Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:24pm
PAKAR Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Komuniti (JKK UPM) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Kerjaya CanMERDEKA, Dr Sri Ganesh A/L Muthiah bergambar bersama peserta yang hadir ke pelancaran CanMERDEKA di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Putra Malaysia (UPM). NSTP/Rosela Ismail

Peluang pesakit kanser teruskan kerjaya selepas rawatan

SERDANG: Bekas pesakit kanser berpeluang meneruskan kerjaya selepas menjalani rawatan menerusi tawaran yang disediakan pada Karnival Kerjaya yang dijadual akan diadakan pada 1 Oktober ini di Universiti Putra Malaysia (UPM).  

Karnival Kerjaya CanMerdeka, buat julung kalinya dianjurkan atas inisiatif Fakulti Perubatan &  Sains Kesihatan (FPSK) dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly, Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (Care, UPM) dan JobsMalaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Sri Ganesh Muthiah, berkata kira-kira 20 majikan daripada pelbagai industri bakal menawarkan peluang pekerjaan pada karnival berkenaan.  

"Program ini secara simboliknya memberikan kemerdekaan kepada bekas pesakit kanser yang mengalami masalah kewangan selepas menjalani rawatan.

“Berdasarkan rekod Cancerfly, kira-kira 300 bekas pesakit berjaya melawan barah, berdaftar untuk mencari pekerjaan sesuai untuk mereka," katanya.  

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program berkenaan di sini hari ini. Yang turut hadir, Dekan FPSK UPM, Prof Dr Zamberi Sekawi dan Ketua Jabatan Kesihatan Komuniti, Prof Dr Nor Afiah Mohd Zulkefli, Timbalan Pengarah CaRE UPM, Prof Dr Sherina Mohd Sidik.

452 dibaca
Berita Harian X