Sabtu, 28 September 2019 | 10:00am

Wanita senggugut risiko mandul

Senggugut kronik atau ‘secondary dysmenorrhea’ yang tidak dirawat boleh menyebabkan kesukaran individu menjalani proses kehamilan dengan sempurna selain berhadapan kesan sakit ketika bersama.

Kesakitan berpanjangan itu disebabkan berlaku radang pada rahim, ovari serta tiub fallopian membawa kepada endometriosis.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Salmi Daraup, berkata senggugut paling kerap berlaku dalam kalangan wanita pada usia produktif.

Beliau berkata, keadaan itu terbahagi kepada dua jenis iaitu primary dysmenorrhea dan secondary dysmenorrhea.

Primary dysmenorrhea, sakit berlaku ketika datang haid dan disebabkan penghasilan ‘prostaglandins’ pada dinding rahim.

“Biasanya berlaku pada fasa awal datang bulan dan sakit berkurangan apabila mencapai peringkat dewasa atau selepas melahirkan anak. Keadaan normal dan tidak bahaya.

“Keadaan ‘secondary dysmenorrhea’ disebabkan sakit yang biasanya berlaku sepanjang tempoh seminggu sebelum haid dan berterusan selepas habis haid.

“Sakit ini memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut pakar sakit puan, jika tidak, dikhuatiri berlaku kesan endometriosis” katanya kepada BH.

Lendir busuk

Dr Salmi berkata, selain endometriosis, senggugut kronik boleh menyebabkan ‘pelvic inflammatory disease’ iaitu penghasilan lendir berbau busuk atau gatal (abnormal discharge), jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kemandulan.

“Bagaimanapun, keadaan ini bergantung kepada jenis dan lokasi fibroid dalam rahim, selain sakit ketika haid, turut menyebabkan haid banyak, sehingga berlaku kekurangan darah dan keletihan,” katanya.

Mengenai rawatan, beliau menyarankan wanita yang mengalami senggugut mendapatkan pemeriksaan segera untuk ujian ultrasound atau scan pelvis bagi melihat keadaan rahim dan juga ovari.

“Sekiranya ultrasound pelvis normal, pemberian ubat tahan sakit seperti nonstreroidal anti inflammatory drugs (NSAID) akan dibekalkan untuk mengurangkan sakit.

“Sekiranya terdapatnya fibroid, pelvic inflammatory diseases atau endometriosis, rawatan susulan seperti pembedahan laparoskopik akan dilakukan.

“Pada masa sama, jika pesakit mengalami kesukaran mengandung, ujian ‘tubal patency test’ boleh dilakukan dengan teknik laparoscopik. Jika terdapat ketumbuhan atau ‘cyst’ pada ovary, ketumbuhan itu akan dibuang,” katanya.

Info: Tanda-tanda endometriosis

• Senggugut atau dysmenorrhea

• Sakit ketika melakukan hubungan seksual

• Sakit ketika pergerakan usus dan membuang air

• Pendarahan berlebihahn ketika haid dan di antara kitar haid

• Ketidaksuburan

• Lemah, cirit-birit, sembelit, kembung perut dan muntah terutamanya ketika haid.

Endometriosis

• Ketumbuhan endometrium (tisu dinding rahim) di luar rahim di mana ia menebal, mengurai dan berdarah seperti kitar haid.

Berita Harian X