Sabtu, 24 Ogos 2019 | 10:00am
Pakar Bedah Kepala dan Leher, UITM Private Specialist Centre, Dr Ahmad Kusyairi Khalid menunjukkan model robot yang digunakan. - Foto Rohanis Shukri

Robot bedah pesakit

Pembedahan cara lama membabitkan pangkal lidah dan leher biasanya bukan saja meninggalkan parut pada bahagian berkenaan tetapi terpaksa tinggal lama di dalam wad dan risiko jangkitan.

Malah ia juga meninggalkan trauma kepada pesakit apabila terpaksa melalui pengalaman mengerikan apabila bahagian berkenaan dipotong dan dibuka untuk membuang ketumbuhan atau barah.

Kini, pembedahan membabitkan bahagian pangkal lidah dan leher itu boleh dijalankan tanpa meninggalkan kesan parut jahitan malah dilakukan dalam tempoh singkat menggunakan teknologi pembedahan transoral robotik.

UiTM Private Specialist Centre (UiTM PSC) adalah hospital pertama yang memperkenalkan kaedah itu ke atas ENT menggunakan robot itu sejak Mei tahun lalu.

Seramai 16 pesakit sudah menjalani pembedahan diketuai Pakar Bedah Kepala dan Leher UiTM PSC, Dr Ahmad Kusyairi Khalid, dengan pembedahan percubaan pertama membabitkan pesakit tonsil yang berusia lima tahun.

“Percubaan awal pembedahan secara percuma dijalankan ke atas tiga kes mudah membabitkan kes tonsil, cyst atau ketumbuhan mulut dan pangkal lidah.

“Kes paling rumit pula membabitkan barah pangkal lidah peringkat awal iaitu tahap satu dan dua yang berjalan dengan lancar,” katanya.

Operasi lebih cepat

Katanya pembedahan barah pangkal lidah sebelum ini memerlukan rahang pesakit dibuka membabitkan proses rumit dan meninggalkan parut besar pada bahagian berkenaan.

Bagaimanapun dengan menggunakan robot, ia boleh dibedah dalam tempoh satu setengah jam.

Hasil pembedahan membuktikan manfaatnya ke atas pesakit yang sembuh dengan cepat dan mengurangkan kesakitan dialami selain mengurangkan risiko kehilangan darah.

Kaedah ini turut memberikan kemudahan kepada pakar untuk menjalankan pembedahan dengan penglihatan lebih baik, kawalan dan ketepatan tinggi serta dijalankan ke atas jumlah pesakit yang lebih ramai pada satu masa.


Pakar Bedah Kepala dan Leher, UITM Private Specialist Centre, Dr Ahmad Kusyairi Khalid. - Foto Rohanis Shukri

Sistem Da Vinci ini membabitkan tiga komponen iaitu pakar pembedahan yang mengendalikan pergerakan menerusi imej tiga dimensi yang dipaparkan, robot dengan empat tangan dan skrin paparan berdefinisi tinggi.

Sehingga kini seramai sembilan pakar dalam pelbagai bidang di UiTM PSC dilatih untuk menggunakan sistem pembedahan berkenaan.

Pembedahan lain yang boleh dijalankan menggunakan sistem robot ini adalah kanser pita suara tahap awal tanpa perlu membuang pita suara pesakit, ketumbuhan pada leher yang menyembunyikan parut pada bahagian belakang telinga, ketumbuhan kelenjar air liur serta tiroid.

Info : Sejarah awal robot dalam pembedahan
- Digunakan oleh tentera Amerika Syarikat
- Pembedahan ke atas tentera yang cedera dari jarak jauh.

Kegunaan pembedahan robot:
- Penyakit berkaitan ENT- 15 peratus
- Penyakit berkaitan sakit puan dan urologi-60 peratus.

Berita Harian X