Rabu, 27 November 2019 | 3:42pm
Dr Yahya (dua dari kiri) dan Dr Kadar Marikar pada Ulang Tahun Ke-2, CVSKL sempena majlis meraikan hospital berkenaan menerima sijil akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Malaysia jadi pilihan segmen pelancongan kesihatan

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal menjadi pilihan bagi segmen pelancong kesihatan dari negara ASEAN mendapatkan pelbagai perkhidmatan rawatan termasuk kardiologi di negara ini.

Pengerusi Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Tan Sri Dr Yahya Awang, berkata pihaknya menyasarkan lebih ramai pesakit dari luar negara datang mendapatkan perkhidmatan perubatan di negara ini.

Katanya, sempena Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020, pihaknya juga menjangkakan ketibaan 15 peratus pesakit luar negara dengan sasaran lebih separuh daripadanya dari Indonesia.

“Ketika ini pesakit dari luar negara menyumbang sebanyak sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dirawat di hospital berkenaan dengan kebanyakannya dari Indonesia.

“Kita juga menyasarkan pelancong dari negara Asia seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Filipina dan Vietnam bagi melawat negara ini sambil mendapatkan rawatan.

“Tahun lalu, kita mengadakan kerjasama menerusi program pemeriksaan kesihatan di negara itu membabitkan pelancong dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ulang Tahun Ke-2, CVSKL sempena majlis meraikan hospital berkenaan menerima sijil akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) bagi tempoh empat tahun, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MSQH, Prof Dr Kadar Marikar dan Ketua Pegawai Operasi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Dolly Lim.

Dr Yahya, berkata dengan lokasinya terletak di KL Sentral yang juga adalah hub utama pengangkutan di negara ini dan memberikan kelebihan untuk menarik lebih ramai pesakit mengunjungi hospital berkenaan.

Ia sekali gus dapat mempromosi destinasi pelancongan kesihatan dalam kalangan pelancong asing.

“Sijil akreditasi diterima daripada MSQH juga satu pencapaian membanggakan kerana ini menunjukkan kami komited dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti sejajar,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu juga amat bertepatan dengan kehadiran Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020, tahun depan pada masa sama turut dapat membantu menjana pendapatan negara bagi segmen itu.

“MSQH dibangunkan hasil gabungan kerjasama pakar, profesional dan pengguna dari sektor perubatan awam mahupun swasta.

“Mereka menilai dan mengemaskini kemajuan terkini dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini,” katanya.

Program akreditasi hospital oleh MSQH menyediakan cara efektif yang mana organisasi kesihatan dapat menilai tahap pencapaian menurut standard kebangsaan yang ditetapkan.

Sementara itu, Dr Kadar, berkata akreditasi yang menjadi penanda aras membolehkan sesebuah organisasi kesihatan menilai dan memperbaiki pencapaian secara lebih kerap dan berterusan turut memberi jaminan kepada pesakit tempatan mahupun luar negara mematuhi standard dunia perubatan terkini.

Berita Harian X