Khamis, 12 September 2019 | 4:23pm
PESAKIT kanser yang tidak memahami aspek sains kesihatan antara faktor membuatkan mereka rasa sedih, murung dan terpencil.

Pesakit kanser perlu maklumat tepat untuk pilih rawatan terbaik

KUALA LUMPUR: Pesakit kanser memerlukan maklumat kesihatan yang betul dan tepat bagi menjaga kualiti hidup dan mengelak berlaku kemurungan yang tinggi.

Pensyarah Kanan dan Ahli Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Caryn Chan, berkata sebilangan pesakit mengalami kesukaran memahami maklumat dan fakta sains kesihatan yang semakin kompleks.

Katanya, kajian mendapati pesakit kanser yang tidak memahami aspek sains kesihatan antara faktor membuatkan mereka rasa sedih, murung dan terpencil.


PENSYARAH Kanan dan Ahli Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Caryn Chan

“Tahap literasi kesihatan yang rendah ini menyebabkan keadaan pesakit bertambah buruk. Bagi kebanyakan individu yang didiagnosis kanser, tekanan ketika menjalani rawatan meningkat.

“Mereka mempunyai sedikit masa untuk memproses data selepas didiagnosis, termasuk reaksi emosi sebelum perlu memahami sistem penjagaan kesihatan yang kompleks.

“Kajian mendapati satu pertiga daripada pesakit kanser mengalami tahap kesusahan fizikal atau psikologi yang serius,” katanya kepada BH.

Literasi kesihatan adalah keupayaan memperoleh, memahami dan bertindak terhadap maklumat kesihatan yang diperlukan untuk membuat keputusan berhubung kesihatan.

Ini adalah faktor kritikal dalam memperkasakan pesakit untuk mengurus kesejahteraan mereka dan meningkatkan hasil kesihatan sepanjang tempoh menerima rawatan.

Beliau berkata, kekurangan literasi kesihatan menyaksikan sistem kesihatan menjadi semakin rumit kerana populasi kanser di negara ini kian bertambah.

Katanya, pesakit yang datang daripada keluarga sosioekonomi rendah, berkemungkinan mengalami kesan psikososial yang rendah. Keadaan menjadi sulit disebabkan kekurangan maklumat sesuai daripada segi budaya dan linguistik.

“Kesukaran berkomunikasi dengan cekap serta tepat dengan pengamal perubatan, membuatkan pesakit berada dalam sukar menerima kenyataan.

“Begitu juga kepercayaan pesakit dalam rawatan alternatif yang tidak terbukti dalam penyembuhan kanser, menjadi punca penyakit ini sukar diatasi,” katanya.

Dr Caryn Chan berkata, pembabitan pesakit adalah strategi utama dalam menangani kos penjagaan kesihatan dan meningkatkan kualiti penjagaan.

“Pesakit berperanan aktif dalam penjagaan kesihatan mereka dengan kesungguhan mematuhi rejimen mengambil ubat, membezakan antara bukti perubatan yang boleh dipercayai berbanding salah faham atau mitos.

“Komunikasi secara berkesan antara pesakit dan doktor penting mengenai kesesuaian setiap prosedur rawatan, risiko serta kebarangkalian kadar kelangsungan hidup.

“Pastinya pakar memberikan pilihan terbaik bagi mengelak membuat keputusan yang tidak diketahui dan pengambilan ubatan yang tidak sesuai,” katanya.

Literasi kesihatan yang terhad mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan rakyat, begitu juga kualiti penjagaan dan kos penjagaan kesihatan.

“Terlalu sedikit diketahui mengenai tahap dan hubungan literasi kesihatan dalam populasi kanser di negara ini, justeru, kita perlu mencari cara mengatasi jurang literasi kesihatan berkenaan.

“Ini termasuk ujian literasi kesihatan kanser perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk menghapuskan penghalang bahasa yang menjadi masalah kepada pesakit,” katanya.

Berita Harian X