Isnin, 22 Ogos 2022 | 9:18am
Penampilan seseorang jadi kurang sempurna kerana ditumbuhi bintik-bintik kecil akibat kegatalan derita penyakit kulit ayam.- Foto hiasan
Penampilan seseorang jadi kurang sempurna kerana ditumbuhi bintik-bintik kecil akibat kegatalan derita penyakit kulit ayam.- Foto hiasan

Penyakit kulit ayam, jejaskan penampilan

KETIKA cuaca panas dan kering bagi yang kulit sensitif akan mudah mendapat ruam dan kegatalan hingga menyebabkan individu itu berisiko mendapat penyakit kulit ayam atau keratosis pilaris.

Keadaan itu menjadikan penampilan seseorang jadi kurang karuan disebabkan tumbuh bintik-bintik kecil yang keras di bahagian tertentu pada pada badan mereka.

Selain itu, penampilan seseorang jadi kurang sempurna kerana ditumbuhi bintik-bintik kecil.

Malah, kesan ruam disebabkan kegatalan itu kelihatan rupanya seakan-akan kulit ayam. Walaupun tidak berbahaya atau berjangkit, kewujudannya menyebabkan individu rasa amat kurang selesa disebabkan kerap menggaru.

Secara umum, ia termasuk dalam golongan penyakit genetik (bawaan) dan belum ada cara untuk mencegah masalah kulit ini.

Namun, terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk memperbaiki penampilan kulit dan meringankan gejalanya.

Menurut Pakar Estetik Klinik Pesona, Dr Abdul Jamil Jamal Buhari, keratosis pilaris bagi individu yang mendapat penyakit ini akan kelihatan benjolan bintik-bintik yang muncul berwarna seragam, iaitu seakan warna kulit dan kemerahan (bagi mereka yang berkulit cerah) dan hitam coklat (berkulit gelap atau sawo matang).

Dr Abdul Jamil Jamal Buhari
Dr Abdul Jamil Jamal Buhari

Katanya, benjolan kecil ini boleh muncul di mana-mana sahaja di bahagian tubuh dan kebiasaannya pada lengan, paha, pipi atau leher.

"Gejala penyakit kulit ayam tidak muncul pada telapak tangan dan kaki. Penyakit kulit ayam ini sangat biasa berlaku dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Keratosis pilaris boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi lazimnya mudah berlaku pada orang muda terutama remaja," katanya.

Remaja, dewasa hidap simptom kulit ayam

Beliau berkata, berdasarkan laporan kira-kira 50 peratus hingga 80 peratus remaja menghidap penyakit kulit ayam, manakala hampir 40 peratus pula dialami oleh golongan dewasa dan lazimnya gejalanya mudah untuk dikesan.

Biasanya gejala itu akan beransur hilang ketika semasa seseorang mengakhiri zaman remaja.

"Gejala kulit ayam akan menghilang pada usia pertengahan 20-an, ada kalanya ia boleh berlanjutan lebih lama sehingga usia 30-an.

"Namun, pada kelazimannya penyakit ini akan sembuh dengan sendiri pada usia sekitar 30-an," katanya.

Bagi penderita penyakit ini, mereka seharusnya mendapatkan nasihat doktor jika ada beberapa perubahan ketara pada kulit yang muncul tanpa ketahui penyebabnya.

"Doktor dapat membuat analisis dengan memeriksa penampilan kulit dan benjolan di bahagian kulit yang mengalami gejala pilaris keratosis," katanya.

Gejala penyakit kulit ayam

* Benjolan halus tanpa rasa sakit

* Kulit kering dan kasar di bahagian benjolan

* Gejala lebih cenderung berlaku pada musim panas atau semasa kelembapan udara rendah

* Gatal di bahagian tertentu seperti disebutkan di atas.

Punca penyakit kulit ayam

Mengulas lanjut, Dr Abdul Jamil berkata, penyebab utama keratosis pilaris adalah keratin yang tumbuh secara berlebihan.

Keratin ini adalah protein yang berfungsi untuk melindungi kulit daripada radang. Ketika terjadi, gumpalan keratin akan terbentuk sehingga tersumbat liang folikel rambut atau pori.

"Pengumpalan ini yang kemudian akan menyebabkan permukaan kulit tidak rata akibat munculnya benjolan kecil yang kering dan kasar.

"Tetapi tidak diketahui mengapa keratin dihasilkan secara berlebihan. Penyakit genetik atau kondisi kulit lain seperti ekzema cenderung menjadi penyebab lain keratosis pilaris," katanya.

Cara rawat penyakit

Disebabkan penyakit ini tergolong dalam penyakit genetik, justeru individu memiliki risiko lebih tinggi jika ada kalangan keluarga mereka yang pernah mengalami keratosis pilaris.

Gejala kulit ayam akan hilang pada usia pertengahan 20-an dan berlanjutan hingga umur 30-an.
Gejala kulit ayam akan hilang pada usia pertengahan 20-an dan berlanjutan hingga umur 30-an.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak memiliki sejarah keluarga, tidak semestinya bebas daripada penyakit itu kerana berdasarkan rekod kira-kira 15 peratus pesakit boleh didiagnosis tiada kaitan dengan faktor genetik.

Bagaimanapun, perlu diketahui terlebih dahulu bahawa keratosis pilaris tidak boleh disembuhkan sepenuhnya tanpa mengetahui penyebabnya.

Penyakit ini boleh pulih dengan sendirinya, tetapi prosesnya akan memakan masa agak lama. Rawatan boleh dijalankan untuk mengurangkan gejalanya.

Berikut adalah pilihan perawatan kulit yang biasanya disyorkan oleh doktor

1. Pelembap

Krim pelembap yang mengandung bahan aktif seperti urea dan acid laktik. Gunakan pelembap selepas mandi, iaitu saat kulit masih setengah kering. Boleh sapukan krim berkenaan dua hingga tiga kali sehari.

2. Krim untuk menyingkirkan sel kulit mati

Krim digunakan untuk menyingkirkan sel kulit mati biasanya mengandung bahan aktif seperti acid laktik, salisilik dan glycolik.

Bahan aktif ini berguna untuk menyingkirkan sel kulit mati dan melembutkan kulit kasar.

3. Mencegah folikel tersumbat

Krim digunakan untuk mencegah folikel tersumbat diperbuat daripada vitamin A, yang boleh membantu proses gantian sel kulit dan mencegah folikel rambut tersumbat.

4. Laser dan rawatan mikrodermabrasion

Selain krim, laser dan rawatan microdermabrasion adalah salah satu pilihan rawatan yang dapat membantu mengatasi keratosis pilaris atau penyakit kulit ayam. Laser boleh dipertimbangkan apabila ubat ubat atau krim tidak memberi kesan yang memberangsangkan.

Info:

Gejala penyakit kulit ayam

* Penyakit lelah

* Memiliki kulit kering

* Masalah kulit ekzema

* Obesiti

* Mengalami 'ichthyosis vulgaris' (kulit sangat kering)

* Berlaku ketika musim panas atau kelembapan udara rendah

* Gatal di bahagian tertentu tubuh

Berita Harian X