Sabtu, 26 September 2020 | 11:30am
Produk farmaseutikal boleh digunakan dengan nasihat pakar kesihatan untuk memastikan bahan digunakan selamat. - Gambar hiasan
Produk farmaseutikal boleh digunakan dengan nasihat pakar kesihatan untuk memastikan bahan digunakan selamat. - Gambar hiasan

Mahu cantik kena bijak

PELBAGAI produk kosmetik untuk merawat wajah atau badan termasuk penjagaan diri mendapat permintaan tinggi khususnya wanita yang sentiasa ingin tampil cantik bergaya.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar, berkata pengguna harus bijak memilih produk kosmetik yang tidak mengandungi bahan berbahaya dan selamat digunakan.

Katanya, terdapat pelbagai bahan berbahaya dicampur dalam kosmetik yang tidak berdaftar terutamanya produk yang diseludup masuk dari negara jiran mengandungi merkuri, plumbum, arsenik dan sianida kerana berisiko mendapat alahan dan iritasi kulit.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memaklumkan sesetengah bahan itu mengandungi racun berjadual seperti asid azelaik, hidrokuinon dan tretinoin.

"Justeru, produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Pengguna juga perlu tahu campuran logam berat boleh menyebabkan masalah saraf, gangguan ingatan dan emosi, masalah pendengaran, penglihatan serta buah pinggang," katanya.

Hidrokuinon dalam krim pemutih

Dr Siti Fatimah berkata, secara umum, bahan semula jadi lazimnya berasaskan sumber tumbuhan, haiwan atau mineral tanpa mengalami sebarang proses kimia atau tidak mengandungi sebarang sebatian kimia.

Bahan itu biasanya dirumus untuk dijadikan kosmetik yang berfungsi sebagai bahan utama untuk menghasilkan sesuatu produk.

Pemilihan krim yang bebas bahan kimia perlu untuk mengelak kesan samping kepada kulit. - Gambar hiasan
Pemilihan krim yang bebas bahan kimia perlu untuk mengelak kesan samping kepada kulit. - Gambar hiasan

"Bahan sintetik adalah dihasilkan melalui tindak balas kimia, atau bahan yang berasal daripada sumber semula jadi yang diubah secara kimia dan yang selalu menjadi isu adalah merkuri serta hidrokuinon.

"Hidrokuinon sering digunakan pada krim pemutih kulit, krim merawat pigmentasi seperti jeragat dan pelekat kuku dan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit dan kulit menjadi hipersensitif.

"Ia juga menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) dan mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya di mana ia boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

"Walau bagaimanapun, terdapat alternatif lain yang lebih selamat untuk menggantikan produk pemutihan atau produk rawatan jeragat iaitu menggunakan kaedah laser atau kaedah 'chemical peel' dengan mengelupaskan kulit lapisan demi lapisan untuk membantu memudarkan jeragat," katanya.

Tip penjagaan sempurna

Beliau berkata, pencegahan pigmentasi boleh dilakukan dengan penggunaan pelindung tabir suria setiap kali keluar dari rumah selain pengambilan makanan tambahan yang mengandungi 'Carotenoids' atau 'Glutathione'.

"Antara tip yang disarankan kepada pengguna untuk penjagaan kulit adalah jangan terlalu lama terdedah kepada pancaran matahari terutama pada jam 10 pagi hingga 2 petang kerana ia mampu menyebabkan 'foto ageing' iaitu kedutan halus.

Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar.
Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar.

"Amalkan pemakaian pelindung tabir suria untuk aktiviti luar rumah sekurang-kurangnya yang mengandungi 'Sun Protection Factor' (SPF) 30 dan pemakanan yang seimbang akan membekalkan nutrisi yang cukup pada kulit selain tidur yang cukup dan elakkan merokok.

"Saya juga menasihatkan orang ramai supaya kembali kepada perkara asas, iaitu amalkan pencucian wajah dengan air suam dan produk tanpa alkohol dan pewangi dua kali sehari, selain menggunakan pelembab dan pelindung tabir suria apabila melakukan aktiviti di luar rumah," katanya.

Berita Harian X