Ahad, 28 April 2019 | 12:23pm
Dr Amir Shah.
Kanser usus besar. - Foto hiasan

Kanser tahap empat bukan tamat riwayat

Inovasi perubatan merubah nasib mangsa jalani hidup lebih sempurna selepas menjalani rawatan

kanser tahap empat harapan hidup cerah.

Pesakit kanser usus besar, khususnya kolon dan rektum berpeluang untuk sembuh walaupun serangan itu berada pada tahap empat yang lazim sering beranggapan mangsa tiada harapan untuk hidup.

Pakar Perunding Onkologi Kinikal Gleaneagles Pulau Pinang, Dr M Amir Shah, berkata inovasi perubatan

kini membolehkan sebahagian besar pesakit yang dirujuk sembuh menerusi pelbagai prosedur perubatan yang terbaru dan canggih.

Beliau berkata, kecanggihan teknologi perubatan terkini merubah nasib pesakit yang berhadapan situasi kritikal untuk meneruskan hidup dengan lebih selesa.

“Ini sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap pesakit kanser tahap empat sudah tiada harapan sembuh, sebaliknya hanya dinasihat reda dengan ketentuan-Nya,” katanya kepada BH.

Dr Amir Shah berkata, kanser kolorektum disebabkan berlaku pertumbuhan sel kanser di dalam saluran usus besar, khususnya kolon dan rektum.

Kanser tiada tanda khusus

Kanser kolorektum mungkin sukar dikesan lebih awal kerana tidak mempunyai simptom tertentu. Sebaliknya, pesakit mengalami tanda tidak khusus seperti sembelit, cirit-birit, ketidakselesaan perut, penurunan berat badan dan darah dalam najis. Sesetengah pesakit lain pula mungkin tidak mengalami sebarang simptom langsung.

Di Malaysia, berdasarkan data 2012, kanser kolorektum dikelaskan sebagai kanser paling biasa dalam kalangan lelaki dan kedua membabitkan pesakit wanita.

Selama ini, kanser berkenaan sering menyerang penduduk di negara maju, namun kini menular di negara membangun, termasuk di negara ini.

Rawatan kanser kolorektum diberikan mengikut kesesuaian pesakit berdasarkan faktor seperti tahap kanser, mutasi genetik yang terdapat dalam kanser, serta umur dan status kesihatan pesakit secara amnya.

Pada peringkat awal serangan, peluang pesakit untuk sembuh sehingga 90 peratus. Bagi kanser tahap satu, pembedahan sahaja sudah memadai untuk menyembuhkan penyakit ini.

Bagi kanser tahap dua dan tiga pula, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser berulang di samping meningkatkan peluang pesakit untuk hidup dengan selesa.

Rawatan kolorektum metastatik

Malangnya, Dr Amir Shah berkata, sebahagian besar daripada pesakit yang dirujuk sudah berada dalam keadaan kritikal, kanser tahap empat, merebak mencapai metastatik.

Apabila sudah berada pada tahap ini, beliau berkata, rawatan hanya bertujuan memanjangkan hayat pesakit selama mungkin tanpa menjejaskan gaya hidup mereka.

“Kemoterapi adalah komponen utama dalam rawatan metastatik. Prosedur FOLFOX dan FOLFIRI adalah kombinasi rawatan kemoterapi dengan keberkesanan optimum.

“Tindak balas tumor (menghentikan atau menyusut ketumbuhan) dan menyaksikan pesakit dapat bertahan lebih lama. Perkembangan bidang perubatan membolehkan kita mengenal pasti ciri biologi yang meramal sifat tumor dan mutasi genetik yang mempercepatkan pertumbuhan kanser.

“Penemuan ini menyumbang kepada penciptaan ubatan baharu yang menjadikan mutasi genetik ini sebagai sasaran,” katanya

Dr Amir Shah berkata, ubat anti-VEGF dan anti-EGFR (yang menjadikan laluan EGFR sebagai sasaran), berupaya memanjangkan jangka hayat pesakit.

Panduan rawatan terbaik

Bagaimanapun, keadaan ini bergantung kepada sifat pesakit itu sendiri selain aspek lain seperti kesihatan am dan faktor sosioekonomi.

Persatuan Pakar Onkologi Perubatan Eropah (European Society for Medical Oncologists) atau ESMO mencadangkan jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga 30 bulan menerusi prosedur rawatan sesuai.

Pada masa sama, persatuan perubatan di Asia cuba mengamalkan prinsip ESMO menerusi panduan rawatan terbaik.

Garis panduan itu mengesyorkan pesakit yang baharu didiagnosis, diberikan terapi yang dinyatakan di atas, dengan satu daripadanya, termasuk ubat faktor pertumbuhan endotelium antivaskular (VEGF).

Ini bertujuan membantutkan pengaliran darah kepada tumor, memperlahankan pertumbuhan tumor dan memanjangkan jangka hayat pesakit. Walaupun anti-VEGF tidak dicipta menyasarkan mutasi tertentu, rawatan itu boleh diberikan kepada sebilangan besar pesakit kanser kolorektum metastatik. Gabungan kemoterapi dan anti-VEGF diberikan bergantung pada keadaan pesakit.

Elak kanser berulang

Ini bertujuan mengawal kanser selepas selesai pusingan pertama rawatan terapi ‘maintenance’ dan untuk merawat kanser berulang (terapi barisan kedua). Terapi dengan anti-VEGF, penting bagi memperlahankan pertumbuhan tumor selanjutnya.

Pesakit yang menunjukkan hasil ujian positif untuk RAS jenis liar, satu daripada subjenis kanser kolorektum, mempunyai gen RAS aktif yang menggalakkan pertumbuhan dan pelanjutan hayat sel tumor. Bagi pesakit sebegini, penggunaan ubat anti-VEGF atau antibodi EGFR dengan kemoterapi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan.

Hakikatnya, merawat kanser kolorektum metastatik adalah sesuatu yang mencabar. Pesakit perlu sentiasa berbincang dengan doktor mengenai matlamat dan pilihan rawatan ketika janji temu supaya mendapat maklumat secukupnya mengenai tahap kesihatan mereka.

FAKTA: Tanda awal kanser usus

  • Perubahan tabiat usus, termasuklah cirit-birit, sembelit atau perubahan pada kekerapan membuang air besar dalam tempoh empat minggu
  • Berlaku pendarahan rektum atau terdapat darah pada najis
  • Berlaku ketidakselesaan abdomen secara berterusan seperti kekejangan, angin dan sakit pada kawasan berkenaan.
  • Kesan keletihan melampau
  • Kehilangan berat badan secara mendadak.
  • Gejala yang dialami ini bagaimanapun berbeza mengikut individu berdasarkan saiz sel kanser dan lokasi di dalam usus besar.
  • Sebahagian besar pesakit langsung tidak mengalami sebarang gejala
  • Tahap kanser usus

    Tahap awal: Sel abnormal didapati pada dinding usus. Dikenali sebagai kanser primari.

    Tahap I: Kanser terbentuk pada lapisan usus, menyerang submukosa.

    Tahap II: Kanser merebak ke dalam dinding otot usus.

    Tahap III: Kanser merebak ke dalam nod limfa pada usus.

    Tahap IV: Kanser merebak pada organ seperti jantung, hati, dinding abdomen dan ovari.

    Kanser usus boleh menyerang semula meskipun selepas rawatan dijalankan terutamanya pada kawasan usus dan organ.

    Risiko kanser

    Usia - Kebanyakan pesakit berusia lebih daripada 50 tahun dan jarang berlaku pada individu muda. Pesakit juga pernah menghidap polip.

    Radang usus. - Pesakit kolitis ulseratif dan penyakit Crohn berisiko menghidap kanser usus.

    Diet tinggi lemak dan rendah serat. - Risiko kanser usus lebih tinggi kepada golongan yang mengamalkan pemakanan daging merah dan daging proses.

    Gaya hidup kurang aktif. - Mengamalkan senaman atau aktiviti fizikal mengurangkan risiko kanser usus.

    Diabetes. - Pesakit diabetes juga mudah menghidap penyakit kanser usus.

    Obesiti. - Orang yang mempunyai berat badan berlebihan mudah mendapat kanser usus. Risiko kematian disebabkan penyakit juga lebih tinggi berbanding orang normal.

    Merokok. - Gaya hidup tidak sihat, merokok pengambil alkohol tingkat risiko kanser

    Berita Harian X