Sabtu, 7 Disember 2019 | 10:55am
RAMAI tidak sedar tidur berdengkur sedangkan perlu rawatan elak kegagalan jantung hingga membawa maut. - Gambar hiasan.

Tidur berdengkur cetus serangan jantung

Ramai yang berdengkur ketika tidur mempertikaikan mengapa mereka perlu menjalani rawatan kerana beranggapan keadaan itu tidak menimbulkan masalah kesihatan.

Mengambil mudah dengan menganggap tidur berdengkur menandakan seseorang itu tidur lena akibat kepenatan selepas seharian bekerja atau melakukan aktiviti lasak.

Hakikatnya berdengkur mendedahkan seseorang dengan pelbagai risiko kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, strok dan serangan jantung secara tiba-tiba, membawa risiko kematian.

Perunding Am dan Perubatan Respiratori dan Somnologi, Dr Mangayarkarasi M Ramanathan, berkata berdengkur atau Apnea Tidur Obstruktif (OSA) terjadi disebabkan kesan penyempitan dalam saluran pernafasan atas.

Beliau berkata, OSA adalah masalah pernafasan yang dikaitkan ketika tidur yang mempunyai kesan besar ke atas fungsi kardiovaskular.

“Keadaan ini juga dikaitkan dengan hipertensi, penyakit sumbatan arteri, irama jantung tidak sekata dan kematian secara tiba-tiba serta kegagalan jantung,” katanya.

OSA yang teruk memerlukan alat bantuan pernafasan Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP). - Gambar hiasan

Katanya, kesan penyempitan saluran pernafasan atas, menyebabkan jantung tidak menerima oksigen yang menyebabkan nadi menjadi cepat.

“Pada masa sama, jantung perlu bekerja keras dan lama-kelamaan menjadi bengkak yang mengakibatkan tekanan jantung tinggi.

“Akhirnya akhirnya berlaku serangan jantung secara tiba-tiba. Justeru, jalani rawatan OSA, semua komplikasi ini dapat dielakkan atau risiko lebih rendah,” katanya.

Berdasarkan Jurnal Ortodontik Eropah, Volume 33, diterbitkan pada 5 Oktober 2011, OSA kerap berlaku ke atas individu yang mengalami masalah kegemukan atau obesiti, leher pendek, besar dan dagu kecil.

Bentuk muka dan leher ini juga didapati ramai dalam kalangan penduduk di Asia berbanding Barat yang secara tidak langsung menunjukkan OSA banyak berlaku dalam populasi di Asia.

“Dianggarkan masalah OSA berlaku 10 sehingga 15 peratus dalam kalangan wanita dan lebih ramai lelaki, iaitu 20 sehingga 30 peratus.

“Kebanyakan individu tidak sedar mereka berdengkur ketika tidur tetapi dibawa berjumpa doktor oleh pasangan sama ada isteri atau suami yang mengadu mengenai masalah berkenaan,” katanya.

Katanya, antara petanda seseorang mengalami OSA adalah mengantuk pada waktu siang dan berhenti bernafas ketika tidur dan tercungap atau seperti tercekik apabila tersedar sebelum tidur semula.

Pesakit biasanya tidak ingat apa yang berlaku kepada mereka ketika tidur tetapi merasa letih dan lemah pada sebelah siang kerana tidur kurang berkualiti.

Petanda lain adalah kerap berubah posisi tidur, kurang tumpuan, pemarah dan sakit kepala pada waktu pagi.

Masalah OSA yang ringan boleh dirawat dengan mengurangkan berat badan, cara tidur yang betul serta elakkan minuman beralkohol, merokok atau ubat ubatan seperti pil tidur atau penenang yang boleh memperlahankan kadar pernafasan.

Tidur mengiring, terutama di sebelah kanan (tidur melentang menyebabkan apnea lebih teruk) juga membantu mengurangkan dengkuran.

“OSA yang teruk memerlukan alat bantuan pernafasan Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP) dan Tekanan Saluran Udara Dwipositif (BiPAP).

“Ini menghalang salur pernafasan daripada tertutup ketika tidur dan sekiranya alat ini tidak berkesan, pembedahan diperlukan untuk melegakan sumbatan pada salur pernafasan.

“Mouthguard atau alat menghalang lidah daripada menyumbat salur pernafasan boleh digunakan. Rawatan ini diberikan oleh pakar gigi atau ortodontik.

“Pembedahan boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sumbatan pada hidung atau tekak. Bagaimanapun, pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum memutuskan menjalani sebarang rawatan,” katanya.

Info

* Simptom OSA:

Berdengkur dengan kuat

Mengantuk pada siang hari

Nafas terhenti buat seketika ketika tidur

Kerap berubah posisi ketika tidur

Rasa lemas ketika tidur

Sakit kepala pada waktu pagi

* Punca lain:

Mempunyai tonsil yang besar di bahagian tekak

Bentuk batang hidung yang bengkok

Bahagian dalam hidung yang bengkak dan lelangit yang lembut

Tabiat merokok

Berita Harian X