Isnin, 2 Disember 2019 | 8:29pm
Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil.

Prosedur ambil darah bayi sukar

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang tidak berpuas hati mengenai keadaan anak ketika mendapatkan rawatan mengambil darah atau pemasangan kanula intravena (IV) boleh merujuk pihak pengurusan hospital sebelum melakukan sebarang ‘posting’ menerusi media sosial.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata mereka boleh mengetengahkan isu itu kepada pengarah hospital untuk mendapatkan penjelasan.

Beliau berkata, bukan niat doktor, baik pelatih mahupun pakar mencucuk bayi berulang kali. Kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Doktor yang kurang berpengalaman perlu memanggil pakar sekiranya gagal mendapatkan darah atau hendak memasang saluran IV,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan viral wanita berkongsi pengalaman di media sosial menunjukkan gambar tangan bayi baharu dilahirkan dengan kira-kira 10 kesan cucukan jarum, didakwa dilakukan doktor pelatih.

Susulan kes itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, dalam kenyataannya semalam, berkata kementerian akan menyiasat perkara itu.

Katanya, pengamal perubatan termasuk doktor atau jururawat yang tidak menemui saluran darah bayi ketika hendak memasukkan jarum bagi tujuan rawatan harus mendapatkan bantuan doktor berpengalaman untuk tindakan susulan.

Dr Yong Junina menjelaskan, prosedur berkenaan membabitkan proses pengambilan darah atau memasang IV, dibuat pada bahagian salur darah yang mudah dilihat atau rasa seperti pada bahagian tangan atau kaki.

“Proses mencucuk bayi tidak semudah disangka kerana saiz mereka kecil dan memang sukar, selain perlu dilakukan dengan penuh teliti.

“Lebih sukar apabila bayi mengalami kesan dehidrasi atau tekanan darah rendah disebabkan kuman, keadaan ini menyebabkan salur darah sukar dilihat. Bayi yang banyak bergerak juga menyukarkan proses berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan darah bayi berbeza individu dewasa. Saluran darah bayi nipis, biasanya ‘drip method digunakan di mana jarum dimasukkan ke dalam vena dan darah dikumpulkan dalam botol khusus.

“Picagari tidak digunakan kerana vena mengempis dan darah tidak keluar,” katanya.

Ditanya jumlah cucukan dibenarkan sekiranya gagal mencari saluran darah, Dr Yong Junina berkata, tiada bilangan khusus kerana dalam keadaan tertentu, akses intravena diperlukan untuk menyelamatkan nyawa bayi.

“Dalam kes denggi berdarah dan dehidrasi, antibiotik dan cecair, pesakit perlukan rawatan segera untuk menyelamatkan nyawa.

“Ketika berhadapan situasi kritikal pula, apabila vena tidak dapat diakses kerana dehidrasi, jarum dimasukkan ke dalam tulang sumsum dan cecair diberi sehingga vena mengembang dan ketika itulah kanula IV akan dipasang.

“Alternatif lain ialah dengan menggunakan vena besar seperti dilakukan di bahagian paha atau leher tetapi hanya dibuat sekiranya tiada pilihan. Ini disebabkan bahagian itu lebih sukar dan membabitkan risiko kesihatan lain,” katanya.

Berita Harian X