GUA MUSANG: Sifat semula jadi wanita selalunya mudah rasa takut dan geli untuk mendekati atau memegang haiwan eksotik seperti katak, pelbagai spesies ular serta cicak.
Namun, berbeza bagi Zulfarina Zulkifli, 31, yang dahulunya takut dan geli memegang haiwan eksotik, namun perasaan itu berjaya di atasi selepas tinggal bersama kira-kira 200 spesies haiwan terbabit.
'Alah bisa tegal biasa'. Inilah yang hakikatnya selepas Zulfarina berkahwin dengan Muhammad Helmi Izzuddin Yusof, 32, sejak enam tahun lalu yang membela pelbagai haiwan eksotik yang dikategorikan dalam spesies ''raptor'.
Antara spesies yang dibela mereka adalah
Western Hognose Snake, Cornsnake, Sailfin Dragon, Blue Tongue Skink, Leopard gecko, Tarantula, Pacman Frog dan Pixie Frog.
Malah, pasangan itu juga menjual kepada mereka yang berminat membela haiwan eksotik.
Sudah menjadi rutin Zulfarina akan membantu suaminya mengiklan haiwan eksotik yang dipelihara secara dalam sebagai sumber pendapatan sampingan mereka sekeluarga.
"Saya tidak menafikan pada mulanya mungkin sama seperti wanita lain rasa takut dan geli terhadap haiwan eksotik ini.
"Namun, lama-kelamaan apabila sudah terbiasa, semua itu menjadi minat dan terbit rasa sayang terhadap haiwan belaan itu. Kini saya selamba saja boleh memegang dan membelai tanpa rasa takut atau geli," katanya yang tidak tercedera dipatuk haiwan itu,
Beliau berkata, ketika ini, rutin seharian beliau juga membantu menguruskan 'raptor' setiap kali suaminya keluar bekerja.
"Bagi saya tidak masalah untuk dia membela reptilia ini, yang penting aspek kebersihan perlu diutamakan," katanya.
Menurutnya, sebelum berkahwin beliau sudah dimaklumkan akan minat suami seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pertanian Sains Haiwan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang minat membela dan membiakkan haiwan eksotik terutama ular.
"Alhamdulillah, semuanya tidak ada masalah sepanjang menjaga semua reptilia ini. Tambahan pula suami mempunyai pengalaman dalam aspek penjagaan
"Sebelum berkahwin saya sudah maklum minat suami ini, selain dia juga mencuba membiakkan ular. Sehingga kini, kami sudah memelihara kira-kira 200 ekor haiwan eksotik," katanya.
"Malah, suami juga turut membuat makanan ular daripada bahan semula jadi, selain ubat-ubatan bagi haiwan seperti kucing," katanya.
Membuat sendiri produk makanan haiwan eksotik
Selain itu, mereka juga mengiklankan produk itu dan menerima banyak tempahan daripada pelanggan di seluruh negara.
"Inovasi kami adalah pallet makanan ular yang dibuat suami pada tahun 2020. Dengan adanya pallet ular ini, lebih mudah pembeli dan peminat haiwan ini untuk memberi makan.
"Setiap anak ular yang berjaya dibiakkan dijual kepada mereka yang berminat dan ular terbabit adalah tidak berbisa.
"Kos untuk memelihara reptilia ini sebenarnya murah. Yang mahalnya ialah spesiesnya. Spesies seperti Hognose Snake, Cornsnake, Leopard gecko, Sailfin Dragon dan lain-lain, dijual harga bermula pada RM100 hingga lebih RM5,000.
"Harga untuk makanan sama saja bagi setiap haiwan, penjagaan untuk makanan juga tidak susah contohnya ular, reptilia ini makan seminggu sekali dan perlukan air 24 jam serta tempat yang kemas dan bersih," katanya.
Beliau berkata, mereka membelanjakan kira-kira RM500 untuk tempoh tiga bulan bagi keperluan haiwan terbabit.
"Kita juga saling bertukar-tukar spesies haiwan eksotik ini dengan rakan lain yang mempunyai minat sama. Jadi kita tiada masalah mendapat spesies baharu," katanya.
Pasangan berkenaan juga mendapat latihan dan bimbingan daripada pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Gua Musang, Kelantan bagi mendalami bidang berkaitan.