Sabtu, 9 November 2019 | 10:00am
Cacing boleh menjangkiti sesiapa sahaja, sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa melalui pemakanan dan sentuhan.

Awas! cacing juga serang orang dewasa

Adakah benar orang dewasa juga perlu makan ubat cacing seperti yang lazimnya diambil oleh kanak-kanak. Hakikatnya cacing boleh menjangkiti sesiapa sahaja, sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa melalui pemakanan dan sentuhan.

Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Mahiza Md Isa, berkata orang dewasa juga boleh mengambil ubat cacing sekiranya perlu.


Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Mahiza Md Isa.

Katanya, ubat cacing boleh dimakan tetapi dengan nasihat doktor terutama wanita hamil kerana sebahagian ubat cacing boleh memberikan kesan sampingan.

"Cara untuk membunuh cacing berbeza-beza mengikut kelas, termasuk tindakan melumpuhkan cacing dengan ubat tertentu atau menyebabkan kebuluran kepada cacing kerana ia bertindak menghalang pengambilan glukosa oleh cacing, seterusnya cacing akan mati seterusnya keluar melalui najis," katanya.

Ada juga ubat yang akan menyebabkan cacing mati dan hancur secara semula jadi melalui proses pencernaan. jangkitan cacing bermula dengan telur cacing pada najis manusia dan juga najis haiwan seperti kucing dan anjing yang masuk ke dalam badan manusia.

Telur cacing menetas dan larva akan menembusi dinding usus seterusnya dibawa oleh saluran peredaran ke pelbagai tisu seperti hati, paru-paru, jantung, otak, otot dan mata.

"Jangan ambil mudah dengan masalah cacing kerana kebanyakan kita mungkin beranggapan ia hanya berada di dalam usus saja.

"Sebenarnya kesan jangkitan cacing boleh merebak ke pelbagai bahagian badan termasuk mata, hati, paru-paru dan salur darah.


Antara jenis cacing dalam tubuh manusia.

Beliau berkata, cacing juga boleh menjangkiti manusia melalui pemakanan tumbuhan air, seperti selada air (watercrest) dan sayur kangkung.

Penggemar ulam perlu makan ubat cacing memang benar kerana sesetengah ulam mungkin mengandungi larva cacing yang boleh membiak dalam usus sekiranya dibiarkan.

Cacing dalam ulam

Beliau berkata, sesetengah ulam mungkin tercemar dengan cacing trematod yang dinamakan fasciola yang boleh dilihat melalui mata kasar.

Larva cacing yang dipanggil metaserkaria ada pada tumbuhan ini. Terdapat kes yang dilaporkan dalam artikel ' The Medical Journal of Australia' , pelancong dari Australia yang melancong ke Bali, didapati terkena jangkitan parasit Fasciola ini pada 2011 - 2014. Saintis mengaitkan insiden itu dengan pemakanan ulam dan salad.

Katanya terdapat tiga kumpulan utama cacing yang dinamakan nematod (gelang), trematod (fluk) dan cestod (pipih atau pita) yang menjangkiti manusia.

Hanya kumpulan cacing gelang yang digelar sebagai nematod, yang mempunyai cacing jantan dan betina, yang boleh bersenggama.

Cacing trematod adalah hermaphrodite, mempunyai organ, struktur atau tisu jantan dan betina (kecuali fluk darah). Begitu juga dengan cacing cestod.

Beliau berkata, berbalik kepada cacing kelas nematod tadi, cacing jantan biasanya kecil daripada betina. Proses persenyawaan berlaku di dalam perumah atau hos apabila terdapat persekitaran yang sesuai tanpa mengira tempoh tertentu dalam kalendar Islam iaitu setiap 15 sehingga 21 hari bulan seperti ditularkan.

"Mengikut kefahaman saya, tiada lagi bukti saintifik yang mengatakan pembiakan berlaku pada tarikh tertentu dalam kalendar," katanya.

Info:

Pelbagai tanda kecacingan.

* Bergantung kepada jenis cacing:

1. Cacing kait Ancylostoma,

- Sakit perut, hilang selera.

Jangkitan cacing kait yang teruk

:- Kekurangan protein

- kulit kering, perut buncit

- Anemia kekurangan zat besi, lemah mental dan kegagalan jantung.

2. Cacing jarum/Enterobius vermicularis: - Cacing ini paling biasa menjangkiti kanak-kanak.

- Bertelur berdekatan dubur, pada waktu malam.

- Menyebabkan kegatalan pada anus dan vagina.

3. Cacing cambuk /Trichuris:- Larva cacing matang dalam usus manusia.

- Boleh dijangkiti daripada ingesi makanan tercemar dengan najis manusia atau air kumbahan digunakan untuk tanaman baja mungkin tercemar dengan telur cacing.

- Ia membiak dan larva akan bergerak ke luar usus, ke otot dan lain-lain tisu.

4. Cacing Trichinella

- Boleh dijangkiti daripada pemakanan daging kurang masak.

- Yang melalui salur darah dan masuk ke tisu dan otot lain

- Bengkak muka, sakit otot, pening, sensitif pada cahaya dan konjunktivitis.

Berita Harian X