Sabtu, 1 Disember 2018 | 10:58am

Antibiotik ubati penyakit?

Oleh Halina Mohd Noor

halina_mdnoor@bh.com.my

Sama ada dalam bentuk pil atau cecair antibiotik antara ubat diberi apabila berjumpa doktor ketika mendapatkan rawatan sesuatu penyakit.

Bagaimanapun, jika terlalu kerap makan atau terlalu bergantung kepada antibiotik boleh menyebabkan bakteria semakin kebal dan bertukar menjadi 'superbug' sehingga penyakit dialami sukar dirawat pada masa depan.

Keadaan dikenali sebagai kerintangan antibiotik (AMR) ini boleh menyebabkan penyakit yang sepatutnya mudah dirawat seperti jangkitan dan kecederaan kecil akhirnya boleh membawa maut.

Ketua Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan dan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee, berkata ada penyakit yang tidak perlukan antibiotik seperti sakit tekak tetapi ramai pesakit yang mengambilnya.

“Jika sayangkan diri dan generasi akan datang, elak mengambil antibiotik tanpa nasihat doktor.

“Sebelum mengambil antibiotik atau jika doktor menawarkan ubat itu, tanya diri sendiri sama ada anda atau ahli keluarga benar-benar memerlukannya?

“Mahukah anda melihat anak yang disayangi berdepan risiko maut kerana gagal dirawat sedangkan penyakit itu sepatutnya boleh dirawat dengan mudah?” katanya.

KEMUNGKINAN antibiotik diberikan tidak berkesan untuk pesakit. - Foto hiasan
KEMUNGKINAN antibiotik diberikan tidak berkesan untuk pesakit. - Foto hiasan

Beliau berkata demikian pada kempen ‘War Against Superbug’ anjuran Pfizer Malaysia sempena Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Prof Madya Dr Syafinaz Amin Nordin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang.

Dr Christopher, berkata kematian akibat AMR dapat dilihat setiap hari dan dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi, ramai akan terlantar di unit rawatan rapi (ICU) berpunca daripada masalah itu.

“Kami melihat mereka meninggal dunia setiap hari. Pesakit dimasukkan ICU sama ada di hospital swasta atau awam akibat dijangkiti dengan organisma yang mengalami rintangan seperti colistin dan carbapenem,” katanya.

Katanya, ada pesakit meninggal dunia akibat rintangan colistin iaitu antibiotik yang digunakan untuk merawat pneumonia berkaitan ventilator (VAP) dan jangkitan dalam darah atau bakterimia.

Empat daripada lima pesakit meninggal dunia akibat rintangan colistin.

Antibiotik lain yang mengalami rintangan adalah carbapenem iaitu agen antibiotik yang paling berkesan untuk merawat jangkitan bakteria.

Katanya, sebaik diberi antibiotik satu daripada empat peluang untuk mengalami rintangan dalam tempoh 12 bulan seterusnya.

Dr Christopher berkata, AMR dijangka mengakibatkan 10 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia menjelang 2050, iaitu lebih tinggi berbanding kanser dan penyakit jantung.

“Di negara ini, jumlah bakteria yang mempunyai kadar rintangan tinggi terhadap antibiotik semakin meningkat sehingga mencecah 61 peratus.

“Ini bermakna 61 peratus kemungkinan antibiotik diberikan tidak berkesan untuk pesakit,” katanya.

Sejak 30 tahun lalu, tiada sebarang antibiotik kelas baharu dihasilkan di seluruh dunia dan sekiranya ada, ia tidak semestinya menjamin untuk menentang bakteria, pada masa depan.

JANGAN terlalu bergantung kepada antibiotik untuk mengelak bertukar menjadi ‘superbug’ hingga sukar dirawat. - Foto hiasan
JANGAN terlalu bergantung kepada antibiotik untuk mengelak bertukar menjadi ‘superbug’ hingga sukar dirawat. - Foto hiasan

Dr Syafinaz berkata, antibiotik adalah ubat paling berkuasa melawan bakteria tetapi ia tidak semestinya digunakan ke atas setiap penyakit terutama penyakit disebabkan virus.

“Antibiotik melawan jangkitan yang berpunca daripada bakteria dan menghalang terus merebak.

“Lazimnya, antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan seperti demam, sakit tekak atau selsema biasa dan jika ia diambil ketika pesakit mengalami jangkitan viral, ia akan membunuh bakteria baik di dalam tubuh,” katanya.

Katanya, bakteria baik diperlukan untuk menghadamkan makanan, memberikan nutrien secara tidak langsung dan melindungi daripada bakteria jahat.

Bakteria adalah mikroorganisma yang mampu berkembang secara sendiri, terdapat di sekeliling atau di dalam tubuh kita tetapi hanya dalam jumlah kecil saja mengakibatkan jangkitan.

Manakala virus adalah lebih kecil berbanding bakteria dan memerlukan hos untuk berkembang seperti manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Antibiotik tidak berkesan untuk menentangnya.

Sekiranya individu tidak sihat, mereka dinasihatkan berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada anda mengalami jangkitan bakteria atau virus.

“Rintangan antibiotik berlaku apabila bakteria berubah untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik.

“Bakteria terus berkembang dan menjadi lebih berbahaya dan sukar dirawat dengan antibiotik yang lazimnya digunakan untuk melawan sesuatu penyakit,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata beberapa strategi memerangi ‘superbug’ menerusi pelancaran lima tahun Pelan Tindakan Strategi Kebangsaan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), awal tahun ini.

“Antara langkah diambil adalah untuk mengawasi AMR dan program Antimicrobial Stewardship (AMS) di semua sektor termasuk hospital, klinik kerajaan dan swasta.

“Kesan penyalahgunaan antibiotik perlu disebarkan kepada semua lapisan masyarakat bagi memastikan AMR boleh dibendung,” katanya.

Info

Apa yang boleh anda lakukan bagi melawan AMR:

* Makan antibiotik hanya apabila diperlukan

* Untuk jangkitan bakteria.

* Ikut nasihat doktor

* Makan ubat seperti dinasihatkan.

* Habiskan antibiotik apabila mula mengambilnya.

* Jangan ambil antibiotik untuk jangkitan lain atau milik orang lain.

* Cegah jangkitan dengan mengambil suntikan imunisasi.

* Kerap cuci tangan

* Faktor penyalahgunaan antibiotik:

- Tidak menghabiskan antibiotik.

- Lebihan antibiotik dalam haiwan dan ikan ternakan.

- Jangkitan teruk di pusat penjagaan kesihatan.

- Tahap kebersihan yang teruk.

- Ketiadaan antibiotik baharu

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X