Jumaat, 30 September 2022 | 8:23am
Bintik hitam boleh menjadi kanser kulit terbahagi kepada dua, iaitu melanoma dan bukan melanoma. - Foto hiasan
Bintik hitam boleh menjadi kanser kulit terbahagi kepada dua, iaitu melanoma dan bukan melanoma. - Foto hiasan

Bintik hitam disangka tahi lalat...tapi boleh meragut nyawa

RAMAI yang tersalah sangka apabila muncul bintik-bintik hitam pada kulit, ia disangka tahi lalat, walhal ia boleh menjadi 'pembunuh' sekiranya perubahan itu berlaku dengan ketara dan tidak segera mendapatkan rawatan doktor.

Bintik-bintik hitam yang terkumpul di permukaan kulit boleh bertukar menjadi kanser kulit yang terbahagi kepada dua iaitu melanoma atau bukan melanoma.

Lebih malang lagi, jika gagal mengenal pasti ia adalah kanser kulit, ia mampu meragut nyawa sekiranya sudah terlambat dan berada pada peringkat akhir.

Bayangkan, di United Kingdom (UK) saja, lebih 16,000 orang didiagnos kanser melanoma yang lebih teruk kesannya, manakala bukan melanoma, didiagnosis 147,000 kali dan membunuh kira-kira 720 orang setahun di UK saja.

Secara keseluruhannya ia meragut nyawa 2,340 orang setahun di seluruh dunia.

Apakah kanser kulit?

Kanser kulit bukan melanoma merujuk kepada sekumpulan kanser yang perlahan-lahan berkembang di lapisan atas kulit.

Sel-sel dalam epidermis (lapisan atas kulit) paling berisiko mengalami kerosakan matahari dan apabila terdedah kepada terlalu banyak matahari, ia menyebabkan kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).

Lama-kelamaan, ia menyebabkan sel-sel berkembang dengan cara yang tidak terkawal hingga membawa kepada tumor kanser.

Bagi kanser kulit melanoma, ia adalah sejenis kanser kulit yang boleh merebak ke organ lain dalam badan.

Melanosit adalah sel dalam kulit yang memberi warna kulit kerana ia menghasilkan pigmen yang dikenali sebagai melanin.

Apabila anda duduk di bawah sinar matahari, melanosit menghasilkan lebih banyak pigmen (kulit sawo matang), yang merebak ke sel kulit lain untuk melindunginya daripada sinaran matahari.

Tetapi melanosit juga adalah tempat kanser bermula kerana apabila terlalu banyak terdedah kepada sinaran ultraviolet (UV), ia merosakkan DNA kulit anda.

UV mencetuskan perubahan dalam melanosit yang menjadikan bahan genetik menjadi rosak dan menyebabkan pertumbuhan sel yang tidak normal.

Bagi mereka yang mudah melecur, ia lebih berisiko mendapat kanser kulit kerana sel mereka tidak menghasilkan pigmen yang banyak untuk melindungi kulit.

Mereka yang mempunyai albinisme paling berisiko kerana kulit mereka tidak menghasilkan pigmen sama sekali.

Apakah simptomnya?

Tanda melanoma yang paling biasa ialah kemunculan tahi lalat baru atau perubahan pada tahi lalat sedia ada.

Kebanyakan pakar mengesyorkan menggunakan peraturan mudah "ABCDE" untuk mencari simptom kanser kulit melanoma, yang boleh muncul di mana-mana bahagian badan.

Tidak semetri - melanoma biasanya mempunyai dua bahagian yang sangat berbeza dan bentuknya tidak teratur

Sempadan - melanoma biasanya mempunyai sempadan bertakuk atau compang-camping

Warna – melanoma biasanya terdiri daripada gabungan dua atau lebih warna

Diameter - kebanyakan melanoma biasanya lebih besar daripada diameter enam milimeter (mm)

Pembesaran atau ketinggian - tahi lalat yang berubah saiz dari semasa ke semasa berkemungkinan besar menjadi melanoma.

Bagi wanita, kebanyakan kanser melanoma terjadi di bahagian kaki mereka.

Justeru itulah sebabnya penting untuk mengetahui tanda-tanda awal apabila ia kelihatan seperti kanser.

Malah, pakar mengesyorkan melakukan pemeriksaan berkala pada kulit untuk mengesan tanda-tanda potensi penyakit itu kembali atau melanoma baru muncul. - Agensi

Berita Harian X