manakala hubungan seksual dilakukan dengan penggunaan kondom sepenuhnya.

Kanser utama semakin meningkat

Mengenai kanser, beliau berkata ketika ini dilihat ramai wanita menghidap beberapa kanser utama yang boleh membawa maut.

Kanser pangkal rahim, umpamanya adalah pembunuh ketiga tertinggi dengan 2, 000 kes baru dikesan sepanjang tahun.

Ada program saringan pap smear, tetapi tidak digunakan sepenuhnya.

Beliau berkata, hari ini pendekatan lebih proaktif digunakan dengan gabungan HPV imunisasi, ujian mengesan kehadiran DNA HPV dan meneruskan program pap smear.

Imunisasi HPV dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan bagi pelajar sekolah dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi pelajar kolej dan universiti di bawah umur 26 tahun.

“Bagaimanapun, program itu kurang mendapat sambutan dan jika ia berterusan matlamat mencapai sifar pesakit kanser pangkal rahim menjelang 2030 akan jadi impian saja.

Berikutan itu, tidak mustahil jika beberapa penyakit yang dihapuskan sebelum ini akan muncul semula. Situasi ini jelas bukan kerana ketiadaan infrastruktur kesihatan, tetapi disebabkan kegagalan masyarakat menerima dan bertindak balas dengan betul.

“Dengan literasi kesihatan yang baik, individu dan masyarakat akan lebih terdidik dan mampu bersama menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X