KULIT wajah kerap rasa seperti mencucuk-cucuk, ketat, gatal dan pedih menunjukkan gejala seseorang mempunyai masalah kulit sensitif, selain berupaya mengakibatkan kesan lebih teruk.
Lebih parah ia meninggalkan kesan parut hitam atau kemerahan berkekalan dan pada masa sama, kulit wajah tidak sekata, menggelupas, jerawat batu dan sebagainya.
Kulit sensitif ini mula mengalami iritasi akibat daripada pelbagai faktor sekeliling ditambah dengan penyalahgunaan produk yang tidak bersesuaian dengan masalah kulit wajah.
Bagaimanapun, kulit sensitif adalah masalah biasa yang menjejaskan kira-kira 50 peratus daripada jumlah populasi manusia, dengan kadar kelaziman global yang dilaporkan antara 12.79 peratus hingga 68.4 peratus.
Menurut Perunding Dermatologi, KPJ Ampang Puteri, Dr Mazlin Mohd Baseri, masalah kulit wajah sensitif ini bukan saja untuk jenis kulit tertentu, tetapi ia turut dihadapi semua jenis kulit termasuk berminyak, berjerawat, kering dan matang.
Katanya, rasa sensitif yang timbul rasa tidak menyenangkan dan boleh menyebabkan kurang keyakinan kepada seseorang.
"Kulit wajah sensitif ini berlaku disebabkan oleh kekurangan pada fungsi pelindung kulit, iaitu lapisan kulit paling luar di mana ia akan lebih peka terhadap sebarang bentuk rangsangan luar.
"Kepekaan berlebihan pada hujung saraf menghantar isyarat sakit sebagai tindak balas kepada rangsangan luar seperti perubahan suhu dan angin, pendedahan kepada matahari dan pencemaran.
"Pendedahan kepada kulit wajah sensitif itu boleh mengakibatkan rasa tidak menyenangkan yang dikaitkan dengan kekeringan dan kemerahan," katanya.
Beliau akui, kulit wajah sensitif ini perlu dirawat dengan teliti dan terdapat beberapa cara untuk menguruskan kulit wajah itu.
"Mereka yang memiliki kulit wajah sensitif ini perlu menggunakan produk lembut setiap kali membersihkan dan menjaga kulit sensitif itu," katanya.
Menyedari ramai wanita terutamanya sering berdepan dengan masalah ini, jenama La Roche-Posay komited untuk menjadikan penjagaan kulit muka dermatologi mudah diperoleh melalui kerjasama pakar dermatologi di seluruh dunia bagi membangunkan produk penjagaan kulit muka yang memberikan perbezaan.
Jenama ini menumpukan kepada inovasi produk yang selamat dan berkesan untuk semua jenis kulit seperti kulit sensitif, alergik, kerengsaan matahari dan berjerawat.