Khamis, 7 Februari 2019 | 8:19pm
Penerbangan jarak jauh tingkat risiko serangan strok terutama kepada penumpang yang menghidap penyakit jantung.

Penerbangan lama penyebab berlaku pembekuan darah, risiko strok

halina_mdnoor@bh.com.my

Duduk terlalu lama dalam kapal terbang untuk perjalanan jauh meningkatkan risiko strok, walaupun keadaan sedemikian jarang berlaku.

Ini berpunca daripada kesan pembekuan darah dalam sistem saluran vena pada bahagian kaki yang boleh terjadi sepanjang tempoh individu berada di dalam pesawat.

Serpihan daripada pembekuan itu boleh mengalir mengikut aliran darah hingga ke paru-paru, menyebabkan berlakunya pulmonari embolism atau pembekuan darah dalam saluran darah dan boleh meragut nyawa.

Pakar Perunding Neurologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali, berkata risiko meningkat sekiranya penumpang mempunyai masalah kesihatan lain terutama jantung berlubang.

Beliau berkata, keadaan lubang pada jantung akibat patent foramen ovale, atrial septal defect atau ventricular septal defect menyebabkan serpihan darah melalui paru-paru dan terus ke saluran hingga ke otak, seterusnya menyebabkan strok.

“Bagaimanapun, keadaan ini jarang berlaku, namun merujuk kes seperti penumpang mengalami strok selepas perjalanan jauh, baru-baru ini, keadaan itu sukar ditentukan tanpa melihat keadaan pesakit secara menyeluruh,” katanya.

Penerbangan tempoh lapan jam

Foramen ovale adalah keadaan yang membolehkan darah mengalir secara terus dari atrium kanan ke atrium kiri semasa perkembangan janin. Ini adalah bahagian penting dalam sistem peredaran darah sebelum lahir, sepatutnya lubang itu tertutup sebaik selepas bayi dilahirkan.

Bagaimanapun, ada sesetengahnya tidak tertutup sehingga dewasa tetapi tidak meninggalkan kesan ketara terhadap kesihatan.

Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali, penumpang bermasalah kesihatan berkaitan kardiovaskular berisiko diserang strok dalam pesawat ketika perjalanan jauh.

Jurnal American Academy of Neuorology (AAN) terbitan 23 Jun 2003, menyatakan lubang antara dua ruang di dalam jantung berlaku ke atas kira-kira 30 peratus populasi secara amnya.

Penyelidikan terhadap 65 penumpang yang mengalami pulmonari embolism dalam tempoh lapan jam apabila mereka tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle, Paris di Perancis. Daripada jumlah itu, empat orang atau enam peratus daripada responden mengalami strok disebabkan foramen ovales.

Foramen ovale dikenal pasti berisiko berlaku strok, pada kajian itu menunjukkan tidak ada punca lain ditemui dalam kalangan pesakit dan keempat-empat mereka mengalami keadaan berkenaan ketika penerbangan dalam tempoh lapan jam.

Lakukan senaman ringan

Kajian diketuai Pakar Avicenne Hospital di Bobigny, Perancis, Frederic Lapostolle, mengingatkan penumpang supaya mengambil langkah keselamatan bagi mengelak pembentukan darah beku ketika berada dalam pesawat.

“Pakar perubatan perlu menyedari pulmonari embolism boleh membawa kepada strok terutama selepas penerbangan lama dan perlu melihat kepada petanda lain seperti dialami pesakit.

“Risiko strok mungkin lebih besar berbanding apa yang ditemui di dalam kajian ini kerana penyelidikan tidak membabitkan mereka yang maut semasa atau sebaik saja selepas penerbangan. “Ini kerana pulmonari embolism mungkin tidak dikesan dalam kalangan mereka yang mengalami gejala strok berterusan,” katanya.

Justeru, pengembara yang menaiki penerbangan jarak jauh perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak daripada pembentukan darah beku.

Katanya, penumpang dinasihat berjalan seketika di dalam pesawat bagi mengelak berlaku pembentukan darah beku. Kajian juga tidak membabitkan pesakit yang menghidap kardiologi minor serta gejala neurologi.

FAKTA

The AAN, pertubuhan terbesar dunia dengan lebih 34,000 ahli terdiri daripada pakar saraf yang bertanggungjawab merawat dan mengurus kelainan dalam otak serta sistem saraf seperti Alzheimer, strok, migrane, sklerosis berganda, parkinson dan epilepsi.

INFO

*Cara mencegah pembentukan darah beku:

* Lakukan senaman ringan dalam pesawat

* Berjalan sekeliling kabin setiap sejam.

* Gerakkan atau putarkan pergelangan kaki atau naik dan turunkan jari kaki.

* Pakai stokin bagi meningkatkan peredaran darah.

* Minum banyak air, elak dehidrasi yang menyumbang kepada pembentukan darah beku.

* Dapatkan nasihat doktor sekiranya mempunyai sejarah penyakit jantung atau pulmonari.

Gejala pulmonari embolism:

* Sukar bernafas secara tiba-tiba.

* Sakit mencucuk pada dada dan lebih teruk apabila batuk atau ketika bernafas

* Batuk yang mengeluarkan kahak berwarna merah jambu atau lendir berbuih.

* Resah, berpeluh dengan banyak, pening atau pengsan atau kadar degupan jantung kencang.

Berita Harian X