Rabu, 11 Januari 2023 | 11:29am

Solekan efek ngeri 'Kak Pink' jadi perhatian

TANAH MERAH: Hasil kreativiti tangan seorang wanita yang berbakat dalam solekan bukan sahaja boleh menata rias wajah menjadi cantik, malah mampu menukar rupa tua, ngeri dan menyeramkan

Inilah magis Ummi Syafiqah Hasbullah, 32, jurusolek berbakat besar yang berkemahiran menghasilkan pelbagai jenis solekan efek khas seperti wajah terluka atau ditoreh seakan-akan nyata dan realistik.

Dia yang mula berkecimpung dalam bidang solekan pengantin sejak 2016, mengakui pada awalnya hanya membuat solekan efek khas pada wajah sendiri sekadar suka-suka untuk pengisian di laman sosial miliknya.

"Saya bermula dengan membuat solekan efek khas wajah orang tua lelaki. Tidak sangka, cubaan kali pertama, menjadi dan mendapat reaksi positif daripada netizen dan rakan terdekat.

"Bermula dari situ, saya mula mendapat tempahan pelanggan untuk membuat solekan efek wajah yang lebih ekstrem seperti kesan muka terbakar, cedera akibat torehan, lebam dan kulit buruk dan mengerikan.

"Kebanyakan pelanggan mendapatkan khidmat saya untuk tujuan lakonan atau menghadiri majlis tertentu dengan tema yang bersesuaian," katanya ketika ditemui di N Gee Wedding, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Kelantan.

Ummi yang turut dikenali sebagai 'kak pink' berkata, bahan yang digunakan untuk membuat solekan efek dipastikan selamat dan tidak merosakkan kulit selain memerlukan beberapa peralatan supaya hasil dilihat sempurna.

"Antara alat yang digunakan adalah kapas, gam lateks, dan tisu dapur selain menggunakan campuran sirap dan kicap untuk menghasilkan bayangan darah seakan-akan yang sebenar.

"Sebenarnya, selain membuat rujukan melalui YouTube saya juga banyak 'try and error' dalam mencari bahan yang paling sesuai agar hasil solekan memberi kesan yang lebih realistik.

"Saya akan pastikan setiap hasil tangan saya benar-benar menjadi supaya pelanggan berpuas hati selain mengenakan caj bersesuaian serendah RM150 bergantung kepada jenis efek solekan yang dimahukan pelanggan," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, untuk hasil efek yang baik, dia turut menggunakan alat solekan berkualiti tinggi supaya lebih tahan lama.

Kak Pink menggunakan alat solekan berkualiti untuk pastikan hasilnya tampak lebih realistik dan tiada alahan pada kulit. - Foto/Syaherah Mustafa
Kak Pink menggunakan alat solekan berkualiti untuk pastikan hasilnya tampak lebih realistik dan tiada alahan pada kulit. - Foto/Syaherah Mustafa

"Bagaimanapun, alat solek yang saya gunakan untuk solekan efek dan pengantin akan diasingkan. Kebersihan alatan seperti berus dan span muka juga tetap dititik beratkan.

"Untuk menyiapkan satu solekan mengambil masa setengah jam sehingga satu jam bergantung kepada tema diminta pelanggan seperti berunsurkan keganasan rumah tangga atau kecelakaan akibat kemalangan.

"Saya juga akan 'belajar' terlebih dahulu setiap tema yang diminta pelanggan supaya hasilnya nanti menjadi dan pelanggan berpuas hati," katanya.

Ummi berkata, dia mengakui tempahan solekan efek di negeri Kelantan tidaklah 'selebat' negeri luar, tetapi masih ada terutama dalam kalangan pempengaruh media sosial.

Menurutnya, dia berharap agar solekan efek diketengahkan memandangkan ia juga boleh dijadikan kerjaya terutama dalam bidang perfileman yang mencari bakat sebegini.

Tambahnya, dia juga mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang mahu belajar mengenai solekan efek atau solekan biasa kerana menganggap dengan berkongsi ilmu dengan orang lain turut mengasah lagi kemahirannya dalam solekan.

Kak Pink (kiri) sedang menyolek efek khas wajah ditoreh seakan nyata.- NSTP/Syaherah Mustafa
Kak Pink (kiri) sedang menyolek efek khas wajah ditoreh seakan nyata.- NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X