PETALING JAYA: Spa rawatan kulit, Dermalene Skin Centre bercadang menambah 43 lagi cawangan di seluruh negara dan menjadikan jumlahnya kepada 50 menjelang tahun 2030.
Jumlah berkenaan termasuk 15 klinik kulit untuk merawat ekzema, alahan teruk dan penyakit kulit lain yang akan ditangani oleh doktor dan pakar dermatologi di bawah satu bumbung.
Pengasas syarikat, Dr Alina Hasni, berkata pusat rawatan berkenaan akan dibuka di lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk supaya lebih ramai pesakit berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan rawatan.
"Kita akan menjadi hub penyelesaian bukan sahaja memberi fokus mendapatkan kulit sihat dan cantik tetapi juga merawat masalah dan penyakit kulit yang menyebabkan penghidapnya tertekan dan kualiti hidup juga terjejas.
"Rawatan masalah kulit perlukan jangka masa panjang dan berterusan dan sebagai Life Skin Partner, kami mahu setiap orang berpeluang mendapatkan rawatan sejak bayi hingga dewasa," katanya selepas perasmian pembukaan cawangan Dermalene yang ke-7 di Kota Damansara baru-baru ini.
Sempena majlis pelancarannya yang berlangsung hingga 31 Disember, cawangan baharunya mengadakan promosi menarik sepanjang bulan dengan tawaran diskaun dari 15 hingga 50 peratus bagi setiap rawatan.
Pada pelancaran itu juga, Dr Alina turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat rawatan kulit antarabangsa yang terkenal Hydrafacial.
"Pada asasnya apa yang kami lakukan adalah membangunkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mendapatkan kulit yang sihat. Apabila berpeluang berkolaborasi dengan Hydrafacial, teknologi rawatan kulit yang terkenal di peringkat dunia, ia penanda aras kepada kualiti rawatan dan solusi kepada Dermalene," katanya.
Dr Alina yang berkelulusan dermatologi memperkenalkan Dermalene pada 2016. Beliau juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Dermalene Sdn Bhd, pengendali rangkaian klinik rawatan kulit yang beroperasi di enam lokasi termasuk di Shah Alam, Bandar Baru Bangi, Kuala Lumpur, Ampang, Kota Bharu dan Johor Bharu.
"Sejak beroperasi enam tahun lalu, lebih 20,000 pesakit sudah mendapat khidmat kami. Sasaran kami merawat sejuta wajah menjelang 10 tahun lagi dan untuk mencapainya kami akan bekerjasama dengan Institut Kulit Negara," katanya.