Khamis, 11 Ogos 2022 | 10:58am
Penubuhan konsortium bantu pengguna buat pilihan secara lestari berkaitan produk penjagaan diri dan kosmetik. - Foto hiasan
Penubuhan konsortium bantu pengguna buat pilihan secara lestari berkaitan produk penjagaan diri dan kosmetik. - Foto hiasan

Industri kosmetik bantu pengguna buat pilihan produk selamat

Menggunakan produk kosmetik berasaskan bahan semula jadi dan organik lebih baik sebagai langkah selamat dan berkesan.

Bagi wanita yang mementingkan penampilan, mereka seharusnya bijak membuat pilihan tepat berikutan lambakan pelbagai jenama produk kosmetik di pasaran.

Justeru, pengeluar barangan kosmetik juga mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan produk yang dipasarkan selamat dan berkesan dalam pelbagai aspek.

Sehingga kini, sebanyak 36 pemain utama dalam industri kosmetik global termasuk jenama, pengilang dan persatuan profesional bergabung tenaga menerusi konsortium EcoBeautyScore dalam mewujudkan sistem pemarkahan dan penilaian alam sekitar bagi produk kosmetik.

Malah, syarikat dan persatuan lain turut dijemput untuk menyertainya.

Inisiatif terbabit yang dilancarkan, pada hujung tahun lalu oleh Henkel, L'Oréal, LVMH, Natura &Co dan Unilever, kini membentuk gabungan baharu bagi membangunkan sistem berkenaan.

Setakat ini, konsortium EcoBeautyScore berhasil menghimpunkan sebanyak 36 syarikat kecil dan besar serta persatuan dari empat benua. Ia juga terbuka untuk disertai ahli yang berpotensi.

Penilaian kesan alam sekitar hasil produk kosmetik

Tujuan konsortium EcoBeautyScore adalah bagi membantu pengguna membuat pilihan secara lestari berhubung produk penjagaan diri dan kosmetik.

Oleh itu, mereka mula membina sistem pemarkahan seluruh industri, berdasarkan metodologi berasaskan sains untuk menyediakan pengguna dengan maklumat jelas, telus dan setanding mengenai kesan produk terhadap alam sekitar.

Sistem penilaian dan pemarkahan baharu merangkumi formula, pembungkusan dan penggunaan setiap produk.

Metodologi dan pangkalan data biasa

Bagi memastikan pendekatan yang mantap dan saintifik untuk membina bersama metodologi penilaian dan sistem pemarkahan, konsortium itu bekerjasama dengan perunding lestari, Quantis, yang mengasaskan Inisiatif Pembungkusan Lestari untuk KosmEtik (SPICE) bersama dengan L'Oréal, empat tahun lalu.

Penilaian kesan alam sekitar sepanjang kitaran hayat produk akan disokong oleh prinsip 'Jejak Alam Sekitar Produk' (kaedah saintifik PEF Kesatuan Eropah berdasarkan penilaian kitaran hayat produk).

Pangkalan data mengenai kesan alam sekitar, bahan formula dan bahan pembungkusan juga akan dilaksanakan.

Prototaip pertama pada hujung tahun ini

Semua 36 anggota konsortium EcoBeautyScore sudah memulakan usaha sama berkumpulan secara pendekatan tematik. Prototaip dan penilaian disasarkan pada penghujung tahun ini, memberikan pemarkahan alam sekitar berdasarkan kategori produk.

Ia kemudiannya akan disahkan oleh badan bebas. Konsortium itu berkata, pihaknya akan berunding dengan pakar dari luar termasuk saintis, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan proses itu dilaksanakan secara inklusif. - AGENSI

Berita Harian X