Sabtu, 28 September 2019 | 9:00am
Gambar hiasan.

Rawat sendi otot kronik

Sakit kepala, leher atau belakang sehingga tidak boleh bergerak melebihi tiga bulan boleh dikategorikan sebagai kesakitan kronik.

Keadaan sakit seperti tajam mencucuk, membara atau bahagian tertentu seperti lutut, bahu atau leher yang sakit apabila digerakkan, antara lazim dialami individu.

Kesakitan boleh dialami berterusan atau sekejap-sekejap, datang dan pergi tanpa punca membabitkan mana-mana bahagian tubuh. Rasa sakit itu adalah reaksi penting sistem saraf yang membantu kita peka kepada sebarang kemungkinan kecederaan.

Apabila berlaku kecederaan, isyarat itu bergerak dari kawasan yang sakit sehingga ke tulang belakang dan otak. Kesakitan kronik biasanya berlaku apabila ada kecederaan kecil seperti di belakang atau otot tegang yang dipercayai akibat kerosakan saraf.

Jika berpanjangan dalam keadaan ini, rawatan kecederaan ini mungkin tidak dapat mengatasi kesakitan. Malah, punca kesakitan kronik tanpa kecederaan sukar difahami kerana ia kadangkala mungkin disebabkan masalah kesihatan lain.

Kesan sampingan

Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia (SSEMM), Dr C H Tan, berkata pengambilan ubat tahan sakit bagi mengatasi kesakitan kronik perlu mendapat nasihat daripada doktor kerana ia boleh meninggalkan kesan sampingan.

Katanya, semua ubat termasuk parasetamol mempunyai kesan sampingannya, selain pengambilan sebarang ubat tahan sakit, bergantung kepada usia, sejarah penyakit dan seharusnya pada dos yang paling rendah serta selamat.

“Dos ubat yang diambil perlu semakin kurang dari masa ke masa dan tidak melebihi tiga bulan. Sekiranya sakit masih terasa, perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ubat tahan sakit perlu dihentikan sekiranya rasa sakit tidak berkurang atau masih sama. Selain ubat, kesakitan kronik boleh dikurangkan dengan menjalani gaya hidup sihat seperti bersenam, mengurangkan berat badan, diet sihat dan berhenti merokok.


Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia (SSEMM), Dr C H Tan. - Foto Rohanis Shukri

Buat pembedahan

Pesakit dan doktor perlu memahami gejala kesakitan sebelum menjalankan sebarang rawatan termasuk pembedahan sekiranya perlu.

Bagaimanapun, katanya tidak semua kesakitan kronik perlu menjalani pembedahan.

Fisioterapi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Chua Siew Kwan, berkata senaman adalah antara rawatan berkesan untuk merawat kesakitan kronik.

“Pesakit tidak boleh duduk diam atau berehat di atas katil saja dan menunggu kesakitan hilang sebaliknya perlu bergerak untuk mengelakkan kekakuan otot pada bahagian terbabit.

“Ini kerana apabila pulih, otot tisu lembut tidak sembuh sepenuhnya dan tidak dapat berfungsi sepenuhnya seperti biasa di masa depan,” katanya.

Senaman kaedah rawatan

Beliau berkata, senaman boleh dilakukan dengan pergerakan dan tanpa pergerakan. Tanpa pergerakan boleh membuatkan otot bergerak atau kontrak.

Bagi kesakitan melampau, pesakit akan diberikan pengurusan kesakitan bagi mengurangkan dan menggalakkan pergerakan yang mencegah otot daripada menjadi kaku dan tidak dapat bergerak.

Dalam kes itu, pesakit perlu merujuk pakar terapi fisio yang dapat menentukan bahagian tubuh yang terbabit atau memastikan bahagian sendi atau tisu lembut yang menjadi keras atau lemah.

“Tubuh mempunyai dua kumpulan otot yang saling mengimbangi. Apabila bahagian depan menjadi tegang, otot belakang menjadi lemah seterusnya mengakibatkan kawalan sendi tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan tekanan berlebihan.

“Justeru, senaman dengan panduan pakar terapi penting kerana tidak semua orang bersenam dengan betul dan menyebabkan sakit masih berterusan,” katanya.

Senaman khas yang membabitkan kawasan tubuh tertentu lebih berkesan berbanding senaman biasa.

Pakar terapi akan mengenal pasti otot terbabit dan memberikan preskripsi atau dos senaman betul termasuk cara dan tempoh senaman.

Kaedah urutan boleh dilakukan tetapi ia hanya membabitkan bahagian otot saja, malah sekiranya sendi menjadi keras, urut tidak berkesan.

Langkah demi langkah senaman untuk sakit tengkuk dan bahu: (rujuk gambar)


1. Letakkan jari di bawah dagu dan pandang ke depan, kira sehingga 10. - Foto Rohanis Shukri

2. Letak kedua tangan ke belakang kepala dan tolak sedikit kepala ke belakang dan kira sehingga 10. Letak kedua tangan ke belakang kepala dan tolak sedikit kepala ke belakang dan kira sehingga 10.

3. Letakkan tangan di tepi telinga kiri dan tekan, kira sehingga 10. - Foto Rohanis Shukri

4. Letakkan tangan di tepi telinga kanan dan tekan, kira sehingga 10. - Foto Rohanis Shukri

5. Letakkan tangan pada dinding, jarakkan badan daripada dinding dan tolak badan ke arah dinding dan ke belakang seperti melakukan tekan tubi. Ulang sehingga 10 kali. - Foto Rohanis Shukri

Lakukan senaman setiap setengah jam untuk menghilangkan kesakitan.

INFO
1. Kira-kira 1.5 bilion penduduk dunia mengalami kesakitan melampau.
2. Punca utama ketidakupayaan jangka panjang.

Kesan
1. Sukar bergerak.
2. Mengganggu tidur.
3. Keresahan.

Jenis senaman:
1. Berbasikal (sakit belakang).
2. Regangan.
3. Berenang.
4. Pilates.

Berita Harian X