Sabtu, 27 Ogos 2022 | 2:51pm
Ada bahan aktif dalam pelindung matahari berisiko mendapat kanser kulit. Gambar hiasan
Ada bahan aktif dalam pelindung matahari berisiko mendapat kanser kulit. Gambar hiasan

Bahan kimia dalam pelindung matahari jejaskan keselamatan kulit, alam sekitar

Pelindung matahari boleh membantu melindungi kulit daripada sinaran ultra-ungu (UV) yang dikaitkan dengan kanser kulit, iaitu perubahan biasanya bersangkutan dengan penuaan.

Disebabkan manfaatnya yang terbukti itu, pelindung matahari kekal dalam sejarah yang hampir berabad lamanya, dan tidak menjadi kontroversi.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bahan kimia yang terdapat dalam sebahagian besar pelindung matahari berada di bawah penelitian oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain.

Walaupun, ia masih memerlukan kajian lanjut, kebimbangan termasuk bahan-bahan yang masuk ke dalam aliran darah, kemungkinan kesan hormon pada manusia terutama kepada golongan muda dan potensi penyahgredan terumbu karang apabila pelindung matahari tertentu dibawa masuk ke dalam lautan.

Sebuah jawatankuasa di Akademi Sains Kebangsaan ketika ini sedang meneroka beberapa persoalan kesihatan dan keselamatan dan dijangka mengeluarkan laporan dalam beberapa bulan akan datang.

Misalnya, Pakar Dermatologi dan Jurucakap Yayasan Kanser Kulit berpangkalan di New York, Dr Julie Karen, berkongsi mengenai penggunaan pelindung sinar suria 'secara sihat' berikutan pada asasnya ia mempunyai dua jenis, iaitu fizikal dan kimia.

"Bagi pelindung matahari fizikal juga dikenali pelindung suria mineral, ia dipakai ke atas kulit dan menyekat sinaran UV dan ia berkesan serta-merta.

"Pengguna tidak perlu menunggu hingga 15 minit atau lebih untuk seperti diperlukan pelindung matahari kimia untuk kandungannya memberikan perlindungan penuh.

"Dalam pelindung matahari fizikal, hanya ada dua bahan aktif iaitu zink oksida dan titanium dioksida dan secara amnya, baik untuk kulit sensitif," katanya.

Namun tegasnya, kelemahan utama pelindung matahari fizikal ialah ia boleh meninggalkan penampilan 'bercapuk' pada kulit.

"Sementara pelindung matahari kimia tiada isu itu kerana ia meresap ke dalam kulit yang kemudiannya, menyerap sinaran UV dan menukarnya kepada haba yang tidak merosakkan," katanya.

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 16 penyekat kimia yang diluluskan untuk digunakan di AS dan lebih banyak lagi daripada itu di negara lain.

"Pelindung matahari kimia adalah lebih elegan," kata Dr Karen, walaupun kedua-duanya berkesan untuk menghalang gelombang pendek dan panjang sinaran UV.

Justeru, sering timbul persoalan, yang mana antara kedua-duanya lebih selamat, berikutan ramai mahu tahu kesannya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Jadi, ramai pakar dermatologi mengatakan, pelindung matahari yang terbaik adalah penggunaan yang sesuai kepada seseorang dan mereka yang sebenar menggunakannya.

Ini kerana bahan kimia yang banyak mendapat perhatian adalah adalah oxybenzone.

Menurut Pakar Dermatologi di Pusat Perubatan Henry Ford dan bekas presiden American Academy of Dermatology, Dr Henry Lim, bahan itu ditunjukkan mempunyai penembusan paling banyak.

"Ia terbukti mempunyai kesan alam sekitar yang paling banyak," katanya menerusi kajian pada 2020 yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association.

Laporan itu, memuatkan kajian penyelidik FDA yang mengkaji enam bahan aktif dalam pelindung matahari kimia iaitu oxybenzone, avobenzone, octocrylene, homosalate, octisalate dan octinoxate berikutan kulit menyerap semua bahan kimia pada 'kepekatan yang melepasi ambang FDA kerana berpotensi mengetepikan beberapa kajian keselamatan tambahan untuk pelindung matahari' dengan Dr Lim itu, antara penulis jurnal itu.

Walaupun, data tambahan diperlukan, keputusan menunjukkan semua enam bahan aktif telah diserap ke dalam aliran darah badan meskipun selepas penggunaan sekali.

Tambahnya, sebaik sahaja diserap, bahan aktif terbabit boleh kekal di dalam badan untuk jangka masa panjang.

Kajian lain pula menunjukkan bahawa oxybenzone boleh menjejaskan pengeluaran hormon, walaupun kebanyakannya melihat kepekatan yang agak tinggi dalam tikus. Bagaimanapun, FDA menganggap produk dengan semua bahan kimia itu selamat.

Sebaliknya Dr Karen menekankan, sekiranya pengguna bimbang mengenai oxybenzone, beliau mengesyorkan pemilihan pelindung matahari tanpa bahan kimia.

Menyokong pendapat itu, Pengurus Dasar Sains dan Alam Sekitar di Yayasan Surfrider, Katie Day iaitu satu pertubuhan bukan bermotifkan keuntungan yang menumpukan perlindungan pantai dan air, Katie Day yang mengatakan, Oxybenzone turut mempunyai kesan ke atas kesihatan lautan berikutan pendedahan bahan kimia kepada sinaran UV, mengakibatkan pelunturan karang.

Pada 2018, Hawaii menjadi negeri pertama yang mengharamkan penjualan pelindung matahari yang mengandungi oxybenzone dan octinoxate.

Selain itu, Key West, Florida, ke Kepulauan Virgin, AS mengikuti larangan sama dan bahkan lebih ketat.

Pada 2019, FDA meminta lebih banyak penyelidikan daripada pengeluar pelindung matahari dan Akademi Sains Kebangsaan juga mempunyai jawatankuasa yang mengkaji kesan pelindung matahari kimia.

Pada 2021, heboh di internet dengan tajuk artikel yang mempersoalkan keselamatan pelindung matahari dengan kebanyakan jenis semburan, susulan penemuan benzene kimia penyebab kanser dalam pelindung matahari tertentu.

Mengulas mengenai itu, Dr Lim, pengguna perlu meneliti kandungan bahannya berikutan semua produk pelindung sinaran suria yang diluluskan adalah selamat digunakan.

"Malah makluman 'selamat kepada terumbu karang' tidak boleh terus diambil tanpa perincian kandungan bahannya berikutan ia tidak dikawal selia.

"Ia lebih mudah dan lebih praktikal untuk menggunakan pelindung matahari mineral yang tidak mengandungi mana-mana penapis kimia," katanya. - AGENSI

Berita Harian X