Rabu, 28 September 2022 | 8:00am
Minyak wangi tahan lama jika disimpan cara betul di dalam tempat gelap dan sejuk. - Foto hiasan
Minyak wangi tahan lama jika disimpan cara betul di dalam tempat gelap dan sejuk. - Foto hiasan

...bukannya wangi, masam pula yang dapat

Minyak wangi satu kemestian bagi sesetengah individu bagi menambah keyakinan dan menyerlahkan personaliti mereka.

Selain memilih wangian bersesuaian, perlu tambil tahu mengenai tarikh luputnya. Jadi, bagaimana ingin tahu bila tarikh luput minyak wangi anda bermula?

Bilakah sepatutnya anda perlu membuang botol minyak wangi?

Minyak wangi amat sinonim terutama wanita, malah ada yang obses dengan pelbagai bau-bauan, apatah lagi jika ia tampil unik dengan pelbagai rekaan botol.

Sama ada dibeli sendiri atau mendapat hadiah, ramai wanita menyimpan puluhan botol minyak wangi sebagai koleksi dan hobi di rumah.

Namun, adakah anda terfikir mengenai bila tarikh tamat luput minyak wangi yang disimpan ketika koleksi semakin bertambah di rak masing-masing.

Harga minyak wangi mahal dan berjenama mewah menyebabkan ada individu sayang membuangnya, walaupun sudah disimpan bertahun-tahun lamanya tanpa digunakan.

Tiga pakar minyak wangi terkemuka dunia berkongsi maklumat mengenai jangka hayat minyak wangi dan bagaimana untuk mengetahui sama ada bau kegemaran anda sudah tamat tempoh.

Adakah minyak wangi tamat tempoh?

Malangnya, apabila botol minyak wangi dibuka, ia sememangnya mempunyai tamat tempoh ,namun ia boleh bertahan hingga dua tahun.

Menurut pakar pembuat minyak wangi di Firmenich, Clement Gavarry

semburan minyak wangi membolehkan udara masuk ke dalam botol.

Beliau yang mencipta bauan minyak wangi seperti Giorgio Armani, Calvin Klein, Tom Ford dan Chloé, berkata wangian boleh mengoksidakan bau dari masa ke semasa.

"Anda akan melihat kesan wangian yang berkurangan dengan ketara, ia tidak akan berbau seperti mana baru dibuka sebelum ini," katanya.

Cara simpan minyak wangi

Gavarry berkata, berapa lama minyak wangi bertahan juga bergantung kepada bagaimana ia disimpan.

Katanya, jika wangian itu disimpan jauh daripada pancaran cahaya matahari dan suhu tinggi, ia akan bertahan lebih lama.

"Namun, sekiranya wangian disimpan pada suhu lebih tinggi, cecair itu akan berubah lebih cepat dan ia hanya akan mempunyai jangka hayat tiga hingga enam bulan," katanya.

Berapa lama pula minyak wangi mampu bertahan jika belum dibuka?

Menurut pakar minyak wangi Givaudan, Jacques Huclier, yang mencipta wangian jenama Gucci, Thierry Mugler dan Hugo Boss, sebotol minyak wangi yang belum dibuka boleh bertahan beberapa tahun bergantung kepada bagaimana ia disimpan.

"Baru-baru ini saya berpeluang mengkaji sebotol minyak wangi yang tidak pernah dibuka dari tahun 80-an dan ia seperti jenama baru.

"Tidak ada peraturan asas, setiap wangian mempunyai jangka hayat yang berbeza," katanya.

Ia sekali gus bermaksud, pastinya idea yang baik jika anda boleh menghabiskan sebotol minyak wangi sebelum membuka yang baharu.

Minyak wangi lama bau masam

Anda boleh mengetahui sama ada minyak wangi sudah tamat tempoh apabila baunya sedikit masam terutama apabila bahagian atas sudah teroksida sekali gus mempunyai sedikit bau logam.

"Oksigen dalam udara boleh mengubah beberapa molekul terdapat dalam wangian dari masa ke semasa.

"Bahan seperti sitrus, buah-buahan, aromatik, dan patchouli paling sensitif terhadap pengoksidaan.

Minyak wangi berubah warna

"Satu lagi petunjuk minyak wangi sudah tamat tempoh adalah pada perubahan warna," kata Huclier.

Namun, ada berita baik berikutan banyak minyak wangi kini menggunakan penstabil dan penapis sinaran ultraviolet (UV) yang menjadikan molekul kurang sensitif terhadap pengoksidaan.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan jangka hayat wangian lebih lama daripada sebelumnya.

"Cara terbaik memeriksa minyak wangi sudah tamat tempoh dengan menyemburkan pada sekeping kertas untuk melihat sama ada ia mengesan tanda luar biasa.

"Kaedah ini juga memberi jaminan anda tidak perlu menyembur bauan itu sepanjang hari, terutama jika sudah tamat tempoh.

"Jika warna atau rupa cecair sudah berubah, iaitu lebih gelap atau warna kekuningan bermakna wangian itu sudah teroksida," katanya.

Bolehkah jangka hayat minyak wangi dipanjangkan?

Boleh, dengan jauhkan minyak wangi daripada sebarang sumber haba. Oksigen, cahaya dan haba adalah musuh terbesar minyak wangi.

Simpan tempat gelap dan sejuk

Menurut pakar minyak wangi di Firmenich, Gabriela Chelariu, bagi memanjangkan hayat minyak wangi, lebih baik menyimpannya di tempat gelap yang sejuk, jauh daripada haba dan cahaya matahari kerana sinaran UV boleh membahayakan wangian dan memecahkan formulanya.

Chelariu yang mencipta minyak wangi jenama seperti Nest, Gwen Stefani, JLo, dan Abercrombie & Fitch, berkata ruang penyimpanan wangian yang terbaik adalah di dalam peti sejuk.

"Namun ada beberapa minyak wangi yang cenderung bertahan lebih lama daripada lain.

"Minyak wangi oriental dengan 'bau' pedas, kayu dan vanila mempunyai cenderung jangka hayat lebih lama daripada minyak wangi lain dalam kategori olfaktif berbeza.

"Sifat bahan semula jadi dalam formula ini lebih kuat dan stabil dari segi struktur," katanya.

Apa berlaku jika guna minyak wangi lama?

Tidak banyak kesannya, selain ia menjejaskan bau sedikit.

"Jarang berlaku seseorang mendapat kesan buruk akibat minyak wangi tamat tempoh.

"Terdapat proses pengoksidaan semula jadi berlaku semasa hayat setiap minyak wangi, dan ini boleh menghasilkan sebatian dalam jus yang merengsakan untuk jenis kulit tertentu," katanya.- Agensi

Berita Harian X