Sabtu, 25 Mei 2019 | 10:00am
KUALA LUMPUR 02 MEI 2019. Senior Manager Oncology Center, Helena Yong (kanan) memberikan penerangan kepada wakil delegasi media dari pelbagai negara Asia melihat kemudahan peralatan yang terdapat di hospital swasta sempena Program Malaysia Healthcare Travel Council Familiarisation (FAM) di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
KUALA LUMPUR 02 MEI 2019. Senior Manager Oncology Center, Helena Yong (kanan) memberikan penerangan kepada wakil delegasi media dari pelbagai negara Asia melihat kemudahan peralatan yang terdapat di hospital swasta sempena Program Malaysia Healthcare Travel Council Familiarisation (FAM) di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

Pelancongan kesihatan negara terus cergas

WARGA Indonesia yang mahu dikenali sebagai Pak Tony, antara pelancong kesihatan yang berkunjung ke negara ini semata-mata hendak melakukan prosedur pembedahan pintas arteri tersumbat (CABG) yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu.

Jika diikutkan, di negara kelahirannya sendiri bukannya tiada rawatan pakar, begitu juga bukan kerana perbezaan bayaran menyebabkan beliau mahu ‘terbang’ ke negara ini.

Kata Pak Tony, semuanya kerana perkhidmatan pengurusan di negara ini dikhabarkan antara yang terbaik di dunia menyebabkan anak beliau bersungguh-sungguh mengajaknya datang ke Kuala Lumpur dan melakukan prosedur berkenaan.

“Malaysia disebut-sebut dunia sebagai antara hab rawatan kesihatan terbaik di dunia, malah tidak dinafikan juga bayaran untuk rawatan antara yang terendah.

“Saya mendapat layanan yang cukup baik bermula tibanya di lapangan terbang sehinggalah dibawa ke hospital. Setibanya di Hospital Gleneagles Ampang pada 8 April lalu, saya terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaan saya ketika itu sangat kritikal.

“Selama enam hari saya di dalam ICU, akhirnya saya dipindahkan ke wad biasa selepas melakukan prosedur dan diberikan perhatian yang sangat istimewa sepanjang 20 hari saya di negara ini, termasuk dibawa bersiar-siar di kota metropolitan, Kuala Lumpur ini.

KUALA LUMPUR 09 MEI 2019. Pesakit yang mendapat rawatan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pa Tony. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
KUALA LUMPUR 09 MEI 2019. Pesakit yang mendapat rawatan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pa Tony. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

“Terus terang saya katakan memang berpuas hati dan kebanyakan doktor dan jururawat melayan dengan ramah seperti mana saudara mereka sendiri. Saya bagaikan mendapat peluang nyawa kedua untuk hidup lagi,” katanya yang ditemui di Hospital Gleneagles Ampang selepas sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke Jakarta, baru-baru ini.

Suntik vaksin influenza di Kuala Lumpur

Pak Tony antara pelancong yang bertandang ke negara ini khusus untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan selepas mendapat keyakinan dengan usaha dilakukan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mempromosikan sektor berkenaan ke seluruh dunia sejak ditubuhkan pada 2009.

Bagi Ibrahim Al-Ismail pula berkata, beliau sanggup membawa tiga anak kecilnya mengambil vaksin di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur setiap tahun.

Beliau yang bertugas di Singapura, berkata walaupun republik itu kemudahan perubatannya cukup, namun beliau selesa membawa semua ahli keluarga mendapatkan suntikan influenza bagi menangani masalah demam dan selesema di sini.

“Selain kos yang ditawarkan agak murah, kunjungan juga sebahagian daripada percutian keluarga. Pada masa sama kami menziarahi sahabat dan saudara-mara yang bertugas di di sini dan membeli-belah sekitar pusat bandar,” katanya yang juga kakitangan syarikat penerbangan, berasal dari Arab Saudi.

Kedua-dua yang ditemui itu membuktikan Malaysia terus menjadi tumpuan pelancong bagi segmen kesihatan yang mana perkhidmatan yang ditawarkan sungguh berdaya saing.

MHTC dalam laporannya mencatatkan peningkatan jumlah pelancong kesihatan meningkat setiap tahun, bermula 643,000 pada 2011, melonjak 1.2 juta pelancong tahun lalu. Angka ini menyumbang kepada pendapatan sehingga RM1.5 bilion.

Pacu sektor perkhidmatan rawatan

Aktiviti sedemikian memacu keseluruhan pendapatan berjumlah RM4 hingga RM5 bilion, kiraan berdasarkan kepada perbelanjaan pengangkutan, penginapan ahli keluarga dan aktiviti riadah.

Malah sasaran MHTC untuk mencatatkan perolehan melebihi RM2 bilion bagi pelancongan kesihatan menjelang tahun 2020 bukanlah perkara sukar berdasarkan kewibawaan sektor berkenaan sudah cukup kuat.

Segala-galanya sudah meyakinkan memandangkan negara memiliki kepakaran, infrastruktur, teknologi, persekitaran yang kondusif, hubungan kerjasama antara negara dan promosi berterusan bersedia menerima lebih 1.5 juta pelancongan kesihatan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, MHTC, Sherene Azli, berkata menerusi Perkongsian Awam Swasta (PPP), MHTC bekerja rapat dengan pelbagai institusi menerusi rantaian industri baik dari sektor awam dan swasta bertujuan membangunkan sektor pelancongan kesihatan negara.

“Hubungan diwujudkan melalui PPP dengan bekerjasama agensi kerajaan yang lain seperti Tourism Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaksanakan secara menyeluruh.

“Dalam sektor swasta pula, MHTC bekerja rapat dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) selain menggalak lebih banyak hospital swasta menyertai program keahlian MHTC, bertujuan menggalakkan pertubuhan sektor berkenaan.

“Sehingga kini 79 ahli hospital membabitkan 21 (elit), 58 (biasa) yang bekerjasama dengan MHTC bagi mempromosikan negara ke pasaran luar antaranya China, Indonesia, India, Myanmar dan Vietnam,” katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.

Kerjasama pintar pelbagai pihak

Pelaksanaan ini juga kata Sherene tidak akan dicapai andainya tiada perancangan strategik membabitkan perkongsian dan perundingan antara Kerajaan kepada Kerajaan (G2G); Kerajaan kepada Perniagaan (G2B) dan Perniagaan kepada Perniagaan (B2B).

“Pelaksanaan strategik ini sebagai pemudah cara perjalanan pelancongan kesihatan ke negara ini. Ia antara inisiatif dilaksanakan termasuk pengecualian atau tempoh masa permohonan visa dipercepatkan khusus untuk pelancong kesihatan khususnya pasaran negara sasaran seperti China, Indonesia, India, Vietnam dan Myanmar.

“Malah kerjasama dengan Imigresen Malaysia juga dilaksanakan bertujuan mempercepatkan tempoh permohonan visa khusus bagi kemasukan pelancongan kesihatan dari pasaran sasaran dan permohonan eVISA (Pelancong Kesihatan) boleh dilakukan secara dalam talian.

“Inisiatif ini sudah bermula sejak 8 Oktober tahun lalu bagi memudah cara kemasukan pelancong kesihatan ke Malaysia menjadikan proses kemasukan pelancong kesihatan ke Malaysia menjadi lebih mudah,” katanya.

INFO

Pilihan rawatan mendapat permintaan tinggi pelancong kesihatan:

* Kardiologi

* Kesuburan (IVF)

* Penyaringan kesihatan umum

* Ortopedik

* Onkologi

* Neurologi

* Gastroenterologi

* Pergigian

* Estetika (pembedahan kosmetik)

Jumlah perkhidmatan rawatan dan klinik yang berdaftar bersama MHTC:

* Hospital - 54

* Perkhidmatan Ambulatori - 20

* Pusat Dialisis - 1

* Klinik pergigian - 4

Fakta

• Sejak tahun 2015, Malaysia menyaksikan pertumbuhan industri pelancongan kesihatan berjumlah 27 peratus. Angka itu melebihi purata pertumbuhan pasaran perkhidmatan kesihatan global 12 peratus.

• Menerusi laman sesawang International Living, pada Februari lalu Malaysia diletakkan pada kedudukan pertama di dunia memiliki perkhidmatan kesihatan terbaik dunia dengan markah 95 peratus, malah laman sesawang itu juga mengiktiraf Malaysia sejak 2015.

• Bermula tahun depan, MHTC melancarkan kempen Malaysia Healthcare Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia mengajak pesakit berkongsi pengalaman sepanjang menjalani rawatan di Malaysia.

• Indonesia negara tertinggi pelancong kesihatan ke Malaysia, selain China, India, Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Asia Barat.

• Hospital swasta Malaysia diiktiraf oleh badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Malaysian Society for Quality in Health (MSQH); Joint Commission International (JCI); Reproductive Technology Accredition Committee (RTAC) dan agensi lain kendalian International Society for Quality in Health Care (ISQua).

• Permohonan eVisa (Pelancong Kesihatan) boleh dibuat melalui platform eVISA di laman sesawang http://www.windowmalaysia.my.

Berita Harian X