Sabtu, 14 September 2019 | 10:00am
Sindrom Guillain-Barre sebabkan gangguan saraf, pesakit boleh lumpuh. - Foto hiasan

Sistem imun serang badan

SINDROM Guillain-Barre atau (GBS) adalah gangguan neurologi, dengan keadaan sistem imun badan sendiri menyerang sebahagian daripada sistem saraf periferi.

GBS disebabkan sistem pertahanan badan cuba melawan jangkitan kuman, malangnya antibodi yang dikeluarkan tersilap menyerang sistem saraf periferi badan.

Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami kebas pada jari kaki yang boleh merebak ke bahagian atas sehingga ke tangan dan jari-jemari.

Lama-kelamaan pesakit mengalami kelemahan otot sehingga boleh menyebabkan kelumpuhan, hilang keupayaan untuk bergerak atau berjalan sendiri.

Malah menjadi lebih teruk apabila sukar bernafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan, jika dibiarkan boleh membawa maut.

Walaupun punca GBS masih tidak diketahui, namun penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja, namun lebih berisiko kepada individu sudah berusia dan dijangkiti kuman paru-paru dan cirit-birit.

Pakar Perunding Am dan Neurologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Liyana Najwa Inche Mat, berkata penyakit GBS disebabkan sistem imun pesakit mengeluarkan antibodi, lalu menyerang sistem saraf periferi terletak di luar otak dan saraf tunjang.

Beliau berkata, fungsi sistem saraf periferi adalah untuk menghantar impuls daripada deria organ atau reseptor melalui sistem saraf pusat.

“Namun, tindak balas antibodi yang tidak wajar ke atas saraf (myelin sheath), membuatkan isyarat elektrik dari otak tidak sampai ke otot, sekali gus menyebabkan badan menjadi lemah.

“Saraf ini juga menjadi rosak menyebabkan pesakit mengalami semut-semut dan kebas. Begitu juga berlaku kesan sakit otot di belakang kaki juga dirasai,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, antara diagnosa bagi pesakit GBS, ujian kaji saraf atau ‘Nerve Conduction Study’ dan pengambilan sampel air tulang belakang akan dilakukan.

“Prosedur yang tidak bahaya ini menunjukkan kandungan protein yang tinggi, manakala sel darah putih adalah normal pada cecair tulang belakang,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua daripada tiga pesakit GBS mempunyai sejarah dijangkiti kuman beberapa minggu sebelum diserang penyakit ini.

“Memandangkan GBS menyerang sistem saraf yang mengawal organ dalaman, ia boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil, degupan jantung tidak sekata dan tekanan darah tidak menentu,” katanya.

Dr Liyana Najwa berkata, seperti penyakit lain, pesakit GBS terdedah kepada jangkitan kuman.

“Ini termasuk jangkitan kuman Campylobacter jejuni (cirit-birit), influenza, cytomegalovirus, virus Epstein-Barr, HIV dan mycoplasma pneumonia. Bagaimanapun, suntikan vaksin influenza tidak mampu menangkis GBS.

“Bagi pesakit yang didiagnosa GBS, mereka perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan berlaku kemerosotan fungsi saraf pada tempoh masa beberapa jam sehingga minggu.

“Gagal atau lewat dirawat menyebabkan pesakit mengalami keadaan sukar bernafas dan seterusnya membawa maut. Manakala, kelemahan otot pula, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kelumpuhan kekal,” katanya.

Beliau berkata, rawatan `intravenous pooled immunoglobulin’ (IVIG) dianggap terbaik untuk mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan kemerosotan saraf di dalam penyakit GBS.

“IVIG dihasilkan daripada sekumpulan darah penderma yang mengandungi antibodi yang sihat. Ia akan diberi melalui saluran intravena selama beberapa hari.

“Rawatan sokongan seperti fisioterapi dan ubat tahan sakit boleh digunakan untuk meringankan simptom yang dialami pesakit,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada GBS boleh pulih sepenuhnya, beliau berkata, tempoh rawatan memerlukan tempoh yang lama untuk sembuh, beberapa bulan hingga tahun.

“Kebanyakan pesakit akan sembuh, bagaimanapun masih mengalami kebas-kebas, kelemahan dan sakit otot meskipun sudah pulih.

“Sebilangan kecil pesakit akan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti harian dengan normal, walaupun sudah sembuh,” katanya.

Beliau menyarankan sesiapa yang mengalami kebas atau semut-semut di jari kaki atau tangan dan kian merebak, disusuli sukar bernafas atau menelan air liur, segera mendapatkan rawatan kerana GBS boleh membawa maut.

INFO

• Dianggarkan satu daripada 100,000 individu berisiko diserang GBS pada tempoh setahun.

• GBS tidak berjangkit dan juga tidak diwarisi

• Kira-kira lima peratus pesakit GBS maut disebabkan komplikasi pernafasan dan gangguan sistem kardiovaskular

• Pesakit GBS boleh mengalami kelumpuhan oto, pesakit tidak mampu menggerakkan tangan dan kaki.

• Sesetengah pesakit tidak dapat menggerakkan mata, wajah dan bercakap bahkan sukar menelan makanan.

• GBS tidak boleh dihindari dengan suntikan vaksin influenza.

Berita Harian X