Selasa, 29 Oktober 2019 | 8:00pm
Pengusaha sembunyi kandungan bahan terlarang dalam produk. - Foto hiasan

Ayat pikat pengguna obses wajah putih, gebu

KUALA LUMPUR: Bahan terlarang seperti merkuri, ‘hydroquinone’ dan ‘tetinoin’ sering digunakan dalam sebilangan produk kosmetik, terutama produk pemutih wajah kerana mampu mencerahkan kulit dengan cepat.

Ayat penarik seperti ‘kulit cerah dalam masa tujuh hari’, ‘wajah putih dalam seminggu’ atau ‘rahsia kulit cantik dan gebu dalam masa singkat’, ia memang mampu meyakinkan pengguna yang mengimpikan wajah putih dan gebu.

Penggunaan ‘hydroquinone’ dan merkuri popular dalam produk kosmetik bagi merawat jeragat, pencerahan kulit dan kulit tidak sekata.

Merkuri juga dikatakan untuk rawatan anti penuaan dan kedutan, manakala ‘tretinoin’ bagi merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Siti Fatimah Idris tidak menolak kemungkinan pengusaha kosmetik menyembunyikan kandungan bahan terlarang ketika mengisytihar kandungan produk kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).


Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Siti Fatimah Idris. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

“Peraturan kementerian menetapkan semua syarikat kosmetik melakukan perisytiharan sendiri kepada NPRA untuk mendapatkan notifikasi produk mereka. Ia perlu didaftarkan secara dalam talian menerusi sistem Quest3.

“Sebagai pemilik pastinya mereka akan isytihar mengikut apa yang perlu dipatuhi supaya produk mereka berdaftar dan mendapat notifikasi daripada NPRA.

“Bagaimanapun, mungkin pengusaha juga mempunyai keinginan supaya pengguna terus membeli produk mereka. Jadi bila memasarkan produk terbabit, ada yang meletakkan bahan terlarang berkenaan,” katanya kepada BH.

Semalam, BH mendedakan sesetengah pengusaha kosmetik mengeluarkan produk baharu dengan sedikit perubahan campuran formula selepas produk lama dilarang dijual kerana mengandungi bahan terlarang, termasuk racun berjadual seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Berdasarkan maklumat di laman web NPRA, sesetengah jenama kosmetik dikesan memiliki produk baharu setiap tahun selepas notifikasi NPRA terhadap produk terdahulu dibatalkan kerana isu campur palsu atau mengandungi racun berjadual.

Siti Fatimah menjelaskan, kementerian sentiasa proaktif dan telus dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan produk kosmetik di pasaran adalah bernotifikasi dan selamat digunakan.

Namun, katanya, nombor notifikasi bukan mandatori dinyatakan pada bungkusan produk, tetapi pengguna boleh melakukan semakan di laman web NPRA untuk mengesahkan produk dibeli bebas daripada bahan terlarang.

“Bahagian Perkhidmatan Farmasi terus meningkatkan pemantauan terhadap syarikat yang memegang notifikasi kosmetik bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang secara berterusan.

“Tumpuan kami adalah terhadap produk kosmetik yang sering dicampur palsu terutama yang didakwa mampu memutihkan kulit dan sebagainya,” katanya.

Pemantauan turut dilakukan terhadap laman web dan media sosial yang aktif mengiklan atau menjual produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi dan mengandungi racun berjadual.

Mereka yang bertindak demikian melanggar peraturan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Hydroquinone tingkat risiko pigmentasi kulit kekal

Penggunaan ‘hydroquinone’ dalam produk kosmetik bagi jangka panjang, mampu meningkatkan risiko pigmentasi kulit yang teruk dan kekal, dinamakan ‘ochronosis’ .

Pesakit ‘ochronosis’ akan berdepan pigmentasi kulit kekal berwarna biru kehitaman. Merkuri pula, sejenis logam berat disifatkan toksik terhadap saraf dan otak, perut, sistem imunisasi, pernafasan, buah pinggang, kulit dan mata manusia.

Selain boleh menyebabkan masalah psikologi seperti kemurungan dan ‘psychosis’, penggunaan produk kosmetik mengandungi merkuri boleh mengakibatkan kerosakan saraf rasa, menjadikan kaki dan tangan kebas.

Pakar Dermatologi Hospital Pakar Avisena, Dr Kartini Farah Abd Rahim mendedahkan kesan penggunaan ‘hydroquinone’ pada kadar dua hingga lima peratus pada kulit dalam jangka singkat, boleh menyebabkan kegatalan.

“Kegatalan pada kulit menjadikannya kemerah-merahan, menggelupas, gatal dan perit. Kesan jangka pendek tidak begitu banyak dapat dilihat,” katanya.

Beliau mengimbau satu kes pada 1977 yang membabitkan penggunaan satu gram ‘hydroquinone’, menyebabkan seorang dewasa mendapat gejala pening, muntah, sesak nafas dan pengsan.

“Bagi kesan jangka panjang, data beberapa kajian menunjukkan ‘hydroquinone’ digunakan dalam eksperimen terhadap tikus mengakibatkan ketumbuhan kulit, barah pundi kencing, buah pinggang, hati, kerosakan buah pinggang, sawan dan kurang berat janin,” katanya.

Dari segi dermatologi, ‘hydroquinone’ sebagai pemutih kulit dan pewarna rambut menghalang proses pigmentasi kulit yang sangat penting sebagai perlindungan sinaran cahaya ultra ungu.

“Apabila tiada perlindungan ini, risiko mendapat kanser kulit menjadi tinggi. Ramai pengguna awalnya gunakan ‘hydroquinone’ pada peratusan rendah, tetapi disebabkan kesan pemutihan perlahan, mereka tidak berpuas hati.

“Mereka terjebak guna produk tidak dibenarkan serta ada peratusan ‘hydroquinone’ lebih tinggi. Selain ‘ochronosis’ teruk, produk sampingan ‘hydroquinone’ boleh beri kesan toksik kepada sum-sum tulang yang penting dalam menjana sel darah.

“Hydroquinone sudah diharamkan penggunaannya dalam produk kosmetik di Eropah sejak 1 Mac 2000, tetapi masih banyak produk dijual di seluruh dunia menyembunyikan kandungan bahan itu di dalamnya,” katanya.

Bagi merkuri, majoriti logam berat itu dalam badan dikumuhkan menerusi buah pinggang, menyebabkan organ berkenaan paling mudah mengalami kerosakan dalam jangka panjang penggunaan merkuri.

Sehubungan itu, Dr Kartini Farah menasihatkan pengguna supaya tidak memperjudikan kesihatan dan nyawa hanya semata-mata mahu kecantikan segera.

“Hakikatnya, pengguna hanya dikaburi dengan gambar iklan kulit model yang cantik dan gebu sehingga mereka mengharapkan kesan sama, tidak endahkan risiko kesihatan kerana produk terbabit tiada jaminan keberkesanannya,” katanya.

Gila nak cantik tak peduli kesan kesihatan

Terlalu obses untuk cantik dalam tempoh singkat menyebabkan pengguna tidak pernah peduli ada sesetengah produk kosmetik mengandungi bahan beracun yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka.

Tinjauan di beberapa kedai menjual produk berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, mendapati ia memang sentiasa dikunjungi pelanggan mengimpikan wajah kekal cantik.

Rata-rata peniaga produk terbabit yang ditemui BH, mengakui barangan dijual mereka mendapat sambutan pengguna kerana kebanyakannya didakwa mampu menunjukkan kesan dalam masa singkat atau paling awal dalam tempoh seminggu.

Beberapa pelanggan pula menjelaskan, mereka kekal menggunakan produk sama dan tidak pernah mempersoalkan keberkesanannya ketika membeli kerana jika berhenti, kulit wajah akan menerima kesan, termasuk menggelupas dan mengalami bintik-bintik.

Rata-rata pengguna juga memaklumkan mereka tidak merujuk langsung portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan yang menyenaraikan produk kosmetik diharamkan atau dibatal notifikasi kerana mengandungi bahan terlarang atau racun berjadual.

Suri rumah, Rahma Edy Tardmidy, 25, mengakui beberapa rakannya pernah mengalami masalah selepas menggunakan produk kosmetik tempatan.

“Saya memang tidak guna sebarang produk kosmetik seperti itu, jadi memang tidak ambil tahu mengenainya. Cuma pernah dengar ada yang campur kandungannya dengan bahan berbahaya,” katanya.

Pelajar, Nurhamiza Hapeni, 23, juga memaklumkan dia tidak pernah ambil tahu mengenai kewujudan produk kosmetik haram yang dikitar semula.

“Saya pernah dengar ada produk kosmetik dicampur bahan seperti merkuri, tetapi tidak tahu jenama yang diharamkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bagi juruteknik, Ahmad Asmawi Zakaria, 38, pihak berkuasa bertanggungjawab perlu mengambil langkah lebih ketat untuk mengelak produk kosmetik berbahaya daripada terus dijual di pasaran tempatan.

Nak cerah, kulit muka merekah

Seorang pengusaha kek terlalu inginkan wajah cantik dengan kulit yang cerah, namun natijahnya menderita apabila kulit mukanya pedih, merekah dan kemerahan selepas menggunakan produk pemutih wajah.

Nurul Amalina Mohd Bidi, 24, mendakwa dia yang tertarik menggunakan produk diperkenalkan seorang rakan yang juga ejen kosmetik, turut menderita alahan berpanjangan selama sebulan selepas menggunakan produk terbabit.

“Ketika mula-mula menggunakan produk itu, saya bertanyakan rakan berkenaan mengenai alahan yang dialami, tetapi dia memaklumkan keadaan itu mungkin sementara.

“Dia juga mendakwa kononnya alahan itu sekadar tindak balas krim pemutih yang saya gunakan dalam proses untuk memperbaiki sel yang mati pada kulit muka.

“Bagaimanapun, kesan yang dialami kerana memakai krim terbabit berterusan selama sebulan menyebabkan saya memutuskan untuk berhenti menggunakan produk itu,” katanya kepada BH.

Pengusaha kek dari Ipoh, Perak itu tidak berpuas hati dengan masalah kulit muka dialami, lalu bertukar kepada produk kosmetik lain yang juga keluaran tempatan.

“Selama beberapa bulan menggunakan produk lain, saya tidak mengalami sebarang masalah sehinggalah saya yakin untuk membeli set kedua dari jenama kosmetik itu,” katanya.

Namun, katanya, selepas menggunakan set kedua yang dibelinya, kulit mukanya mula mengelupas.

“Lama-kelamaan, kulit pipi saya jadi merekah hingga berdarah dan menggelupas. Saya tidak tahan dengan keadaan itu dan terus berhenti menggunakan produk berkenaan,” katanya.

Pengalaman yang dilaluinya itu membuatkan Nurul Amalina serik menggunakan produk kosmetik yang diragui kualiti dan keselamatannya.

Sebelum melanggan produk terbabit, dia mengaku tidak pernah ambil tahu mengenai bahaya penggunaan barangan kosmetik yang mengandungi bahan larangan atau racun berjadual.

“Saya hanya tahu apabila diri sendiri mengalami kesan buruk akibat penggunaan produk sedemikian,” katanya.

Katanya, semakin banyak produk kosmetik diiklankan menerusi pelbagai platform media sosial yang membuatkan lebih ramai pengguna terpengaruh tanpa menyedari baik atau buruk penggunaan barangan berkenaan.

Berita Harian X