Sabtu, 23 November 2019 | 10:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kemurungan punca warga emas hilang keseimbangan, mudah jatuh

Faktor ketidakseimbangan badan menjadi punca ramai warga emas sering jatuh hingga membawa kecederaan yang menjadi punca kematian berbanding menanggung penyakit kronik yang alami.

Situasi ini berlaku di seluruh dunia itu membimbangkan ramai pihak, golongan ini memerlukan pengawasan sepanjang masa.

Pengamal perubatan global mengakui insiden jatuh ini perlu ditangani dengan mengambil pelbagai pendekatan termasuk penjagaan secara holistik membabitkan warga emas.

Pakar Geriatrik, Prof Dr Tan Maw Pin, berkata terdapat banyak sebab mengapa ramai warga emas berhadapan masalah ketidakseimbangan hingga menyebabkan mereka mudah jatuh, cedera hingga membawa maut.

Beliau berkata, pada awalnya masyarakat beranggapan warga emas pada usia 60 tahun ke atas seharusnya mengurangkan aktiviti harian apatah lagi aktif melakukan kerja lasak.

Katanya, ini adalah persepsi salah kerana sekiranya tidak banyak melakukan pergerakan, fungsi otot dalam badan mereka merosot, secara tidak langsung keseimbangan turut terjejas.

“Selain itu, warga emas yang menghidap penyakit kritikal seperti angin ahmar, parkinson, sakit sendi atau diabetes berisiko terjatuh kerana kesakitan dialami menjejaskan keseimbangan badan.

“Malah faktor ubat-ubatan yang dimakan dalam proses rawatan penyakit kronik antara penyebab tekanan darah menurun mendadak sehingga menyebabkan mereka mudah jatuh dalam keadaan tidak sedar.

“Pengambilan ubat juga menyebabkan warga emas ketidakseimbangan badan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kemurungan punca jatuh

Menurut Dr Maw Pin, kemurungan juga boleh menyebabkan warga emas mengalami kesan ketidakseimbangan hingga mudah terjatuh selain tidak fokus kepada persekitaran.

Disebabkan kesan jatuh, beliau berkata, pendarahan pada otak boleh berlaku selain kecederaan lain seperti patah tangan, kaki, tulang belakang dan pinggul yang boleh meragut nyawa.

“Memandangkan gejala ini masih baru diberi perhatian dalam industri perubatan negara, jadi sukar untuk kerajaan menentukan dan mencatat statistik kematian disebabkan insiden ini.

“Namun kami mengambil inisiatif mendapatkan 200 nama pesakit dari unit kecemasan hospital di seluruh negara selama tempoh 10 tahun dan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Inisiatif ini bertujuan mengesan 200 daripada mereka yang masih hidup.

“Dalam tempoh itu 20 peratus sudah meninggal dunia dalam tempoh satu tahun, manakala bagi tempoh 10 tahun pula hanya 20 peratus masih hidup,” katanya.

Pakar Geriatrik, Prof Dr Tan Maw Pin. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Pakar Geriatrik, Prof Dr Tan Maw Pin. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Sekali jatuh pengaruhi kehidupan

Dr Maw Pin berkata, pihaknya masih membuat penyelidikan bersama Institut Kesihatan Umum yang mendapati kira-kira 25 peratus warga emas berusia 65 tahun ke atas dan mendapati seorang daripada empat mengalami insiden jatuh dalam masa setahun.

Katanya, tidak dinafikan warga emas sekali jatuh akan mempengaruhi kehidupan seumur hidup dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

Beliau yang juga Pengerusi Penganjur, Kongres Pertama Kejatuhan dan Keseimbangan Badan Antarabangsa mengharapkan industri perubatan dunia lebih peka terhadap insiden jatuh membabitkan warga emas.

“Pada 4 hingga 7 Disember ini, buat julung kalinya satu kongres diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menghimpunkan 600 peserta seluruh dunia membincangkan mengenai masalah jatuh.

“Antara negara yang sudah membuat persetujuan termasuk Asean selain Kanada, Afrika, Amerika Syarikat dan India. Peserta akan membentangkan 200 kertas kerja mengenai perkara ini.

“Antara kertas kerja termasuk ketidakseimbangan badan, pengambilan ubat-ubatan, tekanan darah, cara berjalan, polisi dan struktur binaan.

“Perbincangan diharap mendapat resolusi bagi menangani insiden jatuh dalam kalangan warga emas yang memerlukan perhatian serius terutama daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.

Berita Harian X